Friday, August 06, 2010

Barangan Israel di pasaran


Baju yang tertera Made In Israel banyak terdapat di hypermarket terkenal di Shah Alam.


SHAH ALAM 5 Ogos – Walaupun kempen memboikot barangan buatan Israel dan negara-negara yang mempunyai kaitan dengan rejim itu giat dilancarkan tetapi masih ada pihak yang seolah-olah tidak ambil pusing tentang perkara tersebut.

Ini berikutan aduan daripada orang awam yang mendakwa sebuah kedai yang menjual pakaian di dalam hypermarket terkenal di Shah Alam menjual baju keluaran sebuah syarikat pengeluar barangan Israel.

Atas aduan tersebut satu tinjauan telah dibuat wartawan Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut di hypermarket yang dimaksudkan bagi memastikan kebenaran aduan itu.

Tinjauan mendapati terdapat lebih daripada 20 helai baju lelaki pelbagai jenis dan saiz dipercayai keluaran syarikat itu telah dibuang logo jenamanya dan hanya ukuran saiz sahaja yang tinggal.

Apabila Utusan Malaysia cuba bertanya kepada jurujual di premis berkenaan dia hanya menjawab tidak tahu kenapa logo jenama itu telah dibuang.

Apa yang peliknya di bahagian saiz pakaian tersebut pula tertera pelbagai nama negara seperti China, Hong Kong. Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Lebih mengelirukan lagi apabila baju-baju yang lambang jenamanya di potong telah dicampur aduk dengan pakaian-pakaian jenama lain mungkin untuk mengelirukan pelanggan.

Tetapi keadaan itu tetap menimbulkan kecurigaan kerana bukan semua pakaian yang dijual di kedai berkenaan tanda jenamanya dibuang.

Daripada maklumat yang diperoleh oleh orang awam, pakaian kanak-kanak yang dijual di situ juga adalah buatan Israel.

No comments: