Ujian
Alhamdulillah, kami baru menjalani kursus haji intensif bagi daerah Rembau. Nama saya hanya tersenarai sebagai calon menunggu, namun, saya kena menjalani segala agenda yang dihadapi oleh bakal-bakal haji yang telah confirm. Sehari dua ni saya memang rajin mengulangkaji kuliah haji tidak rasmi melalui cd. Siri kuliah haji 16 minggu kurang memberi kesan kepada saya (maklumlah tak 100% hadir, pelbagai hallah lagi). Semalam dan hari ini kami diberi ujian bertulis. Ha..di sini ada sedikit kisah yang nak saya nukilkan. Walaupun isu ini tidak sebesar mana, tapi, saya saja hendak tulis juga di sini.
Ada seorang hamba Allah tu (eh ramai orang kenal dia), mempunyai anak yang OKU mental. Saya perhatikan mereka sekeluarga dari awal mengikuti kursus haji termasuklah kursus haji intensif ni. Semalam saya sengaja ambil tempat di depan, tup-tup anak dia duduk di depan saya. Suka betul dia menegur saya (dia lelaki umur 20an). Tak kisah sangatlah sebab semalam banyak bahagian teori. Tetapi, hari ini, banyak praktikal. Dia asyik mengekor saya dan menegur-negur saya itu ini (bukan bercakap macam orang normal). Mula-mula saya layan, tapi lama-kelamaan saya naik rimas kerana saya tidak dapat menumpu sepenuh perhatian terhadap acara yang dijalani. Sampai suatu masa saya termengomel-ngomel "awatlah ayahnya biar saja anaknya" itu kepada kawan-kawan sekursus berhampiran saya. Beberapa orang makcik rajin juga menegur-negur dia tapi saya saja yang dia suka ekori. Kadang-kadang dia nak salam dengan saya, calit atau "give me 5". Adus..
Semasa ujian tadi, dia dari awal lagi suruh saya tandakan untuk dia. Saya ingat saya nak skor. Saya kata dekat dia nanti dulu, saya nak jawab kertas saya dulu. Dia masih suruh lagi. Saya buat muka geram, tak peduli (dan marah) dan saya terus menjawab. Dia beredar. Walaupun saya rasa lega, tapi, terfikir juga adakah adil tindakan saya itu? Tahu pula dia, sebaik sudah saya menjawab(tak sudah betul pun) dia terus tercangak di depan saya. Saya terus tandakan untuk dia.
Setelah selesai kursus dan kertas ujian diserahkan balik kepada peserta, pegawai Tabung Haji tu hairan kerana budak "Ajis" tu boleh jawab (80%). Emak dia pun datang jumpa saya dan mengucapkan terima kasih kerana telah mengajar anak dia...
Tiba-tiba hati saya rasa hiba. Pandai pula budak Ajis ni memberitahu emak dia "jasa" saya itu. Kalau ikut hati memang saya rasa tidak selesa terutama semasa aktiviti "tawaf, saie, jamrah" kerana dia selalu saja terjengol di depan, di sisi, di belakang menegur-negur saya. Apabila diingat-ingat dan difikir-fikir, orang-orang seperti Ajis ada satu keistimewaan berbanding orang lain. Mereka lebih prihatin dan mengharap kasih sayang. Biasanya remaja tidak kisah kepada orang dewasa.
Markah saya peroleh 88% (lebih 8 markah daripada Ajis sebab saya tidak sempat habis jawab semua untuk dia, saya taram saja). Saya harap saya dapat merkah penuh. Tapi, selepas itu, saya redha. Saya terfikir, ada juga baiknya saya tidak skor. Pertama, biar saya tahu ilmu saya masih sedikit. Dan pengajaran paling besar ialah, saya telah diuji dari awal lagi. Saya pun tidak tahu ujian ini lulus atau tidak. Saya bertindak wajar atau tidak kepada budak Ajis tu. Di Makkah nanti entah apa ujian yang akan kita tempoh nanti.
Cuba bayangkan, jika adik kita, atau anak kita, atau saudara mara terdekat kita ialah Ajis itu, apakah perasaan kita sebagai ibu, sebagai ayah, sebagai kakak, sebagai abang? Mungkinkah terdapat manusia berhati mulia yang ingin membimbing dan melayan dia sebagai manusia biasa? Sudahlah dia tidak normal, diperlakukan tidak adil pula? Di mana hak dia sebagai warga bumi?
Minggu lepas, seorang bekas pelajar saya itu Firdaus Zainal yang pulang bercuti dari Korea ada bercerita suasana di sana. Tahap kesopanan orang-orang Korea tersangat tinggi. Perkhidmatan pula ekselen. Mengenai OKU pula, mereka ada banyak kemudahan untuk golongan ini. Ada bas khas yang rendah untuk kegunaan mereka. Sukarelawan pun banyak.
Insya Allah, jika di Tanah Suci nanti, saya akan cuba menolong warga emas dan orang-orang yang memerlukan. Peserta kali ini banyak yang berumur 50an, 60an, yang sudah uzur pun ada. Sedih juga saya tidak dapat pergi bersama-sama ayah (arwah) dan ibu saya untuk berbakti kepada mereka, semoga dengan pertolongan saya dapat mengembirakan orang-orang tua saya nanti.
Itulah saya, kata belum confirm tapi bercakap macam dah nak pergi. Sambung lagi angan-angan. ziarah bla bla bla..
Mengikut pegawai TH, tahun ini dijangkakan Haji Akbar, maka warga Arab Saudi dan jiran-jiran ramailah yang akan turun. Dugaan lagi. Tak kisahlah, semoga saya dapat pergi..
(tukar topik sikit)
Walaupun saya tidak pernah mengulas kisah pemergian Hani Mohsin, tapi saya sebenarnya banyak tersentuh membaca kisah hidupnya. Melihat Hani Karmila di sisi jasad si ayah menjadikan saya begitu pilu. Hani Mohsin lebih mudah daripada saya (hampir sebaya juga). Saya juga peminat cerita fiksyen Armageddon, the Day after tomorrow dll, menjadikan saya rasa hidup kita ini bagai di hujung tanduk. Bila-bila masa kita pula akan dijemput pergi. Semasa nyawa masih dikandung badan, ketika inilah kita harus berusaha untuk mencari seberapa banyak kebajikan dan keredhaan Allah, berbuat baik sesama manusia..
labbaikallahumma labbaik...
No comments:
Post a Comment