Saturday, July 12, 2008

Sumber air baru Singapura

Marina Barrage yang dibina dengan nilai RM574 juta khabarnya akan menjadi tadahan air terbesar di Singapura.


MARINA BARRAGE ini juga akan mencipta kawasan tadahan terbesar di negara itu yang bakal menyediakan 10 peratus daripada permintaan air semasa.


SUMBER air sentiasa menjadi isu penting di Singapura. Namun, tidak lama lagi, perkara tersebut bakal diatasi melalui satu projek mega yang telah dilaksanakan.

Itulah harapan yang disuarakan pegawai sivik di balik tabir projek Marina Barrage yang dianggap tiga dalam satu iaitu untuk mendapatkan sumber air minuman, kawalan banjir dan juga rekreasi.

Selepas melalui proses pembinaan selama tiga tahun dan berakhir baru-baru ini, projek Marina Barrage yang bernilai AS$176 juta (RM574 juta) itu, bakal mencipta sumber baru terhadap air di negara yang hampir ketiadaan sumbernya sendiri.

Apabila wartawan dibawa meneroka dan melihat projek itu, pekerja-pekerja sedang menyiapkan bahagian terakhir jambatan sepanjang 300 meter itu.

Di bawah jambatan tersebut, terdapat sembilan pagar besi yang bertindak sebagai sempadan pasang surut air, kata pihak yang membangunkan projek tersebut. Pagar itu diaktifkan oleh silinder hitam gergasi yang kelihatan seperti meriam.

Di bahagian lain jambatan itu, kelihatan pancaran matahari menjadikan air laut kelihatan kehijauan dan dipenuhi dengan kapal-kapal. Di satu lagi bahagian, air masih lagi berwarna kecoklatan berhadapan latar belakang Republik Singapura.

"Air di sini masih lagi air laut," kata Yap Kheng Guan, pengarah projek untuk agensi air Singapura, PUB sambil berdiri di atas jambatan dan menunjuk ke arah Marina Bay.


PEMBUKAAN Marina Barrage dijangka pada awal tahun depan.


Pegawai PUB berkata, air hujan akan mengeluarkan air laut yang ada. Menurut pihaknya lagi, menjelang tahun 2010, air yang dikeluarkan akan menghasilkan air tasik segar untuk diminum. Selain itu, kawasan itu boleh dijadikan tempat rekreasi warga Singapura dan mampu menarik kehadiran pelancong.

Marina Bay sendiri akan melalui satu perubahan dramatik dengan pembinaan kompleks kasino bernilai bilion dolar, roda pemerhatian Singapore Flyer, pengubahsuaian terminal feri lama dan The Gardens.

Penutupan takungan air dan menghentikan variasi pasang surut air setinggi tiga meter akan menjadikan ia lokasi untuk menaiki bot, luncur angin dan lain-lain aktiviti, kata PUB.

"Secara beransur-ansur, kami membuatnya berfungsi satu demi satu," kata Khoo Teng Chye, ketua eksekutif PUB yang meramalkan pembukaan Marina Barrage pada awal tahun depan.

Projek ini sudah siap sepenuhnya tetapi kerja-kerja akhir diteruskan di pusat pelawat. Ketika hujan lebat pula, pagar sekatan besi boleh dibuka untuk mengeluarkan air hujan mengalir ke laut.

Di samping bertindak sebagai kawalan banjir dan pusat rekreasi, Marina Barrage ini juga akan mencipta kawasan tadahan terbesar di negara itu yang bakal menyediakan 10 peratus daripada permintaan air semasa.

Air dari Marina Reservoir dan lain-lain tempat di republik itu ialah salah satu daripada empat sumber air Singapura. Sebahagian yang lain diimport dari Malaysia serta melalui proses penyahgaraman dan selebihnya dikenali sebagai NEWater.

NEWater bermula sebagai perawat sisa kumbahan yang dikitar semula dan ditapis secara berterusan. Kebanyakan daripada air tersebut digunakan oleh kilang perindustrian dan pengguna komersial.


PARA pekerja berjalan di atas jejambat di Marina Barrage.


Bagi Singapura, projek Marina Barrage menandakan kemuncak terhadap usaha pembersihan yang bermula lebih kurang dua dekad lalu apabila kapal-kapal kecil mencemarkan Sungai Singapura.

Kini, dengan adanya projek mega ini, rakyat Singapura akan dapat menikmati kemudahan yang diperuntukkan dengan penuh kesyukuran. - AFP

No comments: