Ramadhan menjelma lagi!
(The Great Carnival Sale)
Syukur kerana Allah masih memberi kita peluang untuk terus bernafas di bumi-Nya ini pada bulan penuh barakah ini. Marilah kita semua mengambil peluang detik-detik waktu yang bersisa dengan amalan-amalan yang disukai-Nya.
Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Allah taala berfirman:
"Semua amal anak Adam dilipatgandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus lipat ganda, kecuali puasa, maka puasa itu melulu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya, ia meninggalkan syahwat, makan dan minum kerana-Ku dan puasa itu sebagai perisai, dan untuk orang yang puasa dua kegembiraan, gembira ketika menghadapi saat berbuka puasa dan gembira kelak apabila bertemu Tuhan pada hari kiamat".
Jika kita membaca kitab-kitab yang menulis tentang fadilat ramadhan, maka terlalu banyak ganjaran yang Allah sediakan. Namun, kita sebagai umat Islam, beribadah bukan semata-mata untuk mendapat ganjaran. Kita membuatnya kerana Allah suka.
Tidak terbayang di hati ini betapa Maha Pemurahnya Tuhan kita. Diadakan satu bulan penuh kemuliaan untuk diberikan ganjaran berlipat, hanya untuk umat Muhammad. Diberi pelbagai tawaran sama ada di dunia atau di akhirat. Buatlah ibadah sama ada secara terang-terangan atau bersembunyi,secara khusus atau tidak formal segalanya dihitung dan digandakan.
Antara amalan yang kita boleh lakukan ialah:
1. perbanyakkan sembahyang sunat seperti terawih, witir dan sembahyang sunat lain,
2. bersedekah walaupun sedikit
3. banyakkan zikrullah
4. banyakkan membaca al Quran
5. ringankan tulang dengan memudahkan kerja orang lain
6. teruskan kegiatan harian dengan ikhlas dan giat,
7. cuba elakkan membuat perkara ditegah atau sia-sia dll.
(ps ini cerita peribadi pula).
Puasa dan raya tahun ini agak berbeza daripada tahun lepas, terutama sambutan raya. Entah apa yang tidak kena menjadikan saya terlambat membeli baju raya dan menempahnya di kedai. Tukang jahitpun sudah tidak mahu menerimanya. Nampaknya kena menjahit sendirilah, tidak sempat dua pasang, sepasang sajalah seorang. Kesihan juga dekat anak-anak saya. Kuih raya pun insya Allah buat sendiri, tambah beli kerepek sahaja. Boleh juga save budget.
Keadaan ekonomi negara yang gawat ini menjadikan kita perlu berhati-hati. Seperti saya semua anak berada dalam alam persekolahan. Kelengkapan rumah asal tidak koyak/'reban' gunalah lagi. Cuma pakaian anak-anak perlu ada supaya mereka tidak bersedih. Itulah, kenaikan harga minyak telah menjejaskan banyak perkara. Harga ayam yang naik 65 sen sekilo pun banyak menjadikan orang mengeluh. Kalau saya yang berpendapatan tetap ini terasa bahangnya, apa lagi orang yang tidak berpendapatan tetap, menganggur, sakit kronik, ibu tunggal, anak-anak yatim? Siapa yang ingin memikirkan/membela nasib mereka?
Keadaan ekonomi kami tidaklah seteruk mereka, tapi, kami mengambil langkah berjaga-jaga. Tahun lepas-lepas kami sudah beraya dalam keadaan mewah... Kepada suri rumah, walaupun kita sibuk menjahit baju, membuat kuih, dan persiapan-persiapan raya yang lain, kita masih boleh menambah amal akhirat dengan memasang kaset al Quran/ agama atau dengan zikrullah. Sambil berbual, cuba kita saling mengingati. Puasa kali ini kalau boleh hendak berjihad sedikit ialah membuang sifat-sifat mazmumah, seperti perasaan dendam, malas, mudah kecewa/sedih dan menggantikan dengan sifat-sifat mahmudah yang disukai Tuhan.
Ok semua, Selamat Berpuasa dan marilah kita sama-sama 'bertanding' mencari keredhaan Allah..Insya Allah!
No comments:
Post a Comment