Sunday, September 10, 2006



Thunbergia grandiflora - dan debaran pun semakin terasa..

Spesis bunga menjalar di atas amat sukar diperoleh. Sudah jenuh saya menjejak nurseri-nurseri seputar Seremban, Sungai Buloh, tapi hasil hampa. Semasa lawatan saya ke Taman Botani, Putrajaya, saya terpempan seketika menikmati keindahan bunga kesukaan saya ini. Mereka tidak menjualnya. Kecewa tetapi hati menaruh harap agar dapat memeiliki juga bunga ini.

Pada tahun lepas, kami pasukan Kuiz Kepenggunaan mewakili Negeri Sembilan ke pertandingan Kuiz Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan yang telah dilangsungkan di Kota Kinabalu, Sabah (gambar peserta ada disertakan di blog ini dalam entri terdahulu). Semasa di sana, pada hari ketiga kami telah dibawa melawat sekitar KK. Destinasi pertama ialah Pantai Tanjung Aru. Hujan turun renyai-renyai rupa-rupanya membawa seribu rahmat. Saya telah melihat pokok thunbergia ini melilit dengan indahnya di kawasan resort tersebut. Dengan muka tebal 5 inci, saya telah memohon benih pokok tersebut. Beberapa pekerja telah memotong beberapa ranting yang matang dan memberi kepada saya. Mereka berpesan pokok ini sukar hidup. Saya diminta mencari penggalak akar. Sekembalinya ke rumah, saya pun menanam pokok tersebut di pergola saya. 2 daripada 6 batang tumbuh dengan galaknya seolah ingin menjengah angkasa. 5 bulan kemudian, saya hampir terjerit melihat 3 kuntum bunga telah kembang menyerikan kawasan rumah, taman hati saya. Saya tidak henti-henti mengucap subhanallah dan bersyukur. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pekerja resort di Pantai Tanjung Aru yang menjadikan pergola rumah kami sekarang indah berseri, dan impian saya tercapai..(hehe) (orang lain berimpian nak daki Everest...masing2 menakrif kebahagiaan cara tersendiri...)

Pada 12 September nanti, pertandingan Kuiz Kepenggunaan peringkat Negeri Sembilan akan diadakan di SM Kompleks KLIA (seperti tahun-tahun lepas). Pasukan sekolah kami sedang giat berlatih. Doakan semoga mereka/kami berjaya.

Banyak kenangan manis sepanjang menjadi penyelaras kuiz ini. Kenangan terindah setakat ini ialah apabila sekolah kami menyandang Naib Johan Kebangsaan pada tahun 2004.

Selamat Berjuang.

No comments: