Friday, March 20, 2009

AS dilanda bandar khemah

Tidak pernah dibayangkan penduduk di negara yang paling berpengaruh di dunia, hidup melarat dan penuh kemiskinan. Penduduk Sacramento, California meluahkan kisah hidup mereka.




KEMELESETAN ekonomi kian menunjukkan taringnya di negara yang sebelum ini cukup terkenal sebagai kuasa ekonomi dunia. Signifikannya, ia boleh diterjemahkan berdasarkan kewujudan bandar khemah yang semakin membesar di Sacramento, California, Amerika Syarikat (AS).

Jika satu kurun dahulu, kawasan ini dipenuhi oleh khemah kumpulan yang mencari rezeki di tebing Sungai Amerika (American River). Hari ini, kawasan tersebut dipenuhi oleh penduduk yang sudah hilang harapan dan prospek.

Meliputi keluasan beberapa ekar, kemunculan bandar khemah adalah kesan nyata kemelesetan ekonomi AS dan krisis pasaran hartanahnya. Dianggarkan dalam seminggu, seramai 50 pendatang baru akan tiba dan berkhemah di situ.




Bandar khemah itu terletak di kawasan yang cantik iaitu di tepi sungai, langit terbuka dan bercuaca sederhana.

Angka rasmi menunjukkan golongan tidak berumah di Sacramento kini mencecah seramai 1,226 orang. Pada mulanya, sejumlah 300 penduduk berpindah ke bandar khemah selepas semua rumah perlindungan penuh.

Malah, sebuah rumah perlindungan memberitahu pihaknya terpaksa menolak permintaan 200 orang wanita dan kanak-kanak dalam sehari.

Di negeri yang dilimpahi dengan kekayaan dan glamor Hollywood, imej tersebut amat mengejutkan rakyat negara Uncle Sam itu. Kondisinya juga cukup primitif, tiada sebarang bekalan air dan sistem sanitasi yang sewajarnya.

Penduduknya juga perlu berjalan sejauh 4.8 kilometer untuk membeli air botol dari stesen minyak atau kedai serbaguna berhampiran. Jika bernasib baik, pekerja-pekerja kebajikan akan datang menghulurkan makanan percuma dan barangan keperluan lain.

Pengarah Perundangan Loaves & Fishes, badan bukan kerajaan yang membantu meringankan beban golongan malang, Joan Burke memberitahu, situasi itu membuka mata banyak pihak.

"Kita tidak hanya boleh terkejut. Tindakan mesti diambil untuk mengubahnya kerana keadaan ini tidak boleh diterima. Kita sudah kembali ke zaman Great Depression," katanya.


SEORANG lelaki berdiri di tepi unggun api di depan khemahnya untuk memanaskan badan dalam cuaca yang sederhana sejuk di bandar khemah Sacramento.



CASEY RILEY memanaskan air di luar khemahnya.


Pihak berkuasa Sacramento yang menempatkan pejabat Gabenor Arnold Schwarzenegger mengakui pemandangan itu tidak menyenangkan.

Namun, berdepan dengan krisis dan defisit bajet berbilion dolar, mereka tidak ada banyak pilihan, selain menimbang untuk menjadikan bandar khemah itu sebagai satu struktur tetap.

Lebih penting lagi, kawasan itu nanti bakal dilengkapi dengan perkhidmatan kebersihan dan peraturan seperti pengharaman dadah serta minuman keras.

Ironinya, terdapat banyak rumah kosong di bandar Sacramento, sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya kenapa ia tidak digunakan oleh golongan yang tidak berumah itu.

Penulis akhbar The Times, Vikas Bajaj memberitahu, sebanyak 10.4 peratus unit rumah di Sacramento adalah kosong. Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding lokasi-lokasi lain di AS.

Namun begitu, untuk mendiami rumah-rumah kosong itu, penduduk mungkin perlu membayar sedikit wang termasuk jika mahu ditempatkan di perumahan mampu milik.


SEORANG petugas persatuan iCare-America memberikan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma.


Apabila persoalan ini dilontarkan kepada Datuk Bandar Kevin Johnson, jurucakapnya, Steve Maviglio menyatakan bahawa pihaknya ada memikirkan tentangnya, tetapi tidak mempunyai upaya untuk melaksanakannya memandangkan ia merupakan hartanah individu.

"Kami ada meninjau rumah yang dimiliki oleh Agensi Perumahan dan Pembangunan Semula Sacramento. Masalahnya, rumah kos rendah sudah habis," katanya sambil berjanji pihaknya cuba meneroka segala idea sama ada bersifat sementara atau jangka panjang.

Menyifatkan peningkatan jumlah golongan tidak berumah sebagai masalah serantau, Johnson mengakui akses sebanyak AS$2.3juta (RM8.5 juta) yang terkandung dalam pakej rangsangan bakal membantu Sacramento menyelesaikan masalah tersebut. Tidak terhad di Sacramento, fenomena sama turut berlaku di seluruh AS.

Selaku salah sebuah negeri paling kaya, California memiliki keluaran domestik kasar yang hampir sama dengan sebuah negara Sepanyol dan Itali. Lantas ia menjadi salah sebuah negeri yang menerima kesan kemelesetan ekonomi dan krisis hartanah paling teruk.

Buktinya, kadar penyitaan hartanah melonjak sehingga 327 peratus dan 500 orang kehilangan rumah masing-masing pada setiap hari. Diburukkan lagi dengan pemberhentian kerja secara besar-besaran, ramai golongan kelas pertengahan kini menjadi papa kedana.


SEORANG penghuni bandar khemah, Gennadiy Tomashov menggulung rokok di dalam khemahnya yang tidak terurus.


Penghuni terkini bandar khemah ialah pasangan jurujual kereta, Corvin dan Tina Garland. Hilang kerja pada masa yang sama dan pusat perlindungan sudah penuh, pasangan berusia 50-an itu membeli khemah dengan menggunakan wang simpanan yang ada.

"Tiada siapa terfikir dalam usia sebegini, kami akan kehilangan tempat tinggal. Saya hanya mahu menikmati usia emas bersama suami dan impian itu sudah semakin samar," kata Tina.

Memang ada sebilangan penghuni yang menjaga kebersihan, kemas dan membina tandas. Malangnya, ramai juga yang berpenyakit mental, kaki botol dan tidak menggunakan tandas, sekali gus mencipta keadaan tidak ubah seperti negara dunia ketiga.

Salah seorang pegawai perbandaran Sacramento, Fong memberitahu, pihak berkuasa kini sedang merancang mengubahsuai kandang kuda yang sudah lama kosong untuk dijadikan rumah sementara.

Fong juga menggalakkan projek-projek keluarga angkat yang melibatkan pihak gereja, masjid dan rumah-rumah ibadat lain. Langkah itu boleh menambah ruang pusat perlindungan sedia ada.

Kawasan itu juga pernah dirakam oleh lensa rancangan Oprah Winfrey dan ditonton oleh 40 juta penonton di seluruh dunia. Kebanyakan penghuni di bandar khemah itu terdiri daripada pekerja pembinaan, ladang, kedai-kedai dan restoran.

Dengan ketiadaan rumah yang hendak dibina dan kira-kira 80,000 orang kehilangan kerja, peluang untuk diambil bekerja semula amatlah nipis. Justeru, mereka semua meletakkan harapan kepada pakej rangsangan berjumlah AS$787 bilion (RM2,909 bilion) yang diumumkan oleh Obama.

Presiden itu turut mengumumkan pelan untuk menyelamatkan rumah sembilan juta penduduk daripada disita dengan cara menstruktur semula hutang gadai janji mereka.

"Kemelesetan membuatkan bilangan yang memerlukan bantuan meningkat dengan dramatik. Dalam tempoh setahun, golongan ini mencecah 26 peratus.

"Kita dapat lihat ramai yang tinggal di dalam kereta atau membeli kotak dan tidur di dalamnya. Mereka melakukan apa jua untuk berteduh," tambah Burke.


BILANGAN khemah di kawasan ini bertambah setiap hari berikutan iklim ekonomi Amerika yang tidak menunjukkan perkembangan positif.

Tu la pasal, dok jaga tepi kain orang sangat, kain sendiri dah koyak tak tersedar. Kesihan jugak la dekat golongan ni. Kira dah boleh masuk rancangan' bersamamu' ni..
Tak payahlah nak nasihat kat mereka yang bagaimana nak tangani krisis ni, Oprah ada, Superman ada (semua super duper ada). Satu je nak pesan, JANGAN TINDAS ORANG ISLAM!


No comments: