TU LING suka melukis gambar-gambar untuk bapanya selain mempunyai impian satu hari nanti dia akan disatukan kembali dengan ibunya. Namun, kanak-kanak berumur 10 tahun itu tidak mengetahui bahawa impian tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan.
Ayahnya dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan membunuh ibunya.
Tu Ling merupakan salah seorang daripada puluhan anak-anak malang China yang tinggal di perkampungan Sun, sebuah rumah perlindungan di pinggiran kota Beijing.
Ia diasaskan oleh bekas pegawai penjara bertujuan memberi sinar harapan kepada anak-anak banduan tersebut untuk menjalankan sebuah kehidupan yang baru.
"Saya sedar bahawa banduan-banduan itu amat mengambil berat terhadap anak dan keluarga mereka di luar sana," terang Zhang Shuqin, pengasas rumah perlindungan tersebut kepada pemberita AFP.
Zhang, 62, terinspirasi untuk membangunkan rumah tersebut setelah mewawancara puluhan banduan untuk akhbar dalaman bagi Biro Pentadbiran di Wilayah Shaanxi Utara.
Tergerak dengan cebisan cerita perpisahan antara keluarga yang memilukan itu, Zhang membuka rumah perlindungan pertamanya pada tahun 1996 di Shaanxi.
Sejak itu tanpa sebarang bantuan dana daripada kerajaan, dia membina lima lagi rumah perlindungan tersebut termasuk sebuah di Beijing.
"Ada sesetengah daripada anak-anak banduan hilang, dijual dan dibawa pergi oleh saudara-mara mereka. Malah, terdapat sebilangannya tidak mempunyai sesiapa untuk melindungi mereka sejak muda lagi," tambah Zhang.
Kanak-kanak seawal usia empat bulan telah dihantar ke perkampungan Sun selepas ibu bapa mereka dijatuhi hukuman. Kebanyakan mereka ditinggalkan oleh saudara-mara yang tidak mampu menjaga mereka kerana tekanan hidup.
Sebelum tiba ke perkampungan tersebut, sesetengah daripadanya terpaksa menjalani kehidupan yang tidak teratur dengan merempat di jalanan selama berbulan-bulan dan terlibat dalam aktiviti jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
|
|
Ma Yufei, 12, memberitahu AFP dia sudah menghabiskan separuh daripada hidupnya di perkampungan tersebut.
Pihak polis membawanya dari wilayah utara Hebei selepas ayahnya dipenjarakan. Dia menyatakan tidak tahu di mana ibunya berada dan terlalu trauma untuk menjelaskan jenayah yang dilakukan oleh ayahnya.
"Kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah setibanya mereka di sini. Terdapat di antara mereka yang amat membenci polis disebabkan menahan ibu bapa mereka malah, sebilangannya mempunyai keinginan yang kuat untuk membalas dendam.
"Mereka mempunyai perangai yang buruk seperti mencuri, berbohong dan bertindak ganas untuk memastikan terus hidup sepanjang merempat di jalanan. Kami cuba untuk memperbaiki perilaku tersebut dengan memberikan kaunseling kepada mereka," jelas Zhang.
Kini, kanak-kanak tersebut tinggal di asrama yang dikelilingi kebun sayur, dusun dan taman permainan. Setiap asrama akan ditempatkan seorang 'ibu' untuk menjaga mereka.
Zhang berkata, mereka akan mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain di sekolah-sekolah biasa. Seandainya lulus dalam peperiksaan, mereka akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej teknikal sebagai persediaan masa depan yang lebih cerah.
"Tidak cukup hanya memberi makan dan minum. Mereka harus memiliki kemahiran agar dapat mencari pekerjaan," tambah Zhang.
Dalam memastikan segala kelengkapan mencukupi di perkampungan tersebut, Zhang bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan oleh dermawan dan ahli perniagaan.
Ketika AFP berada di situ, terdapat beberapa kereta jenama Audi yang lazimnya digunakan oleh pegawai kerajaan atau ahli perniagaan kaya berhenti untuk menyampaikan guni-guni beras, tepung, pakaian dan kasut untuk kanak-kanak tersebut.
Zhang memberitahu untuk menambahkan lagi pendapatan rumah perlindungan itu mereka menjual ayam dan angsa yang diternak atau menjual buah pic yang terdapat di perkampungan tersebut.
"Saya sukakan suasana di sini kerana ditemani oleh rakan-rakan, adik, pak cik dan mak cik," kata Cao Xiangqian, 12.
Dia dan adiknya yang berumur lima tahun dihantar oleh datuk mereka setahun yang lalu selepas ayahnya dipenjarakan. Ibunya telah menghilang diri dan gagal dijejaki.
"Saya akan menghabiskan masa dengan bermain ping pong dan menonton televisyen. Saya amat menyukai filem-filem kung fu," kata Cao ketika duduk dengan sekumpulan rakan-rakan yang lain di hadapan televisyen asrama mereka.
Zhang memberitahu, sejak penubuhan perkampungan Sun lebih 14 tahun lalu, lebih 2,000 kanak-kanak telah dibantu meskipun dia mengetahui jumlah sebenar yang melarat di luar lebih besar.
Kaji selidik yang dilakukan oleh kerajaan pada tahun 2005 mendedahkan hampir 600,000 anak-anak banduan memerlukan pertolongan. Malah, populasi banduan di penjara juga makin meningkat dan pembukaan perkampungan baru Sun sedang dalam pembinaan.
Sepanjang berada di asrama tersebut, Tu Ling tidak pernah berhenti melakar lukisan sambil menunggu ayahnya dibebaskan.
Zhang mengatakan peristiwa sebenar pembunuhan ibu Tu Ling masih belum diceritakan kepadanya kerana enggan psikologi kanak-kanak itu terjejas. Malah, namanya juga diubah bagi melindungi kepentingannya.
"Saya akan sabar menunggu ayah dibebaskan dan pulang ke Sichuan untuk mencari ibu kerana saya amat merinduinya," kata Tu Ling.
No comments:
Post a Comment