Friday, June 05, 2009

Belantara makin ternoda

Pelik tapi benar. Sebahagian hutan di belantara terbesar dunia, Amazon kini tidak ubah seperti padang savana. Apa yang sudah berlaku?





TOPIK pemanasan global dan perubahan cuaca barangkali sudah menjadi subjek tepu. Sering disogok dengan isu itu, agaknya ada rasa mual dalam gejolak rasa sesetengah daripada kita. Namun begitu, semakin jauh kita cuba menghindarinya, mungkin semakin dekat implikasi terburuk fenomena alam itu mendatangi kita.

Apatah lagi, kalau termometer kesedaran penghuni dunia masih belum berada pada aras yang sewajarnya. Glasier mencair dan laut kian panas menjadi permulaan episod kemusnahan seakan belum mampu diinsafi.

Kini, ditambah pula dengan ancaman pembasmian hutan pada hutan hujan terbesar di muka bumi yang sepatutnya menyayat hati kita.

Foto yang dirakam Reuters pada 13 Mei lalu menggambarkan sebahagian hutan hujan terbesar, Amazon menjadi seperti padang savana. Tidak lagi kelihatan pohonan rimba malar segar di satu kawasan di Maranhao, Brazil sebaliknya yang ada cuma rerumput atau tanah kosong.

Ia dipercayai berpunca akibat kombinasi cuaca lebih kering daripada biasa dan kegiatan seperti pembalakan serta pertanian pindah. Kejadian itu, membuatkan pakar alam sekitar mula berdebat bagaimana perubahan cuaca memberi kesan bukan sahaja kepada Amazon bahkan kepada negara terbesar Amerika Latin yang menjadi 'rumah' kepada sebahagian besar hutan itu?

Amazon meliputi sembilan buah negara iaitu Brazil, Peru, Ecuador, Bolivia, Colombia, Venezuela, Guyana, French Guyana dan Surinam.

Daripada keluasan keseluruhan tujuh juta kilometer persegi, 60 peratus daripadanya adalah di Brazil.

Brazil dan hutan Amazon mengalami kesan perubahan cuaca yang ekstrem. Pada tahun 2005, negara itu telah mengalami kemarau yang paling teruk dalam tempoh empat dekad. Kemarau selama dua bulan itu telah menyebabkan Sungai Amazon dan beratus-ratus anak sungainya hampir kering-kontang.

Air sungainya susut sebanyak 12 meter berbanding 10 meter sahaja lazimnya.

Dua tahun kemudian, ancaman bukit pasir pula melanda Ilha Grande, timur laut Brazil. Sebanyak 13 buah rumah ditelan bukit pasir apabila jangkauan bukit semakin meluas.

Kemarau

Tahun ini, agak pelik. Bahagian sekitar Sungai Amazon yang dulunya kemarau mengalami banjir yang dahsyat sehingga membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dengan 423,000 orang terpaksa meninggalkan rumah. Hujan lebat yang berterusan juga menyebabkan empangan di Piaui, sebuah bandar di timur laut Brazil pecah lalu memburukkan lagi banjir.


LEMBU-LEMBU Amazon dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada pembasmian hutan di dunia.


Dalam pada itu, di kawasan selatan Brazil yang jauh dari Sungai Amazon, fenomena kemarau melanda disebabkan fenomena La Nina.

Biarpun begitu, ancaman pembasmian hutan di Amazon bukan sekadar terhad kepada masalah cuaca kering ekstrem, aktiviti pembalakan haram atau penanaman tanaman, bahkan juga penternakan. Barangkali, ia kedengaran aneh, tetapi itulah yang berlaku.

Kita mungkin menjangka hanya haiwan liar yang biasanya menghuni belantara. Namun, sekiranya anda tersesat jauh di dalam hutan Amazon jangan terkejut jika menjumpai sebidang kandang lembu yang luas.

"Ini satu perkembangan baru yang dikesan tahun ini," kata seorang ahli kumpulan Greenpeace, Wayne Lindbergh kepada Reuters sambil menunjuk ke arah skrin komputer ribanya yang menunjukkan gambaran terbaru dari satelit. Gambar itu menunjukkan tengah hutan Amazon di negeri Para, Brazil yang 'lompang' dengan kesan tanah terbakar telah dijadikan kawasan penternakan lembu.

Sektor penternakan

Menurut agensi berita antarabangsa itu, terdapat lebih daripada 70 juta lembu berada di kawasan Amazon pada masa ini. Brazil sememangnya merupakan negara pengeluar lembu komersial terbesar di dunia. Aktivis alam sekitar menjangka di kawasan Amazon inilah, industri itu semakin bergerak rancak kebelakangan ini. Mereka juga meramalkan ia bakal menjadi trend berikutan harga tanah yang murah, berleluasanya kegiatan memusnah hutan dan kelemahan penguatkuasaan kerajaan negara itu.

Greenpeace juga cuba membuktikan bahawa sektor penternakan setakat ini adalah pemacu utama kepada kegiatan pemusnahan hutan sekali gus menjadikan Brazil negara keempat terbesar pengeluar karbon. Mereka bahkan mengatakan, lembu-lembu Amazon sahaja sudah dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada pembasmian hutan di dunia. Mereka seakan mempersoalkan apakah maknanya mengaut laba besar dalam industri penternakan jika ia terbina di atas maruah hutan yang ternoda.


PEMANDANGAN dari atas ladang penternakan dan industri memproses daging di Maraba, Brazil.


Setelah berjaya menumpaskan kegiatan menanam soya di Amazon pada tahun 2006, Greenpeace menyatakan cabaran kali ini lebih mencabar.

Syarikat-syarikat utama memproses daging lembu Brazil seperti JBS, Marfrig dan Bertin dalam tempoh lima tahun ini telah memacu industri menternak lembu di Amazon.

Menurut Rueters juga, bank pembangunan peringkat negeri, BNDES membiayai keseluruhannya AS$2.3 bilion (RM8 bilion) kepada empat buah syarikat daging terbesar di negeri itu pada tahun 2008.

Kumpulan pencinta alam berkata, ini bermakna kerajaan telah secara efektif memberi sumbangan kewangan kepada kemusnahan hutan secara haram, sedangkan kerajaan Brazil dikatakan pernah menyasarkan untuk mengurangkan masalah kemusnahan hutan lebih sedekad lalu.

Firma-firma daging lembu pula bagaimana pun menafikan kaitan mereka dengan pemusnahan hutan. Bentin misalnya, pernah memberitahu yang mereka akan membuang semua produk daging lembu yang bersumberkan pemusnahan hutan haram.

Pencerobohan

Tetapi, sejak berdekad-dekad lalu lagi, para peladang dan spekulator sememangnya telah beroperasi di luar radar kawalan kerajaan negeri, lalu mewariskan legasi konflik di Amazon.


KEMARAU yang panjang mengakibatkan banyak ikan ditemui mati di tebing Tasik Rei berhampiran bandar Careiro da Varzea, Brazil.


Berbalik kepada isu penternakan lembu di Para, Orang Asli dari puak Parakana mengakui mereka ada melihat beribu-ribu lembu ditangkap pada tahun lalu, sebagai usaha kerajaan membasmi masalah itu.

Tetapi, kata mereka, pencerobohan para penternak dan pemusnahan hutan terus berlaku. Tamakware, Ketua Puak itu pernah mengadu kepada pelancong asing agar memberitahu pihak berkuasa untuk mengeluarkan para penternak itu dari tempat tinggal mereka.

Yang pasti, masalah itu semakin menghantui pelbagai puak Orang Asli di seluruh Amazon. Agensi berita Associate Press (AP) baru-baru ini melaporkan bahawa lima puak Orang Asli Amazon terutamanya di Peru dan Brazil dikesan berdepan dengan risiko pupus akibat pemusnahan hutan itu yang kian berleluasa. Demikian menurut organisasi pejuang hak asasi Orang Asli, Survival International.

Di kawasan ternakan lembu di Para itu, kelihatan sekumpulan 12 orang koboi sedang mengawasi 17,000 ekor lembu. Analisis Greenpeace menunjukkan, kawasan seluas 1,500 hektar hutan telah dimusnahkan, menjadikan hanya 30 peratus sahaja daripada kawasan penternakan yang masih berhutan.

"Kami tidak menebang atau mengambil pun kayu dari sini, termasuklah pagar kayu kandang lembu," kata penyelia kandang, Elcimar Alves de Oliveira yang bermisai tebal kepada Rueters saat ditemui. Kata-katanya itu seolah-olah cuba menafikan bahawa aktiviti mereka di situ membinasakan alam.


MASYARAKAT Orang Asli di seluruh Amazon turut terjejas ekoran pemusnahan hutan yang kian berleluasa.

2 comments:

Kakak said...

Takut memikirkan bencana yang akan ditimpakan oleh Allah kerana manusia sendiri sering lupa tugas mereka untk menjaga bumi ini.

wan salmah said...

Hmm..apa nak komen?..ikut logik tak de kaum yg kekal atas muka bumi ni, setiap kaum akan berakhir..rasa2 macam dah dekat dah detik2 itu..huhu..
semua tanda untuk musnahnya bumi telah keluar satu persatu.. manusia tamak, manusia bijak, sama2 bertanggungjawab dalam kemusnahan bumi...
fikir hal org ni kan pening cik kak, mari kita buat yg kita boleh buat..cuti ni tanam pokok apa pulak?