Kisah kali ini tentang syukur dan ni'mat, sempena muhasabah diri ini yang sudah diberi peluang menyedut nafas dan menapak di bumi sejak 44 tahun nan lalu.
Lewat 3 1/2 bulan yang lepas, kami para jemaah haji menaiki bas untuk berangkat dari Mekah ke Madinah. Saya ditempatkan bersama-sama seorang makcik dari Jelebu. Sudah takdir saya sepanjang di sana saya rapat dengan golongan warga emas. Di dalam perut bas, saya mengambil gambar pemandangan padang pasir, juga gambar kami berdua.
"Cuba tengok apa yang jatuh tu" tegur makcik J.
Saya melihat-lihat apa yang jatuh, beberapa barang saya seperti buku saya ambil. Keadaan dalam bas agak gelap ketika itu.
Diringkaskan cerita sampailah kami ke Madinah. Benarlah kata Yus, Madinah bandar yang indah dan bersih. Kami kumpulan dari maktab 86 di Mekah masih diletakkan di tempat yang sama cuma ada sedikit perubahan.
Saya mencari-cari kamera saya. Sudah puas saya membelek beg sandang, beg galas Tabung Haji, namun tidak berjumpa. Saya mula berdebar-debar.Terlalu besar ertinya sebuah kamera kepada saya, apa tah lagi di situ tersimpan kenangan saya semasa di bumi Mekah. Air mata saya mula menitis. Bukan sebab saya baru membelinya sejurus sebelum ke Mekah dan harganya yang boleh tahan mahal, tapi, segala kenangan itu... Fikiran saya sudah mula berkecamuk, sedih dan kecewa yang amat.
Semasa di Mina saya kehilangan selipar kesayangan saya. Banyak nostalgia pada selipar itu; yang membawa saya ke Masjidil Haram dll. Tapi hilangnya sepatu itu ada sebabnya. Kisahnya semasa di kemah Mina, seorang kawan, guru muda bertanya ada tak nampak sebelah seliparnya. Dia meletakkan seliparnya di luar kemah. Oleh sebab dia agak muda, saya pun rasa nak memberi nasihat yang bernas. "Lain kali simpan selipar di dalam plastik dan letak di dalam kotak macam ni" seraya menunjukkan selipar dan kasut saya dan ahli kumpulan saya yang tersusun rapi.
Pagi esoknya, saya mencari selipar saya, alangkah terkejutnya kerana sudah tiada, kasut-kasut yang lain elok ada. Hairan juga sebab sebelum itu kami beramai-ramai pergi berjamrah.Siapa punya kerja agaknya.
"Itulah, bertawakkal pada beg plastik sangat" saya menyesali diri. Biasanya setiap kali saya meletakkan sepatu saya saya akan berdoa agar Allah menjaga keselamatannya kerana saya ingin beribadah dengan khusyuk nanti.
"Nah, padan muka, kawan tu hilang sebelah kasut kau hilang dua-dua belah kasut"
Biarlah, Allah ingin mendidik saya dengan sepasang sepatu. Orang lain lebih teruk lagi, kata saya menyabarkan diri.
Lalu di Madinah, ketika kesedihan yang amat sangat meratapi kehilangan kamera, saya cuba bermuhasabah diri. Saya ingin menulis berapa banyak "kebaikan" dan berapa banyak "keburukan" sepanjang saya berada di Tanah Suci. Sebelum ini pun saya ada ditimpa beberapa dugaan.
Sedang saya terfikir-fikir apa yang ingin ditulis,tiba-tiba saya teringat satu cerita yang saya baca daripada buku cerita anak saya.
"Terdapat seorang ahli ibadah yang tinggal di lereng bukit. Dia akan beribadah sepanjang waktu dalam hidupnya. Ada sebatang sungai yang mengalir jernih airnya, beliau meminum dari situ dan di tepi rumahnya tumbuh sepohon delima yang berbuah sebiji setiap hari. Itulah makanannya saban hari.
Suatu hari si abid tadi meninggal. Allah meletakkannya ke dalam syurga.
"Masuklah kamu ke dalam syurga-Ku kerana rahmat-Ku"
"Tidak, aku masuk ke syurgamu kerana ibdahku selama 500 tahun" jawab si abid angkuh. Allah murka lalu mengeluarkan si abid tadi dari syurga.
"Ibadahmu selama 500 tahun itu hanya untuk membayar sebelah matamu sahaja. Ni'mat mata, segala panca indera, tubuh badanmu, tidak terbayar olehmu"
Tidak semena-mena air mata saya mengalir lagi. Apalah ada pada sebuah kamera dengan ni'mat yang Allah kurniakan kepada saya selama ini. Dianugerahkan tubuh badan yang sihat, anak yang ramai dan banyak lagi kurniaan-Nya. Dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci sedangkan betapa ramai yang hendak ke sana tapi tidak dapat?
Saya memanjangkan istighfar. Mungkin kamera saya jatuh di dalam bas tadi. Biarlah pemandu bas tadi terjumpa dan biarlah dia membawanya balik ke rumah, mengambil gambar ahli keluarganya atau biarlah walaupun dia hendak menjualnya.
(Namun saya tidak gembira dua tiga hari itu)
Suatu hari, saya berkemas beg besar saya.
"Masya Allah, apa ini?"
Saya membelek-belek benda itu bagai tidak percaya. Saya diulit hairan dan ketawa bagai histeria. Terasa bagai Allah berada di hadapan mata "bergurau" dengan saya!
Maha Suci Allah, saya sungguh-sungguh tidak faham misteri ini. Namun, bermula hari itu (dan setelah dibasuh di Tanah Suci), saya cuba menerima sesuatu dengan redha dan syukur. Jadikanlah diri ini bersabar atas segala dugaan-Nya dan bersyukur atas segala ni'matnya.
Hari lahir kali ini mengajar saya erti syukur kerana walaupun saya rasa diri saya ini serba kekurangan, tapi hakikatnya Allah telah mengurniakan saya pelbagai ni'mat yang tidak terhitungkan...Alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment