Saturday, May 23, 2009

Bicara Buku


Ini Danial, dan buku pertama dia. Ketika dia mula-mula mendapat buku, dia beraksi macam dapat 'mainan'. Jadi saya kenalah tunjukkan dia gambar-gambar dengan perlahan-lahan dan jelas serta tahu dalam buku ada gambar (dan tulisan). Kemudian barulah dia nampak berminat pada gambar di dalamnya. (Satu gambar je yang dia cam, iaitu biskut sebab persis biskut yang ada di rumah). Buku ini saya beli di Pesta Buku PWTC dulu.

Tadi, bertempat di dewan sekolah saya, diadakan satu 'pesta buku' untuk warga Rembau ni. Saya belikan lagi buku-buku bergambar untuk Danial. Kali ni penerimaannya sangat baik berbanding dulu. Walaupun Danial masih tidak boleh bercakap, hanya ma, mama, da, tapi, saya tahu dia boleh mendengar dan sekarang dia dalam proses merakam apa-apa saja yang didengarnya. Anak-anak yang tidak boleh bertutur sehingga dewasa, salah satu sebabnya ialah tidak mempunyai vocabulary di dalam memorinya.

Oklah.
Pada pesta buku PWTC yang lepas, saya hanya sempat membeli sebuah novel (disebabkan masa
yang terhad dan pembelian buku yang rencam). Saya tidak berpuas hati, dan moleknya sahabat saya yang juga penulis tersohor; Nisah Haron bersedia mengeposkan buku/novel daripada syarikat Ujana Ilmunya..Saya menfokus kepada 3 penulis iaitu Azizi hj Abdullah, Faisal Tehrani dan Nisah Haron sendiri. Saya habiskan "Memoir seorang guru" pada hari guru yang lepas. Ulasan saya pada novel tersebut ialah Azizi memang kaya dengan bahasa, memiliki garapan yang luas tentang kehidupan era 70an dan saya terimbas sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Dari awal novel ini membuat saya geram mengapakah bapak begitu pongoh. Bak kata Kamariah, bapa hidup dalam membenci murid, tapi Kamariah hidup dalam dibenci murid (dan guru generasi saya). Pemilihan diksi yang begitu meluas menjadikan saya tergelak sendiri menikmati setiap kata dan frasa yang diungkap. Apa yang saya rasa istimewanya Azizi ini ialah dia suka menyentuh perasaan pembaca. Sambungan kepada novel ini ada pada "Zikir Rindu", masih dalam proses pembacaan, tak berani nak ulas lagi kerana macam ada unsur suspens saja. Sangeeta belum sempat baca.

Saya juga membaca karya Faisal Tehrani "Karya nan indah" dan "Tuhan manusia". Peminat Faisal memang setuju kalau saya katakan beliau terlalu banyak membaca, mengkaji, menjelajah. Ilmu agama dapat, ilmu dunia pun dapat. Sebelum ini saya banyak juga membaca novel dan penulisan beliau.

Ketiga ialah Nisah Haron. Bijak dan dinamik. Beliau yang menjinakkan saya dalam dunia penulisan. Saya banyak belajar yang tersirat daripada beliau. Sekarang saya sedang membaca koleksi "Cinta Sangkuriang rindu Oedipus". Kalau beliau ada masa melayan saya nak rasanya bertanyakan beberapa soalan hasil pembacaan penulisan-penulisan beliau. Seperti juga Faisal Tehrani, mereka berdua banyak mencabar minda pembaca, dengan latar yang pelbagai, watak yang bervariasi, tema dan cerita berubah-ubah.

Semasa di PWTC dulu, saya ada membeli novel yang ditulis oleh penulis popular (novel popular). Dari segi isi, ada juga sudut-sudut yang bagus, tapi, dari segi bahasa...(tak mementingkan keindahan bahasa), sehingga saya terlompat-lompat membaca mencari isi-isi penting. Saya tak nafikan novel popular lebih banyak di pasaran, tapi, bagi saya, jika saya membaca, saya mementingkan kedua-dua, isi dan bahasa, baru terasa ada kepuasan membaca...

No comments: