Thursday, December 13, 2007

Musibah uji ketahanan akidah hamba Allah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

MUSIBAH ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain, musibah dikaitkan dengan sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang. Meskipun begitu, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kemudian Allah jelaskan mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Dalam ayat itu Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan ditempuhinya.

Jelaslah orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.

Ibn Kathir ketika mentafsir ayat itu menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.” (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1992)


Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antaranya yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud, “Umm Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang-orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud), “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”


Umm Salamah berkata: Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri. Umm Salamah berkata: Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda SAW: Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu.”

Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah atas kesabaran Umm Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Selepas aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah berfirman: Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah berfirman, Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”

Hadis kedua menjelaskan sikap Abu Sinan tetap memuji Allah walaupun anak kesayangan meninggal dunia.

Jelaslah ujian Allah adalah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah bukan sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam pelbagai bentuk serta keadaan.

No comments: