Seluruh rakyat negara ini tidak boleh membiarkan satu pun bahasa ibunda di negara ini hilang baik daripada kelompok Melayu, China dan India mahupun lain-lain etnik dari Sabah dan Sarawak.
'SATU negara, satu bangsa dan satu bahasa' - itulah tiga perkara yang didukung oleh Indonesia pada tahun 1928 semasa republik itu melaungkan tuntutan kemerdekaan daripada penjajahan Belanda.
Coretan sejarah ini membuktikan bahawa betapa besar pengorbanan sesebuah bangsa mahupun negara dalam memperjuangkan dan memartabatkan bahasa yang menjadi identiti asli mereka.
Bah kata pepatah, 'biar mati anak, jangan mati adat'. Senario sama wujud bagi sebuah bahasa yang mencerminkan keunggulan sesuatu bangsa di mata dunia. Jika pupus pertuturan sesuatu bahasa maka hilanglah identiti bangsa tersebut.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong mengakui kenyataan ini bahawa bahasa terutamanya bahasa ibunda adalah satu komponen penting dalam melambangkan budaya masyarakat setempat.
"Bahasa ibunda didefinisikan sebagai bahasa yang diperkembangkan daripada ibu bapa secara tidak formal sewaktu kita mula belajar bercakap dan ia turut dikenali sebagai 'bahasa pertama'.
"Bahasa pertama tidak mengikut panduan tata bahasa atau struktur ayat dan sinonim dengan bahasa pasar. Bahasa pasar yang dipelajari oleh kanak-kanak akan berubah setelah meningkat dewasa apabila mereka mempelajari bahasa tersebut secara formal. Bahasa formal ini akan menjadi 'bahasa kedua' mereka," katanya.
Kok Seong berkata, masyarakat umum sedar akan kepentingan bahasa ibunda masing-masing. Walaupun banyak persidangan diadakan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa untuk memartabatkan keunggulan bahasa ibunda pelbagai etnik, namun senario kepupusan bahasa tidak dapat dielakkan.
"Apa yang lebih memilukan ialah pada permulaan tamadun manusia, terdapat kira-kira 10,000 bahasa di seluruh dunia tetapi peredaran masa membuatkan angka ini semakin berkurangan sehingga mencecah 6,000 bahasa pada hari ini.
"Bilangan itu akan terus berkurangan ketika dunia menjejaki penghujung abad ini dan dijangka jumlahnya akan tinggal 3,000 sahaja. Jika dilihat pada kaca mata arus modenisasi, penyusutan bahasa bukan mendatangkan sebarang impak kepada perkembangan sains dan teknologi tetapi bagi seorang ahli bahasa, ia secara tidak langsung memupuskan perkembangan budaya dan etnik minoriti di dunia," katanya pada pertemuan khas bersama Kosmo! di UKM, Bangi baru-baru ini.
Kok Seong menegaskan, laungan para sasterawan dan pakar bahasa tempatan dalam memartabatkan bahasa ibunda harus disahut oleh masyarakat setempat terutamanya generasi muda.
"Ini kerana pembelajaran bahasa ibunda membantu mengeratkan silaturahim di antara kaum keluarga sekali gus memberi ruang kepada generasi muda mengenali keturunan serta memahami asal usul masing-masing.
"Dalam budaya masyarakat Melayu, China dan India, masing-masing kaum mempunyai 'pangkat' atau panggilan khusus dalam susur galur keluarga. Panggilan khas ini yang membuatkan budaya kita lebih unik berbanding budaya Barat yang tidak memiliki pangkat tersebut. Misalnya, Pak Long (Melayu), Ah Pek (Hokkein) dan Mama (India) dan sebagainya," jelasnya.
Ujarnya, panggilan khas ini akan mengajar generasi muda mengenai budaya hormat-menghormati di antara satu sama lain dan menyedarkan kepentingan nasab dalam keluarga serta naluri menjiwai keindahan bahasa ibunda masing-masing.
Tambahnya lagi, menyedari kepentingan dan peranan bahasa ibunda, UNESCO mengadakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa setiap tahun pada bulan Februari.
"UKM selaku institut pengajian tinggi awam nasional yang sentiasa berganding bahu memperjuangkan pemelihara bahasa kebangsaan dan kaum minoriti turut mengambil inisiatif buat julung kali menganjurkan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa di kampus UKM Bangi baru-baru ini.
"Sambutan ini diharap dapat menyedarkan warga UKM khususnya masyarakat umum tentang pentingnya bahasa ibunda masing-masing yang pada lazimnya merupakan bahasa minoriti. Sesungguhnya, bahasa-bahasa kecil ini perlu dipelihara dan dipupuk agar sejarah masyarakat Kedah atau Iban misalnya dapat dikenang bersama dengan ciptaan seni, karya sastera, pahlawan serta tokoh bangsa oleh generasi muda," katanya.
Kok Seong memberitahu, sempena acara penuh bermakna ini, para mahasiswa mengadakan pelbagai acara untuk menyebar dan mewariskan budaya melalui bahasa antaranya dendangan lagu, mendeklamasi sajak atau puisi, dan membuat persembahan drama serta tarian kebudayaan.
Beliau menyifatkan apabila sesebuah bahasa itu hilang maka hilanglah pertalian semula jadi dan simbolik antara penuturnya sama ada dengan sejarah mahupun segala macam pencapaian yang merupakan sebahagian daripada pemilikan komuniti.
"Penyerapan bahasa baru atau bahasa lain, setelah hilangnya bahasa ibunda walaupun komuniti berkenaan masih meneruskan budaya hidup seperti biasa tetapi sifat, nilai dan segala macam yang lain tentang komuniti berkenaan akan berubah untuk selama-lamanya.
"Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan dengan persekitaran budaya yang berbagai-bagai, sudah tentu keadaan ini merupakan persekitaran yang baik dalam membangunkan bangsa Malaysia multi etnik," jelasnya.
Kok Seong juga berkata, seluruh rakyat negara ini tidak boleh membiarkan satu pun bahasa di negara ini hilang baik daripada kelompok Melayu, China dan India mahupun lain-lain etnik dari Sabah dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment