Thursday, September 21, 2006

Kuiz Pengguna

Sebelum saya menceritakan sedikit sebanyak tentang Kuiz Pengguna peringkat kebangsaan kali ini, saya ingin membuat sedikit imbas kembali Kuiz Pengguna peringkat negeri terlebih dahulu.

Peserta kuiz kali ini merupakan 3 pelajar tingkatan 5 dan seorang pelajar simpanan tingkatan 4. Saya memang membuat persediaan dari awal, apatah lagi pelajar-pelajar tersebut sudah mempunyai pengalaman kerana telah melalui kuiz pengguna peringkat kebangsaan tahun lepas.

Perjalanan kuiz peringkat negeri berjalan lancar walaupun tersangat lewat waktunya dan persediaan untuk ke peringkat kebangsaan tidak sampaipun seminggu.

Pada peringkat negeri, peserta dikehendaki menghadapi kuiz bertulis dan kuiz secara lisan. Soalan bertulis boleh dikatakan sukar tetapi kemudiannya saya diberitahu pelajar kami memungut skor tertinggi. Sekolah kami, SMKA SHAMS dan SMK Dato' Taha Gemenceh menduduki pusingan akhir negeri dan sekali lagi kami menjadi johan negeri. Mungkin faktor 'rezeki' juga menjadi penentu kejayaan kerana banyak juga kami mendapat soalan yang bagi kami 'mudah', dan kalau soalan sukarpun pelajar kami boleh menjawabnya.

Menjelang peringkat kebangsaan, kuiz dijalankan dalam 3 pusingan, awal, separuh akhir dan akhir. Tapi, nampaknya 'rezeki' tidak menyebelahi kami. Kami tewas 'mengejut'. Saya begitu kecewa, tidak percaya dan sukar menerima hakikat kekalahan kerana pencapaian tahun lepas adalah lebih baik. Saya sudah cuba membuat apa yang saya terdaya...

Apa yang saya buat selepas itu ialah berbual-bual dengan beberapa orang guru pengiring, pegawai KPDN & HEP supaya kekecewaan dapat reda sedikit. Saya mengajak Ust. Norani yang membawa Citranya ke Perpustakaan Tun Sri Lanang menghantar buku yang dipinjam dan sebaliknya saya meminjam lebih banyak lagi supaya dapat 'melarikan' fikiran saya. Seorang sahabat mengsms saya; "kalah menang adat pertandingan, semasa kita menang, ada orang lain yang kecewa". Terima kasih wahai sahabat. Saya berteleku di hadapan Tuhan minta diteguhkan iman dan dihapus rasa gundah. Alhamdulillah, pagi esoknya saya pulih kembali. Sebelum itu saya sempat memberitahu pelajar tahun depan saya ingin bersara daripada kuiz pengguna. Tapi, esoknya saya menarik balik kata-kata saya dan berazam akan membuat lebih baik untuk kuiz tahun depan.

Pasukan yang menjuarai Kuiz Pengguna Kebangsaan tahun ini ialah Perlis, naib johan pasukan Kuala Lumpur dan ketiga Terengganu. Pasukan favourite iaitu Sarawak (sebelum ini telah 3 tahun berturut-turut menjadi johan kebangsaan),tumpas dalam pusingan kedua. Pasukan Perak yang diterajui guru yang cukup berpengalaman dan membuat pelbagai persediaan untuk kuiz ini, tewas dalam pusingan kedua. Kedua-dua pasukan menghantar wakil pelajar tingkatan 6 atas. Kekalahan mereka bagi saya cukup menginsafkan.

Hasil perbualan dengan guru-guru pengiring, saya dapat melihat mereka masing-masing sangat gigih dalam menjayakan kuiz. Bukan baru pertama kali mereka mewakili negeri hingga ke peringkat kebangsaan bahkan ada yang sudah berbelas tahun bergiat dalam kuiz ini. Kami bertukar-tukar idea, pendapat bagaimana membuat persediaan untuk tahun depan pula. Kami juga bertukar-tukar nota. Kata saya "aik, kalau semua orang dapat bahan yang sama, abis tu tahun depan siapa nak menang?" (hehe) Seorang guru menjawab, tak apalah, yang penting ilmu kepenggunaan dapat disebarkan". Pada malam terakhir pula, seorang guru mengesyurkan agar bahan-bahan kuiz dijadikan cd dan diedarkan ke sekolah-sekolah...

Sebelum berpisah, saya sempat membuat post mortem/muhasabah dengan pelajar saya. Mereka meminta maaf daripada saya kerana tidak menang. Tapi, saya tidak memarahi mereka cuma saya memberitahu mereka, pertandingan bukan sekadar menjadi johan dan menang. Banyak perkara yang mereka boleh cedok daripada segala peristiwa yang mereka alami. Membuat persediaan dengan membaca buku kemudian menduduki SPM kemudian berjaya dengan cemerlang bukan menjamin kecemerlangan hidup. Apa yang penting ialah bagaimana kita hendak survive, mendepani dan menjalani kehidupan dengan tabah juga gigih. Sebagai pemimpin, pertandingan sebegini sangat melatih sahsiah seseorang. Setakat mana kita membuat persediaan, komitmen diri, kerjasama daripada semua pihak, persediaan mental, kesabaran, pengorbanan, pergantungan kepada yang Maha Kuasa, itulah yang penting. Kita berada di pentas dan berjuang mengalahkan pihak lawan itu lebih sukar daripada membaca buku kemudian menjawab soalan peperiksaan di dalam dewan yang sunyi sepi.

Kemudian, pelajar akan dilepaskan ke dunia luas selepas menjalani alam persekolahan, seterusnya mengharungi kehidupan berkerjaya dan berkeluarga. Ini ialah tentang survival atau kelangsungan hidup. Menjadi pemimpin masyarakat mahupun pemimpin diri sendiri adalah sesuatu yang amat sukar. Salah satu cara melatih jati diri ialah melalui kokurikulum. Berfikir akan kepentingan kokurikulum untuk membentuk jati diri, itu menguatkan azam saya untuk bergiat aktif. Sementelah saya telah dua kali dianugerah 'anugerah khas kokurikulum' oleh pihak sekolah. Kelab kami telah terpilih sebagai Kelab Pengguna terbaik Negeri Sembilan, 2 kali mewakili Kelab Pengguna menjayakan Ekspo Pendidikan peringkat negeri. Aktiviti yang kami jalankan telah banyak memberi kredit kepada para pelajar. Semua ini saya lakukan dengan suka hati dan seronok kerana saya dulu pun pernah bersekolah. Kadang-kadang apa-apa yang kita
belajar di dalam kelas tidak melekatpun di kepala kita sebab kita bertujuan untuk menjawab peperiksaan. Habis periksa, kita simpan buku dan lupakan subjek dipelajari. Tetapi, aktiviti kokurikulum seperti menjayakan Ekspo, seminar, aktiviti luar dsb itu lebih melekat di jiwa kita. Itu sayalah kot, tidak tahulah orang lain. Saya memang tidak tinggalkan subjek saya, namun, saya tidak suka membuat satu perkara saja dalam sesuatu masa. Apa yang lebih dahsyat dan memualkan daripada membuat sesuatu yang rutin?

(Saya juga ingin mengadakan Sudut Pengguna di sekolah kami, dengan meletakkan bahan-bahan bacaan di Pusat Sumber atau melekatkan info kepenggunaan di sudut yang mudah dibaca. Insya Allah kami akan rancangkan aktiviti kelab yang memberi manfaat kepada pelajar semasa pelbagai isu kepenggunaan sangat mencabar bangsa)

Tahniah kepada pemenang. Yang tidak berjaya jangan merasakan pintu di hadapan kita sudah tertutup. Ada banyak lagi pintu lain, cari dan bukalah. "Take the risk. If you win you'll happy. If you lost, you'll be more wise!"

Jadilah pengguna yang bijak.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum cikgu,cikgu sihat tak?Cikgu punya blog in,baguslah.Terima kasih sebab memberi saya tengok blog cikgu ni.:-)(Termidzi)

Coach Atie said...

Teringat dengan kemenangan peringkat kebangsaan dulu. Walaupunn hanya dapat tempat kedua, tetapi kemenangan itu benar-benar memberi satu kepuasan. Terima kasih kepada Orang yang bersusah payah menolong kami (Yussamir, Raudhah, Firdaus, dan Wani) tidak lain dan tidak bukan, Cikgu Wan Salmah...huhuhuh