Tuesday, August 10, 2010

Engkau Mampir Lagi Buat si Perindu...


Hari ini kita berada di hari terakhir Syaaban 1431. Sebelah kaki kita sudah berada di pinggir Ramadhan dan tidak sampai 24 jam lagi kita akan berada dalam bulan yang paling mulia ini.

Saya masih teringat pada penulisan allahyarham Asri Rabbani semasa umat Islam sedang bersiap siaga untuk menyambut Ramadhan tahun lepas. Alangkah terujanya beliau dan tidak sabar untuk mengimarahnya dengan ibadah dan memperbanyak membaca al Quran. Namun, hajatnya tidak kesampaian. Dan perancangan Allahlah yang terbaik. Mungkin beliau sedang berbahagia di alam sana. Kita nampaknya dapat menyambut Ramadhan yang lepas dan mungkin akan berpeluang menikmati rahmat dan berkat sepanjang bulan mulia kali ini. InsyaAllah, alhamdulillah.

Jadi, dalam tempoh beberapa jam lagi ini, kita masih sempat untuk berrehearsal untuk melakukan amalan terbaik nanti. Hargailah peluang yang bukan semua orang dapat menikmatinya. Bermula dengan hati, fikiran kita. Berserah, bertawakkal kepada Allah. Bersangka baik kepada Allah. 5 panca indera yang ada. Lidah/mulut, banyakkan zikrullah. Dan anggota badan yang lain haruslah sabar dalam melakukan taat dan sabar daripada melakukan perkara mungkar. Berlumba-lumba meraih keredhaan Allah bukan setakat menjala pahala. Bayangkan kita memberi respons akan saranan Allah yang 'tidak nampak' kepada kita, tetapi Dia begitu teruja menawarkan pelbagai tawaran istimewa kepada ummah dan tentulah Dia akan berasa bangga dengan hamba-Nya yang menyahut seruan-Nya... Bagaimanakah Sang Tuhan begitu beria membuat pelbagai ganjaran, memberi pahala dan memasukkan hamba-Nya yang patuh ke dalam syurga-Nya? Dan menyediakan pula keampunana kepada sesiapa yang memohon ampun? Wahai hati-hati yang keras, lembutlah kamu kerana tidak pernah ada/akan ada Pemberi yang Maha tidak berkira begitu!

Dan, semoga amalan kita akan berterusan, istiqamah, bukan pada permulaan sahaja, semakin susut dan surut. Kemudian sibuk menyambut hari raya.

Marhaban ya Ramadhan..Semoga Ramadhan ini menambah nama baik kita di sisi-Nya.

No comments: