Oleh Halina Mohd Noor
SECARA sedar atau tidak, keserasian adalah elemen penting dalam mencari jodoh. Sesetengah masyarakat mengukur keserasian antara lelaki dan wanita melalui waktu dan tarikh mereka dilahirkan. Kononnya bagi mengelakkan hubungan pasangan menjadi panas dan sering berlaku pergaduhan. Faktor lain diambil kira seperti bintang kelahiran yang turut dipertimbangkan bagi memastikan pasangan sesuai hidup sebagai suami isteri.
Bagi Ismail Md Isa dan isteri, Saudah Wahid, tidak pernah terlintas di fikiran menjadikan faktor tarikh lahir atau bintang kelahiran sebagai alat menimbang keserasian antara mereka sebelum mendirikan rumah tangga.
Walaupun keduanya bergelar Anak Mereka dan dilahirkan pada hari dan tahun sama iaitu pada 31 Ogos 1957, itu bukanlah antara faktor utama mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
Saudah berkata, keserasian antara dirinya dan Ismail wujud sebagai rakan biasa kerana sebelum berkahwin mereka sering bertemu dalam program yang diatur untuk Persatuan Anak Merdeka (PAM).
“Sebelum ini, kami hanya berkawan seperti biasa sejak 2000. Oleh kerana masing-masing aktif dalam aktiviti Persatuan Anak Merdeka, setiap tahun kami bertemu dalam pelbagai program menjelang Hari Kemerdekaan. Abang (Ismail) sudah berkeluarga, jadi tidak pernah terlintas untuk bertemu jodoh dengannya,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Kata Ismail, selepas berpisah dengan isterinya, beliau menduda selama tiga tahun tanpa pengetahuan rakan PAM lain termasuk Saudah. Mungkin kerana sudah jodoh, hatinya terdetik untuk melamar Saudah yang masih membujang. Tanpa banyak bicara, niat murninya diluahkan.
“Sebagai rakan, saya rasa Saudah, gadis paling sesuai untuk mengisi dunia sunyi sebagai duda. Pada masa itu, Ramadan, terasa begitu kesunyian. Bila hajat diluahkan, Saudah terkejut kerana fikir saya masih beristeri. Selepas dibuktikan saya sudah kembali solo, Saudah minta seminggu untuk beri keputusan sama ada menerima atau sebaliknya lamaran itu. Akhirnya kami disatukan pada Februari lalu,” katanya.
Berkongsi tarikh lahir, tahun dan bintang yang sama, keduanya mengakui pertemuan jodoh mereka sebagai sesuatu yang unik. Ia mungkin berlaku satu dalam sejuta masyarakat. Saudah dilahirkan pada sebelah petang Merdeka, manakala Ismail pada subuh hari keramat itu.
Bagaimanapun, Ismail dan Saudah tidak begitu merasakan pengaruh perkongsian berkenaan dalam membina keharmonian rumah tangga mereka. Berbintang Virgo, keduanya mengakui pemalu, mudah merajuk dan kuat bergaduh. Namun, apa yang penting, suami isteri perlu ada sikap mengalah bagi meredakan suasana tegang.
“Suami isteri mana yang tidak bergaduh? Paling penting, salah seorang mesti mengalah. Kalau dua-dua degil, habislah. Setakat ini, hubungan kami seperti ketika masih bergelar kawan. Sebenarnya ia lebih memudahkan dari segi komunikasi antara suami isteri,” kata Saudah.
Kedua-duanya juga berkongsi hobi sama iaitu berkaraoke, minat menikmati masakan yang sama dan menonton gusti. Akui mereka, ia bukan sesuatu yang dibuat-buat, tetapi lumrah suami isteri yang sering terikut atau terpengaruh dengan minat pasangan masing-masing.
“Dulu Saudah tidak suka menonton ‘wrestling’, tetapi ikut juga menonton. Akhirnya, dia yang terlebih minat. Kami juga berkongsi minat dalam bidang seni, tetapi lain cabang. Saya suka menyanyi, manakala Saudah suka mendeklamasikan sajak pada aktiviti PAM. Apa yang pasti, kami masih aktif dengan pelbagai program PAM termasuk pada tahun ini,” kata Ismail.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, tanggal 31 Ogos 2007 menjadi tarikh paling bererti dan istimewa untuk Ismail dan Saudah. Selain menyambut kemerdekaan negara daripada penjajah, keduanya tidak sabar menanti detik 12 malam untuk menyambut hari jadi masing-masing.
Ismail sudah menyediakan hadiah istimewa untuk isteri tercinta, tetapi dirahsiakan sehinggalah detik manis itu tiba, manakala Saudah berterus terang akan membawa suaminya bercuti ke Pulau Pangkor sebaik selesai majlis sambutan kemerdekaan di sini.
“Sebelum ini kami hanya bersalam-salaman sambil mengucapkan tahniah antara satu sama lain pada malam Merdeka. Tahun ini kami menyambutnya sebagai suami isteri. Sudah tentu ia adalah saat paling membahagiakan,” kata Ismail.
Ternyata kebahagiaan suami isteri bukan terletak pada faktor tertentu, tetapi sikap toleransi antara kedua-duanya. Persamaan itu boleh dipupuk bagi mengeratkan lagi rumah tangga.
Pada kesempatan ini, juga bulan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan selamat :
menyambut kemerdekaan kali ke-50 kepada semua warganegara Malaysia. Jagalah tanah air tercinta ini kerana hanya inilah tanah air yang kita miliki. Malaysia setakat ini (dan semoga hingga kiamat) aman dan damai daripada mala petaka seperti yang tertimpa oleh negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam yang terhina oleh bangsa-bangsa asing. Tidak sanggup rasanya mengenang apa-apa yang sedang dialami oleh saudara kita di Palestin, Iraq dsb. Ngeri apabila saya menonton satu video klip bagaimana seorang lelaki (Iraq kalau tak silap) dipenggal kepala dalam tempoh beberapa saat sahaja. Itu baru satu contoh yang nampak. Di manakah maruah diri wahai saudara-saudaraku? Saya amat sedih melihatkan laku perangai anak-anak muda sekarang yang tidak tahu menghargai harga sebuah kemerdekaan, harga sebuah tanah yang berdaulat, tidak bertanggungjawab dan hanyut dalam badai sendiri.
Selamat yang kedua untuk anak-anak yang bakal menduduki UPSR, tangga pertama untuk kecemerlangan seterusnya.
Ketiga untuk pelajar-pelajar Kuiz Pengguna, buat yang terbaik, untuk diri sendiri, untuk sekolah, untuk negeri masing-masing, dan menjadi pengguna yang bijak dalam mengatur kehidupan.
Kepada semua pelayar blog, tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan. Ada yang dah mula berpuasa sunat Rejab dan Syaaban. Syukur kerana dipertemukan lagi dengan bulan-bulan mulia ini. Semoga diri kita semakin hampir kepada-Nya.
Dan kepada pasangan Ismail dan Saudah di atas, syukur dan tahniah. Semoga istana yang baru terbina teguh dan utuh hingga ke akhirat. Ajaib dan indahnya ciptaan Tuhan. Diberinya rahmat dan kasih sayang tanpa kita duga! Kebahagiaan tergapai 'di hujung usia..'
No comments:
Post a Comment