KELIHATAN sekumpulan wanita memegang potret bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush bersama replika kasut yang diletakkan di atas kepala mereka sambil melaungkan 'Tangkap Bush, Bush guna taktik kotor bagi menutup segala kekejamannya'.
Sementara itu, sekumpulan lelaki berjalan dari satu arah yang sama turut menayangkan kain rentang yang bertulis 'Benci kekejaman Bush'.
Perarakan yang disertai seramai 500 orang itu bukan setakat menyuarakan kebencian terhadap Bush, malah turut bertindak membaling kira-kira 40 pasang kasut ke arah pagar dengan disaksikan ramai pelancong asing.
Ada di antara penunjuk perasaan berkata, mereka berbuat demikian bagi menyokong tindakan wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi membaling kasut ke arah Bush dalam satu sidang akhbar di Baghdad pada Disember lalu.
Bukan itu sahaja, segelintir penunjuk perasaan turut menzahirkan cemuhan ke atas rejim Zionis melalui sepanduk besar dengan melaungkan anti-Israel.
Kejadian itu menyaksikan kebencian mendalam penduduk negara itu terhadap Bush yang tidak pernah puas bertindak kejam terhadap dunia, khususnya Afghanistan, Pakistan, Iran, Iraq dan bumi Palestin yang kesemuanya negara Islam.
Suasana riuh rendah yang jelas kedengaran di seluruh pekarangan White House pada 20 Januari lalu, bertambah gamat dengan jeritan menghina yang diluahkan oleh penduduk yang berperikemanusiaan.
Keriuhan itu juga menandakan berakhirnya era pentadbiran Bush sebagai Presiden AS, setelah genap lapan tahun menerajui negara itu.
Perpisahannya bukan diiringi dengan pemberian bunga-bungaan, sebaliknya dengan air mata dan penghinaan oleh penunjuk perasaan antiperang yang berhimpun di luar pagar rumah kuasa besar AS itu.
Bermula hari itu juga, Barack Obama dilantik sebagai presiden baru, dengan harapan tinggi diberikan oleh rakyat seluruh negara.
Jika Obama mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS, Bush juga mencipta sejarah tersendiri sebagai Presiden AS pertama dihina seumpama itu sejak AS mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 4 Julai 1776.
Bush bukan sahaja digelar 'hero kejam' disebabkan kejayaannya merampas kuasa-kuasa negara Islam, sebaliknya mencipta sejarah hitam dalam kerjaya politiknya.
Pelbagai alasan diberikan untuk merampas kuasa pemerintahan Islam dengan mewujudkan kempen memerangi keganasan. Era Bush menyaksikan pelbagai pertempuran yang melibatkan kezaliman dan pembunuhan di Iraq, Afghanistan dan Palestin.
Berjuta-juta penduduk Iraq dan Afghanistan hidup melarat dan menderita akibat peperangan yang dilancarkan oleh Bush. Beribu-ribu wanita menjadi balu termasuk kanak-kanak yang kehilangan keluarga.
Kempen tersebut bukan sahaja menyebabkan dua kerajaan berdaulat tumbang iaitu Afghanistan dan Iraq, tetapi juga menjadi episod yang menakutkan bagi seluruh penduduk dunia.
Akibat tamak, beratus-ratus individu menjadi tawanan di Guantanamo semata-mata ingin menjatuhkan Saddam Hussein dan memburu Osama Laden, yang didakwa bertanggungjawab meletupkan Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001.
Tragedi peperangan di Afghanistan pada 7 Oktober 2001 semestinya satu memori paling pahit yang harus ditelan oleh masyarakat dunia.
Sejak itu, Bush melancarkan kempen memerangi keganasan bagi menghalalkan tindakannya menahan sesiapa sahaja yang disyaki sebagai pengganas dengan alasan untuk melindungi rakyat AS dan penduduk dunia.
Memegang prinsip berjuang hingga ke titisan darah terakhir, AS kemudian menceroboh masuk ke Iraq pada Mac 2003 kerana didakwa memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD).
Sebagai menutup pintu pentadbirannya, Bush 'mengumumkan' siri gencatan senjata selepas merestui kezaliman rejim Zionis di Palestin.
Pada 27 Disember 2008, Israel melancarkan serangan di Gaza dengan alasan mahu menghapuskan pergerakan Hamas yang melancarkan serangan roket ke wilayahnya.
Ada dakwaan menyatakan bahawa Israel melancarkan serangan kerana mahu mengambil kesempatan terhadap dasar Bush yang kuat menyokong rejim Zionis.
Bush seolah-olah merealisasikan dakwaan itu apabila menyokong serangan kejam rejim Zionis dan menyatakan Hamas perlu menghentikan serangan roket ke wilayah Israel.
Sifat kemanusiaan yang kononnya cuba ditunjukkan Bush itu, tidak dapat menafikan hakikat angka korban terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin. Seramai 1,314 orang termasuk 416 kanak-kanak dan 106 wanita terkorban di Gaza manakala 5,320 lagi termasuk 1,855 kanak-kanak dan 795 wanita cedera.
Dalam pada itu, kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri, Ehud Olmert memilih untuk menyerang Gaza kurang sebulan sebelum Obama mengangkat sumpah menjadi Presiden AS.
Mulai hari ini, dunia akan memberi tumpuan kepada Obama sebagai Presiden AS. Apakah angka 44 itu akan memberi petunjuk baru kepada penduduk dunia atau masih menimbulkan malapetaka yang berterusan bagi tempuh empat tahun ini?
Bagaimanapun, majlis angkat sumpah Obama sebagai Presiden AS pada hari tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat dunia untuk melupakan tragedi hitam yang ditinggalkan Bush itu.
Penangan kasut Bush
PADA 15 Disember 2008, seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq.
Wartawan berkenaan, Muntadar Al-Zeidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik. Sambil menjerit dalam bahasa Arab: “Ini adalah kucupan perpisahan untuk kamu, anjing. Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” Muntadar terus membaling kasut yang dipakainya ke arah Bush. Muntadar ialah wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.
|
|
Bush menundukkan kepala sebanyak dua kali dan kasut pertama mengenai bendera AS dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin itu. Kasut kedua tidak mengenai sasaran.
Bagi masyarakat Arab, tapak kasut dianggap penghinaan paling teruk.
No comments:
Post a Comment