Wednesday, August 25, 2010

Tergamam leher terkulai

Oleh Adnan Mohamad

2010/08/25

KOTA BHARU: “Saya tergamam melihat leher anak saya terkulai berlumuran darah selepas disembelih suami,” kata Nik Suzila Nik Hashim, 32, ibu kepada Mohamad Adam Muszahffar Muhaimin, 3, yang mati selepas dipercayai disembelih bapanya di Kampung Sungai Keladi semalam.

DITENTERAM...adik-beradik mangsa ditenteramkan saudara-mara  selepas adik mereka  berumur tiga tahun disembelih bapa sendiri  di  rumah, semalam.
DITENTERAM...adik-beradik mangsa ditenteramkan saudara-mara selepas adik mereka berumur tiga tahun disembelih bapa sendiri di rumah, semalam.
TAHAN...suspek  membunuh kanak-kanak tiga tahun ditahan polis.
TAHAN...suspek membunuh kanak-kanak tiga tahun ditahan polis.
Nik Suzila berkata, selepas menyembelih anak, suaminya yang mengalami masalah mental cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau sama, namun tidak berjaya kerana ditahan polis.

Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dia dan suaminya, Muhaimin Sauntar, 33, sempat berbual-bual sebelum suaminya mengadu kepanasan dan berjalan ke arah dapur sambil diekori Mohamad Adam Muszahffar.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan kuat Mohamad Adam Muszahffar dan pada mulanya menyangka anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh di dapur.

“Saya segera ke dapur dan terkejut melihat anak saya terkulai berlumuran darah selepas disembelih suami. Saya tak sangka dia sanggup berbuat begitu. Saya mampu menjerit dan makin terkejut apabila suami cuba mengelar lehernya sendiri,” katanya.

Menurut Nik Suzila, turut berada di rumah ketika kejadian, anak bongsunya, Siti Aisyah, 2, manakala anak sulung, Nur Syafikah, 8, berada di sekolah.

Ini ialah fenomena yang dinamakan kemurungan. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kemurungan. Mungkin faktor baka, stress melampau, pengambilan dadah, atau mengamalkan ajaran sesat. Dalam kes di atas pelaku telah mengalami sakit mental dan telah terputus bekalan ubat. Ubat yang diberikan oleh doktor itu sebagai penenang dan mesti diambil secara berkala. jika tidak, inilah padahnya.

Seperti yang terjadi pada tahun lepas, iaitu kes seorang anak muda yang telah membunuh 4 ahli keluarganya dan sanggup memenggal salah seorang daripada mereka. Menurutnya, dia telah mendapat 'arahan yang tertulis di dinding'.

Dalam kes ini, kedua-dua pelaku telah mengalami halusinasi. Salah satu huraian tentang halusinasi mengikut pengalaman saya ialah bisikan, arahan yang menyuruh pelaku membuat sesuatu yang di luar kawalannya. Ini bergantung kepada kekronikan pelaku. Dalam kedua-dua kes mereka telah terdaya melakukan sesuatu yang sangat besar.

Mengikut kajian saya, jiwa yang kosong disebabkan oleh kekecewaan, tekanan melampau dsb, menyebabkan sesorang akan hilang arah tuju. Rasa bersalah, rendah diri, marah, bosan, benci mengasak-asak benak. Pada masa inilah syaitan akan mengambil tempat (ingat dalam Islam ada makhluk lain selain manusia) dan mengawal diri manusia. Kalau pelaku masih kuat pegangan agama, dia akan cuba melawan. Terjadi pertarungan hebat antara iman dengan syaitan yang tidak disedari oleh pelaku. Jika pada masa ini pegangan agama tidak kuat, dia akan menyalahkan takdir atau Tuhan dan semua yang ada di sekelilingnya. Lebih teruk lagi tindakannya akan membawa kemusnahan, pembunuhan kejam.

Masih ingat kes seorang ibu yang telah menghumban bayinya ke dalam tali air. Kes ibu tadi termasuk kes meroyan. Ibu yang mengandung, melahirkan bayi, menyapih bayi siang dan malam dalam keadaan tidak selesa, tertekan juga akan mengalami fenomena ini. Suami dan ahli keluarga yang lain sewajarnya lah prihatin akan kepayahan yang sudah ditanggung ibu. Dalam kes ibu tadi, dia telah tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada sang suami (masalah rumah tangga ni). Setelah bayinya meninggal barulah dia sedar akan perbuatannya.

Nah, setelah segala-galanya terjadi, barulah kita gempar. Satu negara gempar. Ironinya kes ini kita tatap kejadiannya dalam media semakin bertambah.

Sebagai warga yang waras, apakah tindakan yang seharusnya kita lakukan?
1. Jika ahli keluarga, sahabat, jiran membuat perkara-perkara aneh, gemar bersendiri, sila
selidik. Dengar isi hatinya, cuba baca catatannya (terpaksalah ni).
2. Jika kedapatan ahli keluarga yang memang ada keturunan mengalami sakit mental, anda
perlu lebih prihatin kerana probabiliti untuk terjadi lebih tinggi. jangan pulaukan, bahkan
bantulah mereka. Mereka keluarga anda.
3. Dapatkan rawatan yang berkala walau apa keadaan sekalipun.
4. Temankan ahli keluarga, sentiasa hubungi mereka. SMS sekurang-kurangnya sekali sehari.
Bertanyakan khabar, perasaan hari itu. Cuba wujudkan keceriaan, hubungan ikhlas.
5. Jangan biarkan dia bersendiri. Ajak ke tempat rekreasi dll yang melapangkan fikiran.
6. Buat sesuatu yang baru, contoh bercucuk tanam/ berkebun, membaca dll yang diminati.
7. Sudah tentulah kuatkan keimanan. Banyakkan membaca al Quran. jangan tinggal soalat.
Banyakkan membaca buku-buku agama. Berdampingan dengan kawan-kawan yang positif.
8. Cari talian hayat yang berkualiti, yang dapat memberi kelegaan atas persoalan yang dihadapi.
Mungkin psikatri, kawan yang baik, ahli keluarga, ahli agama.
9. Dan lain-lain.

Cuba jangan kecewa dan jangan bersedih. memang adat hidup di dunia kita tidak akan dapat semua apa yang kita hendak. Dan ingat, kita juga tidak hilang semua yang kita ada. Sekurang-kurangnya kita masih ada badan dan nyawa, aset kita yang sangat berharga. Jika orang yang kita harap-harapkan mengecewakan kita, ingat, masih ramai yang sayang dan menghargai kita. ALLAH sangat sayangkan kita. Sayangilah diri kita.
Hidup di dunia hanya sementara, hanya sebagai pentas. Kita bagaikan pengembara, mengutip seberapa banyak bekalan, menuju ke negara yang kekal abadi...

(Tadi saya membaca surah al insan. Apabila tiba bahagian betapa segar air yang mengalir di syurga, lantas saya membanding alangkah keruhnya air di kawasan kediaman saya. Saya menadah tangan, tanpa disedari beberapa titis air jernih membasahi kelopak mata. Oh tuhan, rindunya daku untuk menikmati air-Mu yang segar dan bening..)

Sunday, August 15, 2010

Hidayah di Butik Tudung

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

2010/08/08

PERUBAHAN imejnya mengundang perhatian ramai ketika bertandang ke Balai Berita baru-baru ini. Sungguh, dia sangat cantik bertudung hingga pujian meniti di bibir beberapa teman media yang menyapa. Sambil tersenyum manis, pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini meminta izin ke studio kerana jurusolek sedia menunggu.
pix_middle

Berkongsi momen itu dengan Selebriti, pemilik nama sebenar Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross ini menjelaskan, sampai masanya dia bertudung dan niat murni itu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa paksaan suami mahupun keluarga.


Tidak mampu menyembunyikan rasa sebak, Cat berkata, semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.


Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.


Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.


"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.


"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.


Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.


Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.


"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.


"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.

"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.


"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan? "Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.


"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.


Perasaan gembira melakukan penghijrahan itu turut dikongsi bersama ibu tercinta. Sebaik mengetahui Cat bertudung, ibunya bergegas terbang ke Kuala Lumpur, malah turut dibelikan tudung untuk dihadiahkan kepada aktres itu.


"Ibu sanggup terbang dari Kelantan semata-mata mahu melihat perubahan saya. Terharu saya melihat riak gembira di wajah ibu dan berita itu turut dimaklumkan kepada bapa saya yang bertugas di Romania.


"Ramai juga teman terkejut dengan perubahan saya dan masing-masing bertanya apa menyebabkan saya tiba-tiba ubah imej. Terus-terang saya sangat bersyukur diberi hidayah dengan cara begini.


"Tak pernah saya rasa setenang ini, sesungguhnya saya antara manusia bertuah," kata Cat sambil mencium pipi montel buah hatinya, Sephia Rania Ross-Iddin.


Hadir berdua ke Balai Berita, Cat cekap menguruskan Rania. Lebih menarik, bayi comel berusia empat bulan setengah itu seakan-akan memahami komitmen ibunya yang perlu memberi pose terbaik di depan lensa kamera tidak banyak kerenah.


Berkongsi pengalaman sebagai ibu, Cat meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan cahaya mata yang mudah dijaga. Lumrah ibu beranak kecil, pasti kurang rehat dan tidur, namun berbeza dengannya apabila tidak berdepan situasi itu.


Zuriat hasil perkahwinannya dengan jejaka pilihan, Shahruddin Mokhtaruddin itu senang dibawa ke mana-mana, malah dari kecil dia yang menguruskan segala keperluan Rania. Jika terbabit dengan penggambaran, Rania ditinggalkan dengan mentua atau ibunya jika bertandang ke Kuala Lumpur.


"Mula-mula memang kekok, maklumlah tidak ada pengalaman, tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri. Rania anak yang baik dan bukan jenis suka merengek atau menangis.


"Saya gembira dapat melihat dia membesar depan mata. Setiap perkembangannya dapat saya saksikan dan itu momen yang sungguh bermakna.


"Daripada pemerhatian saya, Rania mudah mesra, sangat berdikari dan suka berkawan tetapi mudah terasa hati. Dialah permata hati saya dan suami," kata lulusan Bachelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia ini.


Beralih perihal karier, Cat masih aktif berlakon, cuma seperti kebanyakan teman artis yang mempunyai anak kecil, aktiviti seninya sedikit terhad di mana dia hanya menerima tawaran penggambaran sekitar Kuala Lumpur.


Dia tidak ralat meskipun banyak tawaran terpaksa ditolak demi Rania. Ini kerana sebagai ibu dia mahu memberikan perhatian terbaik buat anaknya.


Serentak perubahan imejnya, ada suara nakal berbisik kononnya ruangnya untuk berkarya dalam persada lakonan kian terbatas, namun bagi Cat itu cuma omong kosong yang sedikitpun tidak berbekas di hati.


"Saya sedikit pun tak risau soal ini. Ada doa yang berbunyi: 'Ku mohon rezeki dari langit Kau turunkan, rezeki dari bumi Kau keluarkan, rezeki yang jauh Kau dekatkan, rezeki payah Kau permudahkan'. Saya pegang doa ini. Sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah dan sebagai manusia kita kena berusaha dan bertawakal.


"Tiada apa perlu saya takutkan dengan perubahan imej ini. Bukankah menutup aurat itu tuntutan agama. Jika kita perhatikan sudah ramai artis bertudung, tak ada masalah pun.


"Kalau benar kerana memakai tudung tawaran selepas ini mula berkurang, saya pasrah. Dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini pun saya tidak ralat kerana tawaran ada, cuma saya perlu lebih selektif kerana tidak sampai hati berjauhan dengan Rania. Jika penggambaran di lakukan sekitar Kuala Lumpur saya akan terima.


"Jika tidak terbabit dengan penggambaran, sambil uruskan Rania saya ambil tempahan biskut cip coklat dan sibuk dengan bisnes aksesori serta pin tudung. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan, termasuk dari Kota Bharu.


"Seperti saya katakan tadi, dengan izin Allah rezeki ada di mana-mana saja dan datang dengan berbagai cara. Justeru, tidak perlu ragu-ragu bila ada suara sumbang cuba menakutkan kita," katanya.

Tuesday, August 10, 2010

Engkau Mampir Lagi Buat si Perindu...


Hari ini kita berada di hari terakhir Syaaban 1431. Sebelah kaki kita sudah berada di pinggir Ramadhan dan tidak sampai 24 jam lagi kita akan berada dalam bulan yang paling mulia ini.

Saya masih teringat pada penulisan allahyarham Asri Rabbani semasa umat Islam sedang bersiap siaga untuk menyambut Ramadhan tahun lepas. Alangkah terujanya beliau dan tidak sabar untuk mengimarahnya dengan ibadah dan memperbanyak membaca al Quran. Namun, hajatnya tidak kesampaian. Dan perancangan Allahlah yang terbaik. Mungkin beliau sedang berbahagia di alam sana. Kita nampaknya dapat menyambut Ramadhan yang lepas dan mungkin akan berpeluang menikmati rahmat dan berkat sepanjang bulan mulia kali ini. InsyaAllah, alhamdulillah.

Jadi, dalam tempoh beberapa jam lagi ini, kita masih sempat untuk berrehearsal untuk melakukan amalan terbaik nanti. Hargailah peluang yang bukan semua orang dapat menikmatinya. Bermula dengan hati, fikiran kita. Berserah, bertawakkal kepada Allah. Bersangka baik kepada Allah. 5 panca indera yang ada. Lidah/mulut, banyakkan zikrullah. Dan anggota badan yang lain haruslah sabar dalam melakukan taat dan sabar daripada melakukan perkara mungkar. Berlumba-lumba meraih keredhaan Allah bukan setakat menjala pahala. Bayangkan kita memberi respons akan saranan Allah yang 'tidak nampak' kepada kita, tetapi Dia begitu teruja menawarkan pelbagai tawaran istimewa kepada ummah dan tentulah Dia akan berasa bangga dengan hamba-Nya yang menyahut seruan-Nya... Bagaimanakah Sang Tuhan begitu beria membuat pelbagai ganjaran, memberi pahala dan memasukkan hamba-Nya yang patuh ke dalam syurga-Nya? Dan menyediakan pula keampunana kepada sesiapa yang memohon ampun? Wahai hati-hati yang keras, lembutlah kamu kerana tidak pernah ada/akan ada Pemberi yang Maha tidak berkira begitu!

Dan, semoga amalan kita akan berterusan, istiqamah, bukan pada permulaan sahaja, semakin susut dan surut. Kemudian sibuk menyambut hari raya.

Marhaban ya Ramadhan..Semoga Ramadhan ini menambah nama baik kita di sisi-Nya.

Friday, August 06, 2010

Seni Pasir




Barangan Israel di pasaran


Baju yang tertera Made In Israel banyak terdapat di hypermarket terkenal di Shah Alam.


SHAH ALAM 5 Ogos – Walaupun kempen memboikot barangan buatan Israel dan negara-negara yang mempunyai kaitan dengan rejim itu giat dilancarkan tetapi masih ada pihak yang seolah-olah tidak ambil pusing tentang perkara tersebut.

Ini berikutan aduan daripada orang awam yang mendakwa sebuah kedai yang menjual pakaian di dalam hypermarket terkenal di Shah Alam menjual baju keluaran sebuah syarikat pengeluar barangan Israel.

Atas aduan tersebut satu tinjauan telah dibuat wartawan Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut di hypermarket yang dimaksudkan bagi memastikan kebenaran aduan itu.

Tinjauan mendapati terdapat lebih daripada 20 helai baju lelaki pelbagai jenis dan saiz dipercayai keluaran syarikat itu telah dibuang logo jenamanya dan hanya ukuran saiz sahaja yang tinggal.

Apabila Utusan Malaysia cuba bertanya kepada jurujual di premis berkenaan dia hanya menjawab tidak tahu kenapa logo jenama itu telah dibuang.

Apa yang peliknya di bahagian saiz pakaian tersebut pula tertera pelbagai nama negara seperti China, Hong Kong. Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Lebih mengelirukan lagi apabila baju-baju yang lambang jenamanya di potong telah dicampur aduk dengan pakaian-pakaian jenama lain mungkin untuk mengelirukan pelanggan.

Tetapi keadaan itu tetap menimbulkan kecurigaan kerana bukan semua pakaian yang dijual di kedai berkenaan tanda jenamanya dibuang.

Daripada maklumat yang diperoleh oleh orang awam, pakaian kanak-kanak yang dijual di situ juga adalah buatan Israel.

Perkampungan anak banduan




TU LING suka melukis gambar-gambar untuk bapanya selain mempunyai impian satu hari nanti dia akan disatukan kembali dengan ibunya. Namun, kanak-kanak berumur 10 tahun itu tidak mengetahui bahawa impian tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan.

Ayahnya dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan membunuh ibunya.

Tu Ling merupakan salah seorang daripada puluhan anak-anak malang China yang tinggal di perkampungan Sun, sebuah rumah perlindungan di pinggiran kota Beijing.

Ia diasaskan oleh bekas pegawai penjara bertujuan memberi sinar harapan kepada anak-anak banduan tersebut untuk menjalankan sebuah kehidupan yang baru.

"Saya sedar bahawa banduan-banduan itu amat mengambil berat terhadap anak dan keluarga mereka di luar sana," terang Zhang Shuqin, pengasas rumah perlindungan tersebut kepada pemberita AFP.

Zhang, 62, terinspirasi untuk membangunkan rumah tersebut setelah mewawancara puluhan banduan untuk akhbar dalaman bagi Biro Pentadbiran di Wilayah Shaanxi Utara.

Tergerak dengan cebisan cerita perpisahan antara keluarga yang memilukan itu, Zhang membuka rumah perlindungan pertamanya pada tahun 1996 di Shaanxi.

Sejak itu tanpa sebarang bantuan dana daripada kerajaan, dia membina lima lagi rumah perlindungan tersebut termasuk sebuah di Beijing.

"Ada sesetengah daripada anak-anak banduan hilang, dijual dan dibawa pergi oleh saudara-mara mereka. Malah, terdapat sebilangannya tidak mempunyai sesiapa untuk melindungi mereka sejak muda lagi," tambah Zhang.

Kanak-kanak seawal usia empat bulan telah dihantar ke perkampungan Sun selepas ibu bapa mereka dijatuhi hukuman. Kebanyakan mereka ditinggalkan oleh saudara-mara yang tidak mampu menjaga mereka kerana tekanan hidup.

Sebelum tiba ke perkampungan tersebut, sesetengah daripadanya terpaksa menjalani kehidupan yang tidak teratur dengan merempat di jalanan selama berbulan-bulan dan terlibat dalam aktiviti jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.


ANAK-ANAK banduan ini diberikan pendidikan seperti mana kanak-kanak lain untuk memastikan mereka juga mempunyai masa depan.


Ma Yufei, 12, memberitahu AFP dia sudah menghabiskan separuh daripada hidupnya di perkampungan tersebut.

Pihak polis membawanya dari wilayah utara Hebei selepas ayahnya dipenjarakan. Dia menyatakan tidak tahu di mana ibunya berada dan terlalu trauma untuk menjelaskan jenayah yang dilakukan oleh ayahnya.

"Kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah setibanya mereka di sini. Terdapat di antara mereka yang amat membenci polis disebabkan menahan ibu bapa mereka malah, sebilangannya mempunyai keinginan yang kuat untuk membalas dendam.

"Mereka mempunyai perangai yang buruk seperti mencuri, berbohong dan bertindak ganas untuk memastikan terus hidup sepanjang merempat di jalanan. Kami cuba untuk memperbaiki perilaku tersebut dengan memberikan kaunseling kepada mereka," jelas Zhang.

Kini, kanak-kanak tersebut tinggal di asrama yang dikelilingi kebun sayur, dusun dan taman permainan. Setiap asrama akan ditempatkan seorang 'ibu' untuk menjaga mereka.

Zhang berkata, mereka akan mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain di sekolah-sekolah biasa. Seandainya lulus dalam peperiksaan, mereka akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej teknikal sebagai persediaan masa depan yang lebih cerah.

"Tidak cukup hanya memberi makan dan minum. Mereka harus memiliki kemahiran agar dapat mencari pekerjaan," tambah Zhang.

Dalam memastikan segala kelengkapan mencukupi di perkampungan tersebut, Zhang bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan oleh dermawan dan ahli perniagaan.

Ketika AFP berada di situ, terdapat beberapa kereta jenama Audi yang lazimnya digunakan oleh pegawai kerajaan atau ahli perniagaan kaya berhenti untuk menyampaikan guni-guni beras, tepung, pakaian dan kasut untuk kanak-kanak tersebut.

Zhang memberitahu untuk menambahkan lagi pendapatan rumah perlindungan itu mereka menjual ayam dan angsa yang diternak atau menjual buah pic yang terdapat di perkampungan tersebut.

"Saya sukakan suasana di sini kerana ditemani oleh rakan-rakan, adik, pak cik dan mak cik," kata Cao Xiangqian, 12.

Dia dan adiknya yang berumur lima tahun dihantar oleh datuk mereka setahun yang lalu selepas ayahnya dipenjarakan. Ibunya telah menghilang diri dan gagal dijejaki.

"Saya akan menghabiskan masa dengan bermain ping pong dan menonton televisyen. Saya amat menyukai filem-filem kung fu," kata Cao ketika duduk dengan sekumpulan rakan-rakan yang lain di hadapan televisyen asrama mereka.


CAO XIANGQIAN mempunyai kehidupan yang lebih baik di rumah perlindungan Sun.


Zhang memberitahu, sejak penubuhan perkampungan Sun lebih 14 tahun lalu, lebih 2,000 kanak-kanak telah dibantu meskipun dia mengetahui jumlah sebenar yang melarat di luar lebih besar.

Kaji selidik yang dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2005 mendedahkan hampir 600,000 anak-anak banduan memerlukan pertolongan. Malah, populasi banduan di penjara juga makin meningkat dan pembukaan perkampungan baru Sun sedang dalam pembinaan.

Sepanjang berada di asrama tersebut, Tu Ling tidak pernah berhenti melakar lukisan sambil menunggu ayahnya dibebaskan.

Zhang mengatakan peristiwa sebenar pembunuhan ibu Tu Ling masih belum diceritakan kepadanya kerana enggan psikologi kanak-kanak itu terjejas. Malah, namanya juga diubah bagi melindungi kepentingannya.

"Saya akan sabar menunggu ayah dibebaskan dan pulang ke Sichuan untuk mencari ibu kerana saya amat merinduinya," kata Tu Ling.