Thursday, May 28, 2009
Antara Pelangi, Bumi, Matahari, Bulan, Bintang...
Berat sebagaimanapun badai yang menimpa kita, kita jangan terlupa bahawa matahari tidak kemana-mana, begitu juga bulan, bintang, bumi yang kita pijak, dan yang pentingnya dalam keadaan bencana sebesar-sebesar manapun Allah sentiasa ada dan dekat...
Terima kasih kepada ahli keluarga, para sahabat dan para pengunjung yang sudi mengingatkan saya tentang hakikat kehidupan...
Monday, May 25, 2009
Berita Tak Gembira
Hari ini, 25 Mei ialah hari keputusan pertukaran antara negeri diumumkan. Saya diberitahu oleh seorang pegawai JPN supaya menyemaknya melalui internet, walaupun dulu saya mengisi borang secara manual. Maka logiklah pagi tadi, jam 5, keputusan yang terpamer ialah: anda tidak memohon...(ish..!)
Maka saya pun telefon lagilah pihak yang berkenaan, maka jawabnya, anda tak berjayalah tu... cubalah lagi isi borang tukar bulan 9 ni (untuk pertukaran tahun 2010 nanti)..kalau nak cerita semua kat sini kisah saya memohon pertukaran, macam saya ter, ter apa..terperosok dalam liga bola sepak, dilantun sana sini...
Jika mahukan alasan mengapa saya nak bertukar, saya boleh menulis berkajang-kajang. Sejak saya mejadi guru pada tahun 1991, saya tak pernah bertugas di negeri sendiri. Itu baru satu alasan. Alasan mudah dan jitu mengapa saya tak boleh tukar ialah di Kelantan sudah terlebih guru...
Seharian saya di sekolah tadi rasa kepala berdenyut-denyut, dengan masalah pertukaran dan macam2 masalah lain yang membebani jemala saya...
Sebelum balik ke rumah, saya mesti mencari formula untuk mendamaikan jiwa saya semula... lagipun sebelum ini saya cuba menerima keputusan seadanya...
"Mungkin ada hikmat..." Memang itu kata-kata lazim yang diasak-asak dalam benak saya. Dalam hidup saya saya tidak boleh mengharapkan pelangi selepas hujan..sebab, walaupun berkali-kali ditimpa hujan dan badai, pelangi 'masih belum muncul'. Saya tahu, Allah ingin menguji saya lagi, mungkin hingga ke hujung nyawa... namun, saya percaya, pelangi saya tetap ada. Walau apapun ujian yang menimpa, itu adalah daripada Allah, tanda Dia sentiasa ingat pada saya, menuntun saya kepada hakikat kehidupan. Saya tidak akan berputus asa kerana saya percaya Allah sentiasa ada pelangi untuk saya...
Saturday, May 23, 2009
Bicara Buku
Ini Danial, dan buku pertama dia. Ketika dia mula-mula mendapat buku, dia beraksi macam dapat 'mainan'. Jadi saya kenalah tunjukkan dia gambar-gambar dengan perlahan-lahan dan jelas serta tahu dalam buku ada gambar (dan tulisan). Kemudian barulah dia nampak berminat pada gambar di dalamnya. (Satu gambar je yang dia cam, iaitu biskut sebab persis biskut yang ada di rumah). Buku ini saya beli di Pesta Buku PWTC dulu.
Tadi, bertempat di dewan sekolah saya, diadakan satu 'pesta buku' untuk warga Rembau ni. Saya belikan lagi buku-buku bergambar untuk Danial. Kali ni penerimaannya sangat baik berbanding dulu. Walaupun Danial masih tidak boleh bercakap, hanya ma, mama, da, tapi, saya tahu dia boleh mendengar dan sekarang dia dalam proses merakam apa-apa saja yang didengarnya. Anak-anak yang tidak boleh bertutur sehingga dewasa, salah satu sebabnya ialah tidak mempunyai vocabulary di dalam memorinya.
Oklah.
Pada pesta buku PWTC yang lepas, saya hanya sempat membeli sebuah novel (disebabkan masa
yang terhad dan pembelian buku yang rencam). Saya tidak berpuas hati, dan moleknya sahabat saya yang juga penulis tersohor; Nisah Haron bersedia mengeposkan buku/novel daripada syarikat Ujana Ilmunya..Saya menfokus kepada 3 penulis iaitu Azizi hj Abdullah, Faisal Tehrani dan Nisah Haron sendiri. Saya habiskan "Memoir seorang guru" pada hari guru yang lepas. Ulasan saya pada novel tersebut ialah Azizi memang kaya dengan bahasa, memiliki garapan yang luas tentang kehidupan era 70an dan saya terimbas sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Dari awal novel ini membuat saya geram mengapakah bapak begitu pongoh. Bak kata Kamariah, bapa hidup dalam membenci murid, tapi Kamariah hidup dalam dibenci murid (dan guru generasi saya). Pemilihan diksi yang begitu meluas menjadikan saya tergelak sendiri menikmati setiap kata dan frasa yang diungkap. Apa yang saya rasa istimewanya Azizi ini ialah dia suka menyentuh perasaan pembaca. Sambungan kepada novel ini ada pada "Zikir Rindu", masih dalam proses pembacaan, tak berani nak ulas lagi kerana macam ada unsur suspens saja. Sangeeta belum sempat baca.
Saya juga membaca karya Faisal Tehrani "Karya nan indah" dan "Tuhan manusia". Peminat Faisal memang setuju kalau saya katakan beliau terlalu banyak membaca, mengkaji, menjelajah. Ilmu agama dapat, ilmu dunia pun dapat. Sebelum ini saya banyak juga membaca novel dan penulisan beliau.
Ketiga ialah Nisah Haron. Bijak dan dinamik. Beliau yang menjinakkan saya dalam dunia penulisan. Saya banyak belajar yang tersirat daripada beliau. Sekarang saya sedang membaca koleksi "Cinta Sangkuriang rindu Oedipus". Kalau beliau ada masa melayan saya nak rasanya bertanyakan beberapa soalan hasil pembacaan penulisan-penulisan beliau. Seperti juga Faisal Tehrani, mereka berdua banyak mencabar minda pembaca, dengan latar yang pelbagai, watak yang bervariasi, tema dan cerita berubah-ubah.
Semasa di PWTC dulu, saya ada membeli novel yang ditulis oleh penulis popular (novel popular). Dari segi isi, ada juga sudut-sudut yang bagus, tapi, dari segi bahasa...(tak mementingkan keindahan bahasa), sehingga saya terlompat-lompat membaca mencari isi-isi penting. Saya tak nafikan novel popular lebih banyak di pasaran, tapi, bagi saya, jika saya membaca, saya mementingkan kedua-dua, isi dan bahasa, baru terasa ada kepuasan membaca...
Monday, May 18, 2009
Sembang-sembang
Hmm...seminggu dua minggu ni fikiran saya bagai berada di awang-awangan...atau lebih tepat di atas pagar... inilah kes saya, pindah, tak pindah... dah istikharah dah... tapi makin dekat tarikh keputusan berpindah makin saya keliru...dah buat analisis swot...sama banyak keberatannya... Awal dahulu setelah istikharah saya rasa berpindah lebih baik, tapi, sekarang makin dekat tarikh keputusan berpindah, makin banyak dugaan yang saya hadapi seolah-olah nak minta saya berfikir dan tinggal lagi di sini...
Minta maaf ya sebab tak dapat ceritakan dengan terperinci masalah saya di sini, tapi pokoknya 'its very3 complicated...' cuma bayangkan ia memang sukar untuk dirungkai-rungkai. Sekarang saya meletakkan diri saya di awang-awangan dan membiarkan takdir saya ditentukan sepenuhnya oleh Pencipta saya... cuma, doakanlah agar saya mendapat apa yang terbaik, sentiasa bahagia walau di mana-manapun saya berada...
Hari Guru SMKUR 2009
Perhimpunan rasmi dimulai dengan ucapan dari Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Mohd.Khairil bin Jalal, diikuti dengan Perutusan Pengarah Pelajaran Malaysia yang disampaikan oleh GPK HEM, Puan Nor Asikin bin Yahya. Sementara perutusan YAB Menteri Pelajaran disampaikan oleh GPK Akademik, Encik Adnan bin Abd.Rahman dan seterusnya ucapan Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Rafiei bin Haji Mustapha. Ikrar Guru diketuai oleh En.Ganesan, En.Lee Kim Seng dan En.Shahidan Sidek.
Guru-guru turut menyanyikan lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru, Guru Pembina Negara Bangsa. Pada jam 9.00 pagi, acara sukan diadakan antaranya galah panjang, explorace, petanque dan baju kertas. Penyampaian hadiah dan acara pentas diadakan di dewan SMKUR pada jam 10.30 pagi hingga 1.00 tengahari. Acara dimeriahkan dengan persembahan cak lempong, tarian, dan nyanyian dari pelajar-pelajar SMKUR. Majlis diakhiri dengan jamuan guru di Dewan Asrama SMKUR. Sekalung tahniah kepada Kelab Guru, MPP, guru-guru dan pelajar-pelajar yang menjayakan Hari Guru SMKUR 2009.
ikrar Hari Guru
Gambar dan teks ihsan daripada blog PSS SMKUR, jutaan terima kasih atas usaha-usaha Cikgu Azhar dan crews.
Friday, May 15, 2009
MERIAH!
Saya ketika itu berada dalam mesyuarat pengurusan sekolah bersama-sama dengan pengetua cemerlang, GPK 1, GPK Hem, GPK koku, Ketua-ketua bidang yang lain, guru cemerlang dan kaunselor telah ditunjukkan blog tersebut. Pengetua kelihatan begitu gembira dan mengharap kemahiran dalam ict ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak sebagai cara berkomunikasi yang amat berkesan. Pelajar Cikgu Azhar iaitu AJK PSS pun nampak begitu teruja mempelajari pembikinana blog ini contohnya Adziem (saya mengajar kelasnya). Wah ini sudah bagus.
Tabik spring 17 kali perlu diberikan kepada semua guru PSS daerah Rembau, PKG Rembau yang macam api dalam sekam (apa ke peribahasa ni?), sebenarnya saya nak gambarkan keadaan mereka yang bekerja bertungkus lumus dan sekarang menunjukkan kejayaan yang sangat memberangsangkan! Tahniah!
Kemudian saya merenung diri sendiri, hmm, walaupun saya sudah agak lama dalam dunia blog ini, tapi pencapaian saya tidaklah sebagus mana. Saya pun kenalah buat pembaharuan sedikit. Apa pembaharuan ya...Jadi dalam tempoh sehari dua ni saya pun cubalah buat pembaharuan sikit-sikit...seperti yang anda boleh lihat. Background blog ni nak tukar sayang pulak, jadi saya tukarlah background di blog-blog lain saya seperti 'my sweet memories', 'alam sekitar'. Oh ya, saya dah boleh tukar background, kalau dulu saya meminta sahabat maya saya tolong buatkan...
kepada aashaku yang pernah bertanya dalam shoubox bagaimana nak tukar background, atau kalau sesiapa nak tau boleh emel saya, nanti saya ceritakan... wansalmah1594@yahoo.com
Pembaharuan lain mungkin dari segi kontensnyalah. Saya sedang mencari idea...
Friday, May 08, 2009
Lubuk virus
Oleh Nurul Adlina Kamaludin, Rohaniza Idris dan Hafizah Iszahani
Imej imbasan pelancong yang dirakam mesin pengesan suhu badan di lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama. |
Selesema babi dijangka cetuskan semula wabak yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 serta menyebabkan jutaan penduduk dunia mati
TEMPOH lebih seminggu lalu mencatat titik hitam sejarah peradaban manusia moden yang biarpun dikelilingi pelbagai peralatan serba canggih tetapi terpaksa akur dengan ancaman virus 'ganas' haiwan dan terbaru, selesema babi.
Ketika dunia terus bergelut dengan ancaman selesema burung yang belum berkesudahan, kemunculan semula wabak yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat pada 1976, dikesan seawal 13 April lalu di Mexico, jiran terdekatnya.
Dalam tempoh itu, lebih 1,000 kes dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara dengan lebih 100 kematian setakat ini.
Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut.
Berbanding haiwan lain, babi diketahui sebagai 'lubuk' pengeraman virus influenza dan boleh dijangkiti lebih daripada satu virus daripada spesies berbeza. Bahayanya, virus utama membabitkan babi sukar dikenal pasti kerana sistem imun atau daya tahan tubuhnya yang menyebabkan jangkitan serius dan mudah tersebar.
Pekerja di Los Angeles membawa sepanduk menggesa kerajaan memberi perlindungan keluarga berikutan penularan wabak selesema babi. |
Apa yang membimbangkan, selesema babi bukan sekadar wabak bermusim, tetapi diramalkan pakar sebagai pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia.
Buktinya, kematian ramai di Mexico, negara pertama dan disyaki 'pusat' penularan wabak itu dan seterusnya merebak ke negara termasuk yang berstatus negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Kanada, New Zealand, Israel dan Sepanyol.
Ancamannya itu memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaikkan aras amaran ke tahap lima, Khamis lalu - cuma satu aras di belakang tahap teratas amaran pandemik, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa selesema babi itu mungkin melarat kepada pandemik.
"Semua aspek kemanusiaan bakal terancam ketika berlaku pandemik," kata Pengarah WHO, Margaret Chan di Geneva.
Kenyataannya berserta langkah sewajarnya yang diambil kerajaan di hampir semua negara dunia bagi mengatasi penularan penyakit, mencetuskan persoalan mungkinkah selesema babi ini bakal melenyapkan manusia.
Apakah benar andaian ini? Apakah ia mampu mencetuskan wabak selesema di seluruh dunia seperti pernah berlaku pada 1918, 1957 dan 1968 yang turut dicetuskan haiwan? Pada 1918 misalnya, pandemik Selesema Sepanyol meragut lebih 50 juta nyawa yang disifatkan kes terburuk dalam era sejarah moden. Kira-kira 39 tahun kemudian atau 1957, wabak Selesema Asia meragut empat juta nyawa hasil jangkitan daripada itik liar di selatan China yang menular ke Singapura, Hong Kong dan Amerika pada tahun sama. Sebelas tahun kemudian, wabak Selesema Hong Kong meragut lebih sejuta nyawa.
Jika dilihat, pandemik yang berasal dari perkataan Greek 'pan' merujuk semua dan 'demos' atau rakyat, diukur berdasarkan bilangan mereka yang terjejas serta fakta ia boleh menjangkiti mereka yang sihat, selain kumpulan berisiko seperti warga tua.
Andaian kemungkinan selesema babi mampu melenyapkan manusia dilontarkan seorang pakar wabak selesema global yang terkenal dari Universiti Minnesota, Amerika, Michael Osterholm.
Kebimbangannya itu disuarakan menerusi kenyataan yang dipetik kebanyakan media utama dunia: "Apa yang sukar sekarang ialah kita mungkin berdepan krisis kesihatan paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.
"Atau ia mungkin menjadi permulaan kepada pandemik influenza yang amat dahsyat. Buat masa ini, kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Inilah yang menjadi masalahnya."
Jika dilihat, wabak selesema babi bukannya baru. Ia pernah muncul pada 1976 di New Jersey, Amerika Syarikat apabila 500 askar disahkan menghidapnya. Program pembasmian diarahkan, tetapi akhirnya dihentikan selepas vaksin yang diberikan sebaliknya meninggalkan kesan sampingan yang jauh lebih buruk dan membahayakan daripada ancaman selesema babi.
Kini, 33 tahun kemudian, ia muncul lagi dengan profil mangsanya termasuk anak kecil dan warga tua. Kemunculannya itu turut menjadikan sekurang-kurangnya tiga pandemik meletus dalam tempoh seabad lalu dan menular dalam tempoh beberapa bulan ke sebahagian besar dunia.
Tidak hairanlah, kemunculan terbaru selesema babi ini disifatkan pakar WHO sebagai tidak boleh dielak dan ketara. Malah menurut WHO, pandemik itu boleh muncul menerusi beberapa kitaran pada jarak beberapa bulan.
Kemunculan selesema babi itu turut meletakkannya sebaris ancaman selesema burung, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) dan Ebola. Selesema burung misalnya, biarpun muncul pada 1997, tetapi terus mengancam manusia yang bersentuhan atau terdedah kepada ayam serta unggas dijangkiti virus H5N1. Setakat ini, ia meragut 257 nyawa dengan 421 orang dijangkiti di 14 negara.
Sars pula yang menyebabkan sindrom pernafasan yang boleh membawa maut, mencetuskan panik apabila mula dikesan pada 2002 dan menular ke 37 negara dengan 774 kematian daripada 8,000 kes. Ia kemudian 'senyap' dan tiada satu pun kes dicatatkan pada 2005.
Ebola pula yang menyebabkan pendarahan dalaman dan luaran yang serius, dikatakan pakar boleh tersebar menerusi udara tetapi kes jangkitan itu setakat ini menerusi cecair.
Banyak kerja sebenarnya yang perlu dibuat andai selesema babi ini menular kepada wabak besar-besaran termasuk melaksanakan kuarantin mandatori, pemberian ubat dan sekatan perjalanan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara yang sudah pasti mencetuskan panik.
Apa yang pasti, setakat ini, selesema babi masih dalam lingkungan menyaingi ancaman Sars, selesema burung dan Ebola. Hanya masa menentukan sama ada ia setanding pandemik Selesema Sepanyol, Selesema Asia dan Hong Kong biarpun ramai yang berharap biarlah ia menjadi ancaman sementara.
INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi
- Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.
- Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.
- Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.
- Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.
- Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.
- Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.
Sejarah pandemik demam selesema
- Wabak Peloponnesian - 30,000 maut
Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi. - Wabak Antonine Plague - Lima juta mati
Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun. - Wabak Justinian Plague � Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian
Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh. - Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian
Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu. - Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian
Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda. - Wabak Selesema Asia - Empat juta maut
Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati. - Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut
Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati. - Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian
Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan. - Selesema Burung
Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia. - Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun
Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.