Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
PADA Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu hari 9 Zulhijah, lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci.
Kemuncak daripada itu, hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh itu, hari keesokannya iaitu Aidiladha adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Allah.
Kelebihan hari Arafah tidak terhad kepada jemaah yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di seluruh dunia. Justeru, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijah terutama pada hari Arafah.
Tidak diragui lagi bahawa ibadat puasa adalah amalan ibadat yang afdal di sisi Allah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Selain ibadat puasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan amar makruf nahi munkar. Perlu diinsafi setiap amalan yang dilakukan pada hari itu akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah.
Begitu juga amalan paling afdal di sisi Allah seperti berjihad pada jalan Allah, tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa 10 hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim tercedera atau syahid di medan peperangan.Jelas maksud hadis Rasulullah SAW, bahawa hari Arafah dan juga hari sebelumnya pada permulaan Zulhijah adalah antara hari afdal untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan segala amalan sunat dianjurkan.
Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari itu iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Para sahabat bertanya: Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah? Jawab Rasulullah SAW: Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari 10 Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu perbanyakkan zikir tahlil, takbir dan tahmid.” (Hadis riwayat Ahmad)
Pada hari Arafah, setiap jemaah haji akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah perhimpunan besar manusia di padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.
Dari sudut sejarahnya, ada pendapat mengatakan bahawa perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan, akhirnya mereka bertemu kembali di lembah dikenali sekarang dengan Padang Arafah.
Ada juga ulama menyatakan bahawa ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Allah Ismail yang lama berpisah.
Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang memahami dan menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail.
Oleh itu, hari Wukuf di Arafah dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan maksud mimpi itu.
Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan kesatuan ummah yang utuh supaya mereka bersatu teguh serta bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di bumi Allah ini.
Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi takwa ini dengan pakaian ihram sama putih tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan.
No comments:
Post a Comment