Sunday, January 02, 2011

Anak Anda Autisme?

Ajaibnya anugerah Ping Lian




SEJURUS selesai membelek poskad landskap bandar raya Kuala Lumpur bersaiz 4R, Yeak Ping Lian, terus menyarung apron lalu mencapai pen marker pelbagai saiz dan menggenggamnya dengan tangan kiri.

Sementara itu, tangan kanannya mula menconteng kertas berukuran 52.5 X 75 sentimeter yang terletak di atas meja.

Tanpa membuat sebarang ukuran dimensi untuk melukis di atas permukaan berskala besar, Ping Lian terus membentuk garisan-garisan padu yang membentuk ikon Kuala Lumpur iaitu bangunan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Sesekali jelas kelihatan keningnya berkerut, seolah-olah sukar untuk memahami dan memberi interpretasi terbaik terhadap poskad serta lukisan yang sedang dihasilkan.

Tanpa meninggalkan elemen-elemen rumit seperti motosikal, lampu isyarat dan deretan kereta, Ping Lian tidak mempunyai masalah menyalin semula gambar tersebut secara keseluruhannya dalam bentuk lukisan.

Mata mikroskopik

Hasil kerjanya begitu teliti malah ramai penggiat seni lukis menganggap karya Ping Lian adalah terjemahan kaca mata seorang pelukis yang memiliki kanta mikroskopik.

Mana tidaknya, hampir semua gambaran yang terdapat di poskad cuba dizahirkan melalui gabungan contengan garisan anak muda ini.

Bukan sebarang contengan, sebaliknya lukisan Ping Lian mempunyai kualiti garis sekali gus memberi penegasan kepada subjek yang dilukis dan membentuk mod karya.

Mengenali remaja berusia 17 tahun ini, Ping Lian sesungguhnya memiliki keupayaan melukis yang sungguh luar biasa.


LEKA dalam dunianya sendiri, remaja autistik ini temui keseronokan berganda apabila mula melukis.


Dilahirkan pada November 1993, Ping Lian disambut seperti bayi normal yang lain. Namun, apabila semakin membesar, karakternya mula berubah menjadi hiperaktif.

Selepas dibawa bertemu pakar perubatan, dia didiagnos mempunyai Attention Deficit Hyperactive Disorder atau Gangguan Hiperaktif Kurangan Tumpuan bercirikan autisme. Ketika itu umurnya empat tahun.

Bagaimanapun, insan istimewa yang tidak pandai membaca, menulis dan bercakap ini mencipta kejayaan peribadi apabila menghasilkan lebih 1,000 lukisan sejak berumur lapan tahun.

"Saya dapati Ping Lian sangat minat melukis bahkan dia mempunyai bakat luar biasa terhadap seni itu. Buktinya, dia boleh melukis objek yang dilihat dengan begitu teliti.

"Bagi manusia normal, kita lebih cenderung melihat objek yang besar dan berwarna terang atau garang, tetapi bagi Ping Lian, dia tidak pernah hilang pandangan daripada perkara yang kecil, malah dia lebih teliti melukis perkara yang sangat rumit.

"Contohnya, jika kita melihat suasana di sebuah tokong sewaktu upacara keagamaan sebagai konsep gambar, Ping Lian melihat ukiran naga di bumbung tokong sebagai perkara utama yang tidak boleh ditinggalkan," kata ahli pengasas galeri The Art Commune Malaysia, galeri yang mempamerkan lukisan Ping Lian, Yvonne Hon.

Berbicara mengenai kelebihan lukisan anak bongsu daripada tiga beradik itu, selain ketelitian, Ping Lian juga dikatakan tidak pernah membuang lukisan jika berlaku kesilapan lukisan, sebaliknya dia akan terus melukis hingga selesai.

Tambahnya lagi, jika Ping Lian teringatkan sesuatu ketika sedang melukis, dia akan melukis apa yang terlintas di kepalanya.

Ikan terbang

"Jangan terkejut jika anda terlihat gambar ikan sedang terbang dalan satu lukisan Menara Berkembar Petronas yang dihasilkannya," ujarnya sambil ketawa.

Mengambil masa seminggu hingga berbulan-bulan untuk menyiapkan lukisannya. Ping Lian juga suka melukis dua ke tiga lukisan dalam masa yang sama.


KEBOLEHAN melukis Ping Lian dikesan sejak berumur lapan tahun.


Apa yang pasti, Ping Lian sangat gemarkan gambar pemandangan dan figura manusia termasuk haiwan dalam mod yang ceria.

Selain dakwat hitam putih, dia juga mahir menggunakan material cat minyak di atas kanvas dalam menghasilkan lukisan.

Biarpun dilakukan sekadar untuk kepuasan diri, keunikan hasil contengan Ping Lian dilihat umpama hasil kerja artis berpengalaman.

Malah, ramai pelukis terkenal yang kagum dengan kebolehan remaja istimewa ini.

"Seorang Pensyarah Kanan Seni Lukis dari Itali berdiri setengah jam memandang lukisan Ping Lian. Ketika itu, Ping Lian mengadakan pameran di Pulau Pinang.

"Katanya, tidak semua pelukis mampu menggabungkan garisan-garisan sehingga menjadi arca seni yang sangat mengkagumkan.

"Saya masih tidak percaya seorang remaja autistik boleh menghasilkan karya serumit ini," ujar Yvonne.

Yvonne yang memberi peluang kepada pelukis-pelukis daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk mempamerkan karya mereka di galeri miliknya di Subang Jaya menambah, pameran lukisan Ping Lian bukan sekadar pameran seni.

"Ia lebih daripada seni. Ia adalah perkongsian peluang, harapan, inspirasi, kecekalan dan kemenangan.

"Bagi ibu bapa yang memiliki anak autistik, jangan mudah putus asa. Kecekalan dan kegigihan Sarah dalam mendidik Ping Lian boleh kita jadikan contoh bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita berusaha keras untuk mendapatkannya," kata Yvonne.

Kreativiti Ping Lian juga pernah diangkat martabatnya apabila Shell Malaysia mengabadikan lukisan dalam bentuk kalendar tahun 2007 syarikat itu.


TANPA perlu mendraf, lukisan akan terus diterjemah mengikut gerak hatinya.


Selain itu, Ping Lian juga sering dijemput untuk menyertai pameran solo dan berkumpulan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Jepun selain Malaysia sendiri.

Pada tahun 2004 ketika berusia sembilan tahun, lukisan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar yang dihasilkan berjaya meraih bidaan bernilai RM100,000 oleh pembida yang enggan dikenali. Hasil bidaan tersebut didermakan sepenuhnya kepada badan yang memerlukan.

Selain itu, Ping Lian juga mendapat tempat pertama dalam kerja dakwat "ArtFirst" Princeton, Universtity Medical Center di Princeton, Amerika Syarikat pada tahun 2009 melalui lukisan Gereja Christ Melaka IV.

Tidak ketinggalan, Ping Lian turut mendapat pengiktirafan Heroes of Autism di California, pada tahun 2009.

Dengan anugerah dan kebolehan melukis yang luar biasa yang dimilikinya, Ping Lian telah diberi gelaran seniman cendekiawan (prodigious savant) luar biasa.

Terdapat kurang daripada 100 cendekiawan seniman di seluruh dunia dan Ping Lian, seorang rakyat Malaysia adalah seorang daripadanya.

No comments: