Friday, July 20, 2007

Kerajaan nafi urus niaga ringgit dilonggarkan

Tiada perubahan dasar kawalan mata wang tempatan: Najib

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan spekulasi bahawa kononnya kerajaan akan melonggarkan kawalan terhadap urus niaga ringgit.

Katanya, setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan dasar kerajaan dalam kawalan urus niaga mata wang tempatan itu.

"Saya tidak mendengar apa-apa. Itu hanya khabar angin pasaran, bukan dari pihak kerajaan. Saya juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan dasar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi di pasaran ketika ini bahawa kerajaan akan melonggarkan lagi kawalan terhadap ringgit.

Spekulasi itu telah mengukuhkan ringgit sejak kebelakangan ini.

Pada penutup urus niaga semalam, mata wang tempatan itu diniagakan pada pada RM3.4330/4380 berbanding satu dolar Amerika Syarikat daripada penutupan RM3.4500/4530 kelmarin.

Peniaga berkata, ringgit mendapat permintaan tinggi, terutama daripada pelabur asing selepas tersebarnya spekulasi kononnya Bank Negara akan mengumumkan langkah bagi mengukuhkan lagi pasaran tukaran asing, termasuk melonggarkan lagi urus niaga ringgit.

Walaupun kerajaan telah menghapuskan sebahagian besar kawalan modal yang diperkenalkan pada 1998 bagi menangkis serangan spekulator mata wang ketika kemuncak krisis kewangan Asia Timur pada 1997/1998, termasuk memansuhkan tambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat pada Julai 2005, namun dasar untuk tidak membenarkan mata wang tempatan itu diniagakan di luar negara masih kekal.

Sementara itu, spekulasi berkenaan turut dinafikan oleh Bank Negara Malaysia.

Timbalan Gabenornya, Datuk Zamani Abdul Ghani menegaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai langkah untuk melonggarkan lagi dasar berhubung urus niaga ringgit.

“Tidak setakat yang saya tahu,” katanya semasa diminta mengulas mengenai spekulasi itu ketika ditemui media selepas mewakili Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-11 di Kuala Lumpur, semalam.

No comments: