Sunday, December 23, 2007

Siti Sarah Dalam Kenangan

Salam Aidil Adha..

Seperti yang telah saya maklumkan dalam entri sebelum ini, saya dan anak-anak akan balik ke kampung untuk menyambut Aidil Adha di sana dengan tujuan kami utama menziarah bonda yang telah uzur.
Perjalanan kami telah dirancang dengan baik, namun, takdir mengatasi segalanya. Dalam entri kali ini saya cuba meringkaskan cerita, sekadar memberi khabar kepada para pengunjung blog ini.

Kereta kami telah kemalangan berhampiran Kuala Lipis, dan salah seorang anak saya, Siti Sarah telah pergi meninggalkan kami. Saya, Hajar, Syamil, baby cedera, juga anak saudara saya yang memandu kereta. Kami telah dikejarkan ke 3 hospital berasingan, iaitu Nur Fadhilah (anak saudara) ke Gua Musang, Syamil dan Hajar ke Hospital Kuala Lipis, saya dan baby Danial ke Hospital Temerloh sebab Danial terpaksa menjalani cityscan di sana.

Sarah selamat dikebumikan di kampung kami pada jam lebih kurang 2.30 malam. Beliau mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Semua anak saya ada keistimewaan tersendiri, tetapi Sarah (10 tahun) agak berbeza. Dia sentiasa ceria, excited dalam melakukan sesuatu, bersemangat dalam semua perkara sama ada dalam pelajaran sekolah pagi atau sekolah petang (fardhu ain). Dia juga merupakan 'backing' utama adik-adik dia terutama Syamil. Dia sentiasa mengalah dan menolong. Apabila Danial dilahirkan dia terlalu gembira. Setiap kali Danial menangis dia akan berkejar ke arah adiknya lalu mendukungnya. Sebelum kejadian dia sempat meriba adiknya.

Dia anak yang sangat baik, juga pelajar yang disenangi guru-gurunya di SMK Undang Rembau, juga di sekolah fardu ainnya. Banyak sungguh kenangan kami bersamanya.

Kami/ saya sangat sayangkannya, tapi Allah lebih menyayanginya. Saya redha akan pemergiannya, menghalalkan segala apa yang dia makan, buat, bahkan saya 'terhutang' dengan Allah kerana memberikan saya anak sebaik itu. Saya sedar dia dipinjamkan kepada saya untuk 10 tahun 10 bulan. Adat meminjam maka suatu hari saya kena redha apabila Tuan Punya memintanya balik. Terima kasih ya Tuhan kerana memberi peluang melahirkan, membesarkan anak; Siti Sarah.

Sekarang saya masih berada di kampung. Saya masih kurang sihat kesan hentakan kuat pada dashboard pada bahagian lengan dada lengan dan leher. Kaki juga terseliuh. Danial mengalami retakan di kepala dan bengkak sedikit. Syamil pula salah satu tulang bahunya patah. Hajar cedera ringan. Fadilah cedera di kaki. Saya akan pulang ke Rembau insya Allah pada 5 Januari nanti, setelah keadaan kami lebih baik.

Minta maaf saya tidak dapat menulis lebih lanjut, insya Allah lain kali sebab keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Doakan roh Siti Sarah berada di tempat terbaik di syurga sana, dan kami semua segera pulih

Jutaan terima kasih kepada semua yang telah menolong kami sepanjang kejadian; ahli keluarga, kaki tangan klinik Padang Tenku, Hospital Kuala Lipis, Hospital Temerloh, Hospital Gua Musang, polis peronda dan pemandu-pemandu kereta yang bertungkus lumus menyelamatkan dan membawa kami ke hospital. Saya tidak sedar siapa yg menolong kami. Hanya Allah sajalah yang membalas jasa baik mereka. Namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup lagi......

5 comments:

Coach Atie said...

Assalamualaikom.
Takziah buat cikgu sekeluarga.Saya dapat tahu pun melalui sms yang dikirim.Moga cikgu sekeluarga tabah menghadapi semua ini.

“Sesungguhnya hak Allah adalah mengambil sesuatu dan memberikan sesuatu. Segala sesuatu yang di sisi-Nya dibatasi dengan ajal yang ditentukan. Oleh kerana itu, bersabarlah dan carilah redha Allah.” (Hadis direkodkan Bukhari)

Awwa said...

Saya doaskan semoga kak wan dan anak2 cepat sembuh...semoga rohnya adik Sarah di cucuri rahmat...terima kasih kerana mengirimkan sms kepada sy...

Nor Ramli said...

Salam kak wan..
Salam takziah dari epel dan suami, moga roh anakanda kak wan dicucuri rahmat. Moga sabar dan tabah menghadapi dugaan.

Anonymous said...

salam cikgu.saya bekas pelajar smka pedas.takziah atas pemergian putri cikgu.al-fatihah

wan salmah said...

assalamualaikum,

yus, terima kasih. semoga diutuhkan kesabaran dan sentiasa mencari keredhaan-Nya sentiasa..

atiesya,
terima kasih kerana doakan kami sekeluarga. Allah lebih sayangkan sarah dan meletakkannya di tempat yang mulia..

epelijau dan suami,
terima kasih. semoga kami lebih sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini

nizs,
terima kasih, juga atas bacaan alfatihah itu, semoga kita semua termasuk golongan orang-orang yang dikasihi-Nya..amin