Wednesday, March 18, 2009

Seni buku Jeffers

Siapa kata menulis buku kanak-kanak sangat mudah. Penulis dan ilustrator Oliver Jeffers berkongsi rahsia bagaimana dia menambat hati kanak-kanak seluruh dunia dengan karyanya.




KISAH seorang kanak-kanak yang amat menggemari bintang sehingga mencari pelbagai cara untuk 'menangkapnya', kisah seorang kanak-kanak yang sanggup mengayuh bot ke kutub bagi membantu seekor penguin yang kesedihan, kisah seorang kanak-kanak membantu makhluk asing yang terkandas di bulan pulang ke tempat asalnya, kisah seorang kanak-kanak lelaki yang gemar memakan buku dan misteri kehilangan pokok di hutan yang disiasat oleh sekumpulan haiwan, kesemua kisah itu kelihatan amat menarik bukan?

Itulah antara karya-karya penulis dan ilustrator terkenal, Oliver Jeffers.


SEORANG peminat cilik duduk di atas meja sambil memegang buku Lost and Found di Kuala Lumpur.


"Saya begitu berminat dalam bidang seni dan ingin menghasilkan seni yang menarik. Bagi saya, seni mempunyai cabaran tersendiri. Lagipun, saya percaya kemahiran bercerita ada di dalam diri saya memandangkan saya berasal dari Ireland Utara yang kaya dengan kemahiran tersebut.

"Minat dalam bidang seni dan buku bergambar kanak-kanak bermula beberapa tahun lalu semasa saya bercuti sementara dari universiti dan menetap di Australia. Semasa duduk di tepi jeti pasar ikan Sydney, saya ternampak bayang-bayang haiwan Tapak Kaki Sulaiman di dalam air sekali gus mengingatkan saya tentang buku-buku yang pernah saya baca ketika kecil. Penulis buku yang dibaca itu berjaya mencetuskan minat saya terhadap kepelbagaian ilustrasi dan warna," kata Jeffers yang ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Jeffers berada di Kuala Lumpur bagi menyokong seminar bertajuk Words and Beyond. Seminar ketiga anjuran British Council di bawah projek Kesusasteraan Animasi itu menghimpunkan profesional pendidikan sastera dan bahasa Inggeris dari seluruh benua Asia Timur.

Fokus seminar itu adalah potensi kesusasteraan buku ilustrasi kanak-kanak dalam membentuk pemahaman antara budaya, meningkatkan pembelajaran bahasa dan membentuk kemahiran komunikasi.


ANTARA buku-buku karya Oliver Jeffers yang dipamerkan di Kuala Lumpur.


Dilahirkan di Australia Barat pada tahun 1977 dan dibesarkan di Belfast, lelaki Irish ini merupakan seorang artis yang memulakan karyanya di beberapa pameran kecil di Belfast pada tahun 1998 sebelum mula melukis untuk buku bagi syarikat-syarikat penerbitan tempatan.

Kemudian, kakinya melangkah ke menara gading dan berjaya bergelar graduan sijil pengajian asasi dalam bidang seni reka. Dia juga merupakan seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam pengajian komunikasi visual di Universiti Ulster pada tahun 2001.

Pada tahun 1999, Jeffers mengembara ke Australia dan Amerika Syarikat sebelum menetap di Sydney dan menjadi pelukis serta ilustrator bebas di pelbagai majalah. Dia juga melukis untuk Lavazza Coffee Company.

Dari tahun 2003 sehingga 2005, Jeffers menimba pengalaman sebagai pensyarah separuh masa dalam bidang seni reka di Pusat Pengajian Seni dan Rekaan Universiti Ulster.

Setakat ini, Jeffers telah menulis dan melukis lima buku bergambar kanak-kanak yang sangat berjaya dalam tempoh lima tahun iaitu How to Catch a Star, Lost and Found, The Way Back Home, The Incredible Book Eating Boy dan terbaru, The Great Paper Caper.

Buku bergambar pertama yang ditulis dan dilukisnya bertajuk How to Catch a Star terbitan tahun 2004 tersenarai dalam kategori Ilustrator Baru Terbaik pada majlis Anugerah Booktrust Early Years 2004.

Sementara itu, Lost and Found memenangi Pingat Emas Hadiah Buku Kanak-kanak Nestle pada tahun 2005 dan Anugerah Buku Terbaik Blue Peter 2006 serta turut disenarai pendek bagi Pingat Kate Greenaway.

Selain itu, buku terbitan 2006, The Incredible Book Eating Boy telah disenarai pendek untuk Buku Kanak-kanak Terbaik Anugerah Buku British 2007.


PARA peminat karya Oliver Jeffers berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan tandatangannya di Kuala Lumpur.


"Buku Lost and Found yang diperkembangkan ke dalam dunia animasi pendek telah ditayangkan di United Kingdom pada Krismas lalu manakala DVD animasi buku itu akan dijual tidak lama lagi," kata Jeffers yang berbangga atas kejayaan buku itu kerana menyentuh perasaan ramai pembaca.

Menggunakan pelbagai medium bagi menghasilkan setiap karyanya, Jeffers berpendirian bahawa seseorang ilustrator itu tidak semestinya menggunakan satu stail atau teknik sahaja.

"Saya suka bereksperimen dengan pelbagai bentuk seni untuk menghasilkan buku-buku saya. Ada yang menggunakan warna air, kolaj dan perisian komputer Photoshop. Untuk buku The Incredible Book Eating Boy pula, saya mengguna semula buku-buku lama sebagai latar lukisan," katanya tersenyum.

Tambahnya, teknik-teknik seni seumpama itu masih digunakan sehingga sekarang, tetapi pada masa yang sama dia sering mencuba teknik baru.

Jeffers menjelaskan, buku kanak-kanak yang biasanya mempunyai 32 muka surat tidak seharusnya bosan dan sebagai penulis dan ilustrator, penyelesaian kreatif perlu diambil agar tenaga dan momentum cerita dapat menarik perhatian pembaca.

"Buku bergambar kanak-kanak sememangnya ringkas kerana kita ingin menarik perhatian pembaca muda. Namun, ia tidak bermaksud sesuatu yang ringkas tidak boleh kaya dengan keperincian, emosi dan warna," ungkapnya.


LAKARAN ilustrasi Jeffers.


Namun demikian, keupayaan Jeffers tidak hanya terhenti dalam penghasilan buku kanak-kanak. Daripada lukisan figura dan seni pemasangan sehinggalah ilustrasi, hasil karyanya sama ada secara solo atau kolektif telah dipamerkan di merata tempat termasuk di Washington, New York, London, Belfast dan Sydney.

Jeffers juga merupakan pengasas bersama koleksi seni OAR yang telah mempamerkan karya itu dalam pemeran 9 days in Belfast, Book yang telah meraih anugerah khas.

"Book adalah satu projek yang unik. Selama 36 minggu, sebuah buku lakaran telah dihantar secara rawak kepada antara empat artis iaitu dua di Brooklyn, Amerika Syarikat dan dua lagi di Belfast.

"Setiap hari Rabu, seorang pelukis akan menerima buku berkenaan dan pada hari Isnin berikutnya, buku itu akan dihantar kepada pelukis lain. Ini bermakna setiap pelukis diberi masa lima hari untuk melengkapkan lukisan yang memberi maklum balas kepada lukisan sebelumnya," jelas Jeffers yang turut memaklumkan bahawa tiada sebarang komunikasi berlaku sepanjang penghasilan buku tersebut.

Book telah memulakan pengembaraan dari tangan ke tangan artis di antara dua benua itu pada 2 Jun 2003 dan terakhir pada 2 Februari 2004.

"Apabila lengkap, buku itu tidak kelihatan seperti buku baru dengan ketebalan yang bertambah dan ditampal di sana dan di sini," selorohnya.

Jeffers turut memaklumkan bahawa dia telah terlibat dalam lebih daripada 25 projek kebajikan seperti WARchild dan World Book Day termasuk di syarikat-syarikat multinasional seperti Orange UK, Lavazza, Sony PSP, Ernst & Young, Harper Collins, RCA Records dan Starbucks.


OLIVER JEFFERS


"Sebagai ilustrator, saya turut terlibat dalam pelbagai kempen pengiklanan dan sungguhpun saya suka berkarya, keseronokannya tidak sama seperti saya menghasilkan buku kanak-kanak. Ini kerana syarikat-syarikat itu telah menentukan agenda yang perlu dan mempunyai tarikh akhir penghantaran. Saya merasakan ia membatas kebebasan artistik yang sedia ada.

"Tetapi sekiranya saya menghasilkan buku bergambar kanak-kanak, saya bebas menghasilkan ilustrasi dan momentum cerita yang sesuai dengan imaginasi dan mesej yang ingin saya sampaikan," ujarnya.

Ketika ditanya apakah inspirasinya, Jeffers berkata: "Segalanya. Apa yang berlaku di sekeliling saya menjadi inspirasi. Ia boleh diperoleh daripada buku lain ataupun daripada perbualan yang terdengar pada satu hari.

"Kerana itulah, teman saya sepanjang masa adalah sebuah buku nota."

Tidak menghairankan apabila Jeffers memberitahu bahawa dia pernah membawa pulang karya-karya pelukis Malaysia untuk dipelajari dan diteliti seperti karya kartunis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Seringkali digelar penulis yang memenangi anugerah oleh pihak media, dengan rasa merendah diri, lelaki yang karyanya telah diterjemah ke dalam 16 bahasa dan dijual di serata dunia ini tidak mahu kejayaan itu menguasai dirinya.

No comments: