KUALA LUMPUR 24 April – Pelupusan kereta berusia 15 tahun tidak wajar diwajibkan sebaliknya para pemilik boleh melakukannya secara sukarela, agar tidak membebankan mereka yang kurang berkemampuan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (AAM), Datuk Aishah Ahmad berkata, walaupun cadangan itu bakal meningkatkan jualan semua jenis kereta, namun kerajaan perlu melihat faktor pendapatan rakyat secara keseluruhan.
Menurutnya, tidak semua rakyat negara ini mampu menukar kereta berikutan kadar faedah pinjaman yang tinggi selain kesukaran mendapatkan pinjaman.
Sehubungan itu, jelas beliau, ada pemilik kereta memilih untuk memakai kereta mereka sehingga berpuluh-puluh tahun iaitu selagi kenderaan itu beroperasi dengan baik.
“Bagaimanapun, jika pemilik itu secara sukarela melupuskan keretanya, satu insentif perlu diberi, contohnya cadangan pemberian baucar sebanyak RM5,000 untuk wang pendahuluan bagi membeli kereta baru.
“Bagi pemilik yang tidak mahu melakukan pelupusan, seharusnya tiada tindakan diambil ke atas mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) supaya kereta yang berusia 15 tahun dilupuskan bagi mengelakkan kenderaan-kenderaan lama terus beroperasi, sekali gus mampu merancakkan perniagaan kereta-kereta baru.
Dianggarkan, terdapat kira-kira sejuta unit kereta yang berusia lebih 15 tahun dan ke atas di negara ini.
Aishah tidak menafikan cadangan itu merupakan salah satu kaedah bagi menangani lambakan kereta yang tidak terjual di pasaran.
“Memang benar sekiranya ramai yang melupuskan kereta lama, maka ramai yang akan membeli kereta baru, sekali gus akan melonjakkan jualan semua jenis kereta yang tersadai di pasaran.
“Selain itu ia juga dapat membantu penjual-penjual kereta yang sedang menderita kerana ketiadaan pelanggan,” jelasnya.
Sementara itu, Aishah memberitahu, industri automotif tempatan mencatatkan peningkatan pasaran 23 peratus bulan lepas setelah dua bulan berturut-turut mengalami penurunan.
“Lonjakan ini berlaku kerana hari kerja yang panjang dan syarat pinjaman pembelian kereta yang sedikit longgar serta kadar faedah yang rendah. Kami menjangkakan situasi pasaran akan kekal pada April ini,” katanya.
Jika kita hendak membuat satu undang-undang baru maka segala faktor harus dipertimbangkan. Syor pelupusan ini sesuai untuk bandar raya besar seperti Kuala Lumpur. Di Beijing contohnya sistem jalan raya di sana lancar, kerana penggunaan kenderaan berkeadaan baru, susah nak jumpa lori atau kenderaan berat, juga motor. Basikal berleluasa digunakan tapi ada lorongnya tersendiri. Pemandu berdisiplin dan bersistematik.
Tapi tak patutlah jika dilupuskan di semua tempat. Pakcik2, orang-orang kampung yang kurang mampu hanya itulah kereta yang mereka ada. Walaupun sesekali kita rasa geram jika di hadapan kita ada kereta uzur yang dipandu 40/50 km sejam, kita potong sajalah sebab di kampung tidak sibuk sangat.
No comments:
Post a Comment