Sekarang kita sudah menginjak ke minggu ke 2 minggu persekolahan 2011. Oh sekejapnya masa berlalu. Terutama semasa berada di sekolah, jika kita tidak merancang betul-betul perkara yang ingin kita lakukan, masa akan berlalu begitu sahaja sepantas kilat tanpa kita sempat berbuat apa-apa. Dunia sudah akhir zaman...
Tahun ini saya masih mengajarkan KHB (Pertanian). Sudah banyak sekolah yang menggugurkan pilihan pertanian ini namun kami berkeputusan untuk mengekalkannya.
Bagi saya, 'bertani' itu menyeronokkan, biarpun kawasan sekolah kami ini terlalu sempit. Tanah yang ada cuma sekangkang kera. Pada tahun ini, kami dengan semangat yang berkobar-kobar akan berusaha untuk membuat beberapa aktiviti yang berkaitan dengan bidang ini.
Tahun ini merupakan tahun ke2 saya mengajarkan subjek ini. Kami sedang berusaha menjemput pihak luar untuk menunjuk cara untuk melakukan beberapa projek pertanian seperti membela ikan air tawar, membela burung dan arnab sebagai haiwan kesayangan dan juga bercucuk tanam tanpa menggunakan tanah yang banyak. Akhir tahun lepas, pihak JPNK unit Teknik dan Vokasional telah menyerahkan beberapa peralatan pertanian untuk kami gunakan.
Dalam kepala memang banyak perkara yang boleh dilaksanakan. Kami beruntung kerana Mudir sekolah kami memang menyokong segala usaha membangunkan anak bangsa.
Pada tengah hari tadi, pembahagian pelajar kepada kelab dan unit beruniform telah dilakukan. Saya dan 2 guru lain mengendalikan Kelab KHB dan Reka cipta. Pada mulanya hanya 8 orang mendaftarkan diri (6 perempuan). Saya sudah mencongak aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mereka. Tidak ramai pun bagus juga, boleh fokus. Beberapa minit berlalu, datang pelajar lelaki tingkatan 3, 2 dan 1 menjadikan jumlah ahli kami sudah melimpah. Bagi saya sebahagian daripda mereka ini boleh dipindah dan dimasukkan ke dalam kelab lain. Tetapi, apabila difikir-fikirkan lagi, kebolehan mereka ini lebih kepada psikomotor (bukan akademik), maka kami kena fikirkan aktiviti kemahiran yang perlu dilaksanakan.
Ini adalah merupakan entri awal sahaja sebagai mukaddimah awal sesi...
No comments:
Post a Comment