Monday, June 01, 2009

Ssangyong tutup kilang

SSANGYONG Motor, pengeluar kenderaan terkecil Korea Selatan, semalam berkata ia terpaksa menutup kilangnya buat sementara waktu susulan aktiviti tunjuk perasaan pekerjanya berhubung cadangan pengurangan pekerja secara besar-besaran.

“Penutupan ini tidak dapat dielakkan susulan kerugian yang semakin meningkat, yang mana boleh menjejaskan kewujudan syarikat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Seoul semalam.

Susulan itu juga, syarikat akan meminta pihak polis membantunya dalam menghalang pekerja daripada menghampiri kilangnya di Pyeongtaek, di selatan Seoul.

Langkah pemberhentian pekerja sudah bermula pada 21 Mei lalu selepas syarikat itu mengumumkan cadangan untuk mengurangkan sehingga 2,646 kakitangan yang mewakili kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan jumlah pekerjanya. - AFP

Ia juga adalah pemberhentian terbesar yang pertama kali berlaku di Korea ekoran krisis ekonomi global.

Bagaimanapun, kakitangan kilang mahu pengurusan syarikat meminimumkan pembuangan pekerja menerusi perkongsian kerja.

Syarikat yang dibebani hutang yang besar itu, pada Februari lalu berjaya mendapat perlindungan mahkamah daripada tuntutan penghutang.

Mahkamah mengarahkan, Shanghai Automotive Industri Corp (SAIC) dari China, selaku pemegang saham terbesarnya, melepaskan penguasaannya dalam pengurusan syarikat itu.

Sejak itu, mahkamah melantik pengurus baru yang kini bertungkus-lumus meningkatkan semula syarikat menerusi pembuangan pekerja dan langkah penjimatan kos.

Ssangyong adalah syarikat kenderaan yang memiliki kepakaran dalam pengeluaran kenderaan utiliti sport (SUV) dan sedan mewah. - AFP

No comments: