Saturday, March 31, 2007


Ziarah Perpisahan

menatap kubah hijau
jiwaku sebak meracau
aku mahu ulangi
melintasi babussalam
ziarah raudhah dan maqam

sahabat menarik lenganku lembut
sebentar lagi bas beredar
masa bukan kepunyaanku
ini dia air mata kuberi
sebagai tanda kumengerti
risalahmu berpacak di bumi
syafaatmu kudamba
pada setiap salam dan selawat

selamat tinggal
rasulullah
amirul mukminin
abu bakar dan umar
sejarahmu terlalu besar
untuk kupikul
seumur hidupku

ya Allah
kudakap kenangan ini
sebagai bingkisan
munajat sukmaku
kepada-Mu

Ihsan puisi Isa Kamari,
penerima S.E.A Write Award 2006

Syukur kepada-Mu Tuhan yang mengutus junjungan mulia sebagai pembimbing umah, dan syukur kerana memilih kami sebagai umahnya. Izinkan aku ke sini lagi kerana di sini tempat yang penuh rahmat, juga kecintaan.

Sunday, March 25, 2007


Untungnya Mencintai Tuhan


Roh semulajadi manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dikasihi dan mengasihi serta ingin dicintai dan mencintai. Perasaan sayang manusia tiada terhad sesama insan semata tetapi meliputi semua makhluk sama ada yang bernyawa sayang pula diberi hanya sesama manusia, tidak kepada benda. Ini yang membezakan di antara 'sayang' dengan 'kasih sayang'. Manakala perasaan cinta pula walaupun tidak salah diberikan sesama makhluk tetapi cinta paling agung hanya layak diberikan untuk Tuhan.


Menyintai atau ingin dicintai oleh manusia bukanlah kemuncak cinta atau cinta agung, kerana cinta sesama manusia tidak kekal. Paling lama sekadar tempoh masa kita masih hidup. Bahkan sering berlaku dalam sebahagian perjalanan usia kita lagi, iaitu sebelum kita mati, cinta itu telah pudar atau terungkai sama sekali. Cinta yang diagung-agungkan dan dipuja-puja itu hancur berkecai.Di sini barulah kita sedar bahawa cinta kepada makhluk atau cinta daripada makhluk bukanlah cinta yang hakiki atau sejati.


Itu hanya cinta sementara waktu. Kita sahaja yang menyangka cinta itu sejati dan sampai ke hujung. Rupa-rupanya dalam perjalanan umur, cinta kita kepada orang lain atau cinta orang lain kepada kita, dengan sendirinya dia ataupun kita sendiri yang mengungkainya semula atas sebab-sebab yang berrnacam-macam.Oleh kerana itulah, mencintai makhluk selalu mengecewakan kita sekalipun bukan satu kesalahan.


Jadi jangan meminta, menagih atau mengharapkan sangat untuk mencintai manusia atau dicintai oleh manusia walaupun is tidak salah. Cinta itu tidak abadi.Sebaliknya berilah dan terimalah cinta yang kekal abadi. Itulah cinta agung namanya. Iaitu cintakan Allah yang Maha Agung. Inilah cinta yang hakiki, yang sejati, yang kekal abadi dan membawa kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di Akhirat.


Cintakan Allah ini tiada tandingan dan bandingannya. Cinta ini jika berjaya diperolehi adalah cinta yang paling memuaskan dan menenangkan. Buahnya paling menghiburkan dan paling membahagiakan. Tetapi malangnya cinta yang hakiki dan agung ini jarang orang ambil perhatian. Jarang orang memburunya seperti cinta-cinta murahan yang lain. Mungkin daripada jutaan manusia, hanya seorang yang memburunya.


Kalau seseorang itu telah mencintai Allah, walaupun seluruh makhluk memusuhinya atau membencinya, namun dia tetap mendapat kebahagiaan dan ketenangan. Sebalikriya cinta kepada makhluk tidak akan membawa manusia kepada kebahagiaan sejati dan kekal abadi, selagi cinta hakiki lagi agung daripada Allah itu tidak dimiliki. Sebab itulah orang yang beriman dengan Allah dan mentaati-Nya sentiasa tenang walaupun di dalam kesusahan dan ujian.


Oleh yang demikian, kalau kita tidak dapat memiliki cinta daripada manusia, usahlah bersedih hati kerana cinta itu tidak abadi. Pun tidak hakiki dan sejati. Kalau begitu, cari dan burulah cinta yang agung, iaitu Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya.Sesiapa yang menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya, amat beruntunglah hidupnya di dunia dan Akhirat. Antara keuntungan yang diperolehinya ialah:


1. Tiada kecewa
Seseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba merebut cinta Tuhan, tidak ada siapa yang akan kecewa bahkan Maha Kuasanya Tuhan dapat membalas cinta semua makhluk-makhlukNya serentak dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.


2. Tiada saingan
Tidak akan berlaku saingan, pertarungan, permusuhan atau peperangan dalam mencari cinta Tuhan. Sebaliknya dalam perebutan mencari cinta dunia sama ada cinta manusia, biasanya akan berakhir dengan permusuhan dan akan ada yang kecewa dan menderita.


3. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan
Mendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan dalarn usaha meraih cinta agung itu pun sudah merupakan sebahagian daripada kebahagiaan. Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap Tuhan itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat pula dengan keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Luas RahmatNya. Maka di situ pula bertambah lagi ketenangan. Sesekali terasa diri lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula mendalamnya rasa kehambaan. Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di tangan, namun fikiran masih kusut.Mereka yang gagal mendapat dunia yang dicintai dan diburunya itu pula sudah rarnai yang sakit jiwa dan berputus asa. Bahkan ada yang sanggup bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan yang tidak kekal itu.


4. Dapat kawan dan perpaduan
Bersama-sama mencari Tuhan membawa manusia berukhuwah dan berkawan. Walaupun manusia itu dari berlainan latar belakang, bangsa, pangkat, kedudukan malah jika pernah menjadi musuh sekalipun, namun di dalam perjuangan merebut cinta Tuhan, secara automatik setiap hati manusia itu akan terikat satu sama lain. Kerana masing-masing sedang dalam perlumbaan mencari cinta yang satu iaitu cinta yang hakiki. Sebaliknya pertarungan dalam merebut cinta dunia akan mengakibatkan ukhuwah dan persahabatan makin jauh dan terbarai. Akhirnya akan membawa kepada pecah belah dan permusuhan.


5. Menghilangkan mazmumah
Mencari cinta Tuhan dapat membantu menghilangkan mazmumah. Mazmumah adalah sifatsifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad, dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang insan. Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan mazmumah di dalam jiwa.Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.


6. Disenangi oleh orang
Mengejar cinta Tuhan orang akan suka dan rasa senang. Tiada siapa yang akan rasa tercabar atau tergugat dalan pertarungan merebut cinta Tuhan Orang yang berusaha merebut cinta agung akan disenangi semua makhluk. Manusia senang dan sayang padanya dan para malikat juga turut mendoakannya Kerana makin ramai yang merebut mencintai Tuhan, semakin mendorong kepada tercetusnya keamanan, ketenangan dan kebahagiaan.Sebaliknya di dalam sesuatu pertarungan atau perebutan lebih-lebih lagi perebutan cinta dunia, ramai yang tidak senang dan makin dibenci orang. Semakin sengit perebutan dunia, makin bertambahlah huru-hara dan porak-peranda hidup.


7. Tidak akan kesepian atau keseorangan
Memburu cinta Tuhan tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana Tuhan yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Malah Tuhan bukan sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Malah di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita. Tuhan boleh menjaga dan mengawal kita kerana Dia tidak tidur.Meletakkan cinta dan harap pada Tuhan akan membuatkan hati sentiasa rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa. Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Tuhan, belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.


8. Jalannya luas dan selamat
Mengejar cinta Tuhan jalannya luas, lapang, selamat dan menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit, himpit-menghimpit serta memudharatkan. Begitulah beruntungnya sesiapa yang menjadikan Tuhan cinta agungnya dan malang sekali bagi sesiapa yang memburu cinta selain Tuhan.


Memburu cinta selain Tuhan dua kali malang
Masa berjalan begitu laju. Tidak pernah berhenti walau sedetik. Ertinya begitu laju umur kita meningkat, setiap detik umur kita meninggalkan kita. Setiap detik umur kita berkurang. Tetapi hakikat ini jarang kita rasai. Setiap detik, kita makin jauh meninggalkan dunia dan setiap detik jugalah kita makin dekat menghampiri Akhirat. Kalaulah kita cintakan dunia, maka apa yang kita cintai itu makin hari makin jauh terpisah dari kita. Sedangkan Tuhan yang tidak pernah kita cinta makin dekat dengan kita. Alangkah malang dan terseksanya jiwa terpaksa meninggalkan apa yang kita suka dan cinta. Bertambah malang dan terseksa lagi apabila kita akan berhadapan dengan Tuhan yang tidak pernah kita cinta sepanjang hayat kita. Ertinya kita pergi ke Akhirat, mengadap Tuhan tanpa membawa apa-apa. Yang kita cinta hendak ditinggalkan, manakala yang tidak kita cinta, akan berhadapan dengan kita. Maka kita akan berhadapan dengan dua kali penderitaan, iaitu meninggalkan yang kita cinta, hendak bertemu Tuhan yang tidak kita cinta.


Roda umur kita makin laju ke hadapan. Dunia yang kita cinta makin jauh kita tinggalkan sedangkan Tuhan yang sepatutnya kita cinta masih jauh dari kita. Aduh, malang sekali nasib kita di sana, negara yang kekal abadi. Kenapa Tuhan perlu dijadikan cinta agung? Setiap makhluk perlu menjadikan Tuhan sebagai cinta agungnya kerana terialu banyak nikmat dan kasih sayang yang Allah limpahkan kepada makhlukNya. Kasih sayang Allah pada makhlukNya boleh dilihat dari dua sudut.


Pertama dari sudut ilmu dan kedua dari sudut realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian.


i. Dari sudut ilmu

Banyak ayat Quran dan Hadis yang memperlihatkan kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Atas kasih sayang Tuhan itu, wajarlah seorang hamba itu meletakkan cinta agungnya hanya kepada-Nya.


ii. Di sudut realitinyaDalam realiti kehidupan manusia, kita wajib meletakkan cinta agung kepada Tuhan yang Maha Agung supaya dengan itu kita akan mendapat ketenangan yang agung di dunia dan Akhirat. Ini kerana:


a) Allah itulah Tuhan yang mencipta dan menghidupkan kita serta menjadikan seluruh isi dunia ini untuk kita gunakan, cuma jangan sampai menyalahgunakannya.


b) Dia jugalah Tuhan yang menjadikan Akhirat sebagai tempat tinggal kita yang abadi selepas mati. Dan jika kita beriman dengan-Nya, menyembah dan mentaati-Nya serta berbuat balk seperti yang Dia kehendaki; bukan seperti yang kita kehendaki, maka kita akan ditempatkan di dalam Syurga yang nikmatnya tidak dapat kita bayangkan di dunia ini. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, maka azab NerakaNya pula yang akan ditimpakan kepada kita yang mana tidak dapat digambarkan penderitaannya. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari azab yang dahsyat dan pedih ini.


c) Allah jualah yang menciptakan suami untuk berhibur, isteri untuk bersenang-senang dan anak-anak sebagai cahaya mata penyejuk hati. Kalau begitu mengapa kita tidak mencintai Allah, Tuhan yang mengurniakan kita suami, isteri dan anak-anak itu?


d) Sewaktu kita diuji oleh kesakitan maka Allahlah yang menyembuhkan. Diberi kelegaan daripada kesakitan yang kita alami. Dikurniakan ketenangan dan kesabaran ketika berhadapar dengan kesakitan dan kesusahan. Disembuhkan selepas sakit bukankah merupakan satu nikmat Tuhan yang wajib disyukuri?


e) Allah jualah yang memberi rezeki yang tidak terhingga banyaknya yang mana dengan itulah kita dapat makan, minum, berpakaian dan lain-lain. Maka dengan itu selamatlah kita dari lapar, dahaga, telanjang dan sebagainya.


f) Kalau ada masalah atau ujian hidup, kepada Allahlah kita minta penyelesaian. Setiap hamba merasakan dia mempunyai tempat untuk mengadu dan berharap. Ada satu zat yang Maha Agung yang mana setiap hamba boleh menyandarkan segala harapan pada-Nya. Harapan itu pun sudah cukup melegakan. Itu pun sudah memadai untuk menjadikan kita manusia yang tidak berputus asa dan kecewa, harapan ini akan mengurangkan tekanan jiwa.


g) Allah menjadikan manusia sebaik-baik makhluk. Lebih mulia dan sempurna dari haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Malah manusia yang bertaqwa lebih mulia dari para malaikat. Manusia dikurniakan akal fikiran yang mana dengannya manusia dapat ilmu dan mampu menguasai makhluk lain walau sebesar dan sekuat mana pun makhluk itu.


h) Allah jugalah yang menggilirkan malam dan slang agar manusia dapat berehat dan bekerja sesuai dengan fitrah semulajadi manusia.Cukuplah sekadar itu senarai nikmat-nikmat yang besar yang kita terima dari Tuhan. Sebenarnya banyak lagi nikmat Allah pada kita yang kita tidak mampu kita hitung, seperti firman Allah:"Jika kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya."


Berdasarkan hujah-hujah di atas maka sewajarnyalah kita mencintai Allah iaitu dengan cara beriman dan menyembahNya sepertimana yang Dia mahu, bukan sepertimana yang kita mahu. Seterusnya mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.


Oleh sebab begitu besar dan agungnya Tuhan dalam hidup kita maka dalam kita berbuat apa sahaja, biarlah bersama Tuhan. Sertakan Tuhan dalam kehidupan, bawalah rasa bertuhan ke mana-mana. Jadikan Tuhan segala-galanya dalam hidup, modal hidup mati kita, aset yang kekal abadi. Mencari Tuhan akan memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita. Meninggalkan Tuhan, kita akan kecundang. Tuhan adalah harta yang bukan harta yang sangat diperlukan. Selain Tuhan adalah harta yang tidak memberi jaminan. Jika kita memiliki Tuhan hakikatnya kita memiliki segalagalanya manakala kehilangan Tuhan pula adalah kehilangan segala-galanya.Menjadikan Tuhan sebagai cinta agung adalah jaminan kebahagiaan dan keselamatan hidup dunia dan Akhirat.
dicedok daripada laman MyMasjid

Tuesday, March 13, 2007

SPM 2006..

Keputusan SPM telah diuar-uarkan semalam. Saban tahun kita akan membaca satu galeri kegigihan, semangat, daya juang, juga mungkin satu kegilaan para pelajar untuk memburu kejayaan. Kita patut berasa bangga akan naluri luar biasa pelajar ini mengambil berlebihan subjek kemudian berusaha supaya setiap subjek yang diambil cemerlang. Seterusnya apabila diwawancara di kaca televisyen, mereka boleh menjawab dengan petah rahsia kejayaan mereka. Syabas anak-anak Malaysia atas wawasan kamu, rasa lega sedikit kami orang dewasa dan yakin sedikit meninggalkan bumi Malaysia ini suatu hari nanti.
(Berita kecemerlangan mereka boleh diikuti di Utusan online, Berita Online dsb ya, saya tak sempat memuatkannya dalam entri ini)

Prestasi SPM 2006 SMKA Pedas atau sekolah lama saya juga mengalami peningkatan. Secara detail saya belum mendapatnya sebab saya ke sekolah baru semalam. Pelajar terbaik mendapat 12A (Syazwan dan Aisyah), 11A Hizbul, Syahirah, Hazim. Ezkandar yang terkenal dengan bahas ala parlimen mendapat 10A (dia kelas sastera ikhtisas/ kelas saya). Bagi subjek saya, ekonomi asas juga telah mengalami peningkatan. Setakat itulah yang saya boleh paparkan kerana saya tidak mendapat keputusan rasminya lagi.

Pencapaian SPM sekolah baru saya merosot. Pun begitu, saya bersyukur kerana bidang saya iaitu Bidang Teknik dan Vokasional telah meningkat. Tahniah diucapkan kepada Ketua Bidang tahun lepas, guru-guru teknik dan vokasional, serta pihak pentadbir yang memberi kerjasama yang erat kepada bidang ini.

Mari kita lihat analisis sedikit tentang subjek saya (sekolah baru saya). Gred puratanya meningkat dari 8.64 kepada 8.41. Peratus lulus 38.6 meningkat dari 27.3. Memang lebih ramai yang gagal daripada yang lulus, tetapi di sini kita ucapkan syabas kerana ada peningkatan. Pelajar terbaik ekonomi asas ialah 5C, lebih baik dari tahun sebelumnya iaitu 7D. Jadi kalian boleh membayangkan subjek saya di sini.

Saya menganggap kesemua ini sebagai cabaran hebat kepada saya kerana semua pelajar di sekolah lama saya lulus dan ramai yang mendapat A. Saya juga ingin menjadikan ini semua sebagai cabaran yang menyeronokkan.

Ok, mari kita bercerita sedikit. Saya gemar menonton movie di astro. Salah satunya ialah tayangan berjudul "The Triumph". Kisahnya tentang seorang guru muda, lelaki berkulit putih yang berhijrah ke Harlem, New York. Kawasan ini kebanyakan didiami oleh kaum berkulit hitam dan berwarna. Kebetulan seorang guru baru meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan perangai pelajar di sini dan peluang itu diambil oleh Mr. Clark untuk menjadi guru di sini.

Suasana di dalam kelas? Hiruk pikuk. Tidak menghormati guru, suka bergaduh. Untuk pengetahuan kelas ini untuk pelajar 12 tahun, kelas tercorot dan bermasalah disiplin dan pelajaran. Contoh kebiadaban pelajar ialah mereka selamba sahaja memanggil cikgu "bod*h". Mereka bertaruh berapa lama cikgu Clark dapat bertahan di sini.

Perkara pertama dibuat oleh cikgu ini ialah berkunjung ke setiap rumah murid-muridnya. Mungkin berbeza dengan sistem di Malaysia iaitu seorang guru mengajar semua subjek di dalam sebuah kelas, jadi Clark hanya mengawal dan mengajar sebuah kelas. Clark berkenalan dengan pelajar dan keluarga pelajarnya.

Apa yang menarik lagi ialah Clark telah memperkenalkan beberapa peraturan seperti "we are family" (dia lukis pokok dan namakan pelajar sekelas di pokok itu). Peraturan lain ialah, panggil cikgu jika dijawab "Yes sir atau No sir", bukan panggil cikgu "man" atau "bod*h" dsb. Banyak lagi peraturan dibuat. Pelajar kena beratur untuk ke kantin, tidak boleh memotong barisan. Jika pelajar berbohong, semua pelajar akan dilibatkan, tidak boleh ke kantin (sehingga kawan-kawan memujuk si pembohong tadi supaya bercakap benar). Pintu kelas dikunci untuk mengelakkan pelajar keluar begitu sahaja. Peraturan-peraturan yang dibuat (55 Essentials) akhirnya dibukukan dan diedarkan ke 25 buah negara.

Banyak perkara menarik dibuat oleh guru ini seperti pernah dia mengajarkan subjek sejarah, dia mengarahkan pelajar menghafal nama-nama presiden US. Pelajar bersungut, tapi dia telah melagukan nama-nama tersebut dalam rentak rap, kemudian semua pelajar ke depan dan menyanyikan lagu tersebut diikuti muzik. Selepas itu pelajar semakin respek dengan Clark. Dia tidak pernah menghamun pelajar atau memukul pelajar. Apa yang ditunjuk ialah kerja keras, kesungguhan, ambil berat, kreativiti, peraturan yang jelas (ditampal warna-warni di dinding kelas). Banyaklah perkara inovatif, kreatif yang dibuatnya sehinggalah pada akhir tahun pelajar kelas tercorot itu cemerlang bahkan berjaya mengatasi pelajar-pelajar sekolah lain di daerah tersebut. Untuk mengikuti cerita tersebut lebih detail, nanti tengok ya "The Triumph", kalian tentu akan tersentuh melihat kegigihan cikgu muda ini mempertahankan anak-anak didiknya walaupun mereka ini pada awalnya ialah kelas corot (tak digemari), juga tak dihirau keluarga. Mereka sendiri tidak menghiraukan cikgu mereka tapi cikgu yang mempedulikan mereka dan inginkan mereka berjaya dalam pelajaran dan dalam kehidupan mereka.

Hehe tapi janganlah kalian kata saya ni bercakap pandai pula. Saya cuma menulis apa yang ada pada cerita tadi saja dan saya cuba menjadikannya sebagai sumber inspirasi saya. Saya perlukan banyak motivasi dalam perjalanan hidup saya yang sangat mencabar...tapi saya cuba jadikan dugaan satu keseronokan (macam filem Julia Robert "I love trouble").

Saturday, March 10, 2007

Bank Negara tawar dua skim biasiswa
Oleh Syuhada Choo Abdullah

Lulusan cemerlang ikuti 11 bidang pengajian diutamakanBANK Negara Malaysia (BNM) memberi keutamaan kepada 11 bidang pengajian khusus untuk ditawarkan biasiswa pendidikan kepada lulusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006, yang akan diumum Isnin ini.

_Menurut kenyataan akhbar Seksyen Biasiswa, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia BNM kepada Berita Harian, semalam, bidang pengajian terbabit ialah Ekonomi, Kejuruteraan Kewangan, Perakaunan dan Sains Aktuari.Selain itu, Kewangan dan Perbankan, Kewangan Korporat, Perbankan dan Ekonomi Islam, Undang-undang, Undang-undang Syariah, Teknologi Maklumat, serta Matematik.

“Bank menawarkan biasiswa kepada lulusan cemerlang SPM 2006 bagi melanjutkan pengajian prauniversiti di bawah dua skim, iaitu Skim Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negara dan Skim Prauniversiti.“Bagi Skim Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negara, beberapa pelajar terbaik SPM 2006 yang dicalonkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan dinilai BNM untuk penganugerahan istimewa ini.“Penerima anugerah ini dibenarkan memilih bidang pengajian diminati tanpa ikatan kontrak berkhidmat dengan pihak BNM.

“Mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka bagi mengikuti bidang yang dipilih dan dikehendaki berkhidmat untuk negara apabila tamat pengajian kelak.“Skim Prauniversiti pula dikhaskan untuk calon lulus cemerlang peperiksaan SPM 2006 dengan mendapat sekurang-kurang 8 1A,” menurut kenyataan itu.Lulusan cemerlang peperiksaan SPM 2004 yang memegang rekod 17 1A setakat ini, Nur Amalina Che Bakri, ialah antara pelajar mendapat tajaan BNM dan kini mengikuti pengajian A-Level di Cheltenham Ladies' College, United Kingdom.Bagi keputusan peperiksaan SPM 2006 pula, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon, Rengit, Batu Pahat, Johor, Nadiah Amirah Jamil, dikatakan bakal memecah rekod pencapaian itu dengan mencatat 19 1A.

Bagaimanapun untuk kedua-dua skim biasiswa BNM berkenaan, menurut kenyataan itu lagi, calon perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dari segi penulisan dan lisan.Di samping juga perlu memiliki sifat kepemimpinan yang tinggi dan kematangan intelek, calon akan dinilai dari segi pembabitan dalam aktiviti kokurikulum serta sukan.“Tawaran biasiswa akan dilanjutkan ke peringkat ijazah pertama (kepujian) di universiti tempatan atau luar negara (United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia) yang diiktiraf mengikut kriteria penilaian ditetapkan BNM.“Bagi sesi akademik 2007/2008, BNM akan mengiklankan Anugerah Biasiswa Bank, esok (hari ini).

Pelajar boleh memohon dengan melayari laman web BNM di alamat www.bnm.gov.my mulai tarikh sama,” menurut kenyataan itu.BNM menawarkan biasiswa sejak 22 tahun lalu.

Keputusan SPM ibarat ‘padang belum rata’

LUMUT: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mendapati rata-rata pencapaian sekolah di bandar lebih baik daripada kawasan luar bandar.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia secara tidak langsung menunjukkan isyarat jelas kepada kementerian itu bagi meningkatkan lagi prestasi dan kemudahan di sekolah luar bandar selaras dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).“Keputusan SPM diumumkan Isnin ini jelas menunjukkan ‘keadaan padang yang masih belum rata’.“Itu antara sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini, mengumumkan tambahan peruntukan RM2.6 bilion untuk memastikan sekolah luar bandar mendapat peluang pendidikan sama rata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perancangan Strategik Kementerian Pelajaran 2007 di Damai Laut dekat sini, semalam.Persidangan lima hari berakhir semalam itu bertemakan ‘Merintis Pembaharuan – Satu Misi Nasional’ antara lain bertujuan membincangkan secara terperinci pelan tindakan PIPP bagi tempoh 2006-2010.

Hishammuddin berkata, pencapaian pelajar cemerlang dalam SPM tahun lalu juga didapati meningkat dan tiada yang membimbangkan pihaknya mengenai prestasi keseluruhan peperiksaan itu.

Sekolah-sekolah luar bandar juga perlu diberi penekanan sebagaimana yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah bandar. Sekolah luar bandar juga ketinggalan dari segi prasarana, juga informasi. Ibu bapa yang mempunyai kesedaran akademik sanggup menghantar anak-anak mereka ke sekolah bandar dan memilih asrama. Justeru, tinggallah sekolah luar bandar dengan serba kekurangan dan ketinggalan. Jika di dalam satu bilik darjah mereka berada dalam kalangan mereka yang tidak ada kesedaran menuntut ilmu, manakan ada semangat berlumba-lumba? Guru-guru pun berada dalam zon selesa bahkan bosan (dan kecewa) dengan gelagat mereka.

Motivasi amat diperlukan oleh para guru dan pelajar demi mengubah mereka dan sama-sama menuju ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang maju, cemerlang dan bersahsiah tinggi.
(Jenguk-jenguklah selalu ke sekolah luar bandar, generasi ini jugalah yang akan menjadi insan dewasa yang akan menggantikan tempat kita apabila kita sudah tidak berdaya lagi. Kita yang dewasa sekarang perlulah renung-renungkan dan ambillah tindakan segera..)

Friday, March 09, 2007

Malaysia perlukan FTA – Najib

Daripada ROSNI HASSAN

OSAKA 8 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengakui perlunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) dijalinkan dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi pada masa yang sama mahu perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian itu diterima oleh kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai rundingan dengan AS berhubung FTA sebelum akhir bulan ini.
“Kita akan cuba untuk memperhalusi perbezaan pendapat dengan AS. Ya, kita memang memerlukan FTA, tetapi ia mestilah diterima oleh kedua-dua pihak dan tidak memberi sebarang kesan negatif. (rujuk Utusan online 9/3/2007)


Kerajaan bijak tidak terburu-buru tandatangani FTA

KUALA LUMPUR 8 Mac – Tun Musa Hitam lega kerana kerajaan Malaysia mengambil pendirian tidak terburu-buru untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS).
Sambil menyifatkan keputusan Kabinet semalam untuk menangguhkan keputusan menandatangani FTA itu sebagai langkah bijak, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan tarikh tamat perkhidmatan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush sebagai sebab untuk menyegerakan perjanjian tersebut.
Menurutnya, keputusan kerajaan itu dilihat sangat penting serta membuktikan kerajaan sangat serius dan bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat tidak terjejas.
Katanya, dalam setiap perundingan perdagangan adalah sesuatu yang biasa bagi setiap pihak yang terlibat dalam perundingan mahu menjaga kepentingan masing-masing.
‘‘Amerika Syarikat tahu apa kehendak-kehendaknya dalam rundingan ini yang mungkin tidak dipersetujui oleh Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Malaysia juga sedar apa kehendak-kehendaknya yang mungkin tidak diterima oleh negara berkenaan.
‘‘Oleh kerana masalah dan perbezaan pandangan itulah, maka perlu diadakan rundingan,’’ katanya.
Jaminan
Musa menyatakan demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan tidak akan menggadai kedaulatan negara dalam menandatangani FTA dengan AS.
Katanya, setiap perundingan perdagangan harus dilakukan dalam konteks ‘menang-menang’.
Musa turut kagum dengan tindakan Kabinet membincangkan isu FTA itu secara mendalam dan membuat keputusan untuk menyambung perbincangan mengenai perkara itu pada mesyuarat Kabinet akan datang.
‘‘Sangat jarang berlaku dalam sejarah pentadbiran negara Kabinet mengambil masa begitu panjang membahaskan sesuatu isu dan membuat keputusan untuk menyambung perbincangan mengenainya pada mesyuarat Kabinet akan datang.
‘‘ Ini menunjukkan kerajaan memang serius mahu menjaga kepentingan rakyat dan bertanggungjawab melindungi kedaulatan negara,’’ tambah beliau.
Musa berkata, tindakan itu dibuat semata-mata untuk memastikan jika kerajaan bersetuju menandatangani FTA, ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Menurutnya, FTA dengan AS bukan sekadar melibatkan soal perdagangan tetapi juga meliputi semua peringkat masyarakat daripada golongan perniagaan sehingga kepada rakyat jelata.
‘‘Kita membuat keputusan yang tepat tidak terburu-buru dan tidak mengejar tarikh akhir yang ditetapkan oleh AS untuk menandatangani FTA itu,’’ katanya.
(juga Utusan online 9/3)

CAP: Hentikan rundingan jika pendirian kita tidak dihormati

KUALA LUMPUR 8 Mac – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menegaskan bahawa adalah lebih baik Malaysia tidak meneruskan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) jika pendirian negara ini tidak diterima oleh kuasa besar itu.
Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kepentingan negara sama sekali tidak jelas di bawah FTA sementara kos yang terpaksa ditanggung kerana pelaksanaan FTA pula adalah sangat tinggi.
Selain itu, katanya, pelaksanaan FTA juga akan menyebabkan kerajaan hilang keupayaan untuk mengekalkan dasar-dasar penting sedia ada dan menghadapi kesukaran untuk membuat dasar-dasar baru.
‘‘Kedudukan sosial negara akan terjejas kerana FTA mungkin menyebabkan tekanan kepada masyarakat Malaysia,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
S. M. Mohamed berkata, dalam hal ini CAP mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai jaminan kerajaan melindungi kepentingan negara dalam rundingan tersebut dan keprihatinan kerajaan terhadap kebimbangan rakyat berkaitan perkara itu.
Katanya, CAP berharap kerajaan dapat membuat keputusan terbaik dan mengambil kira pandangan rakyat yang tidak boleh menerima segala tuntutan AS.
Beliau mendakwa, FTA akan turut menjejaskan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
‘‘Syarikat-syarikat Malaysia tidak akan mampu bersaing dengan firma-firma dan bank-bank gergasi AS,’’ katanya.
Selain itu, jelas beliau, disebabkan FTA mendesak Malaysia membuka pelaburannya, maka kerajaan juga tidak akan berupaya untuk meneruskan sokongan ke atas firma-firma dan produk-produk tempatan.
Lebih buruk lagi, kata S. M. Mohamed, para pengguna di negara ini akan menderita akibat kenaikan harga ubat-ubatan dan terpaksa membayar harga tinggi untuk informasi dan produk digital disebabkan pelaksanaan undang-undang Harta Intelek.
‘‘Dari segi perdagangan, Malaysia akan tersingkir apabila kita membuka pasaran. Ini akan menjejaskan petani, penanam tembakau, penternak dan industri kereta nasional,’’ katanya.
Presiden CAP itu turut menarik perhatian bagaimana Singapura mengalami defisit dagangan yang semakin meningkat sejak FTA dengan AS dikuatkuasakan pada Januari 2004.
Beliau berkata, defisit dagangan republik itu pada tahun 2003 ialah sekitar AS$1.4 bilion (RM4.9 bilion) tetapi meningkat kepada AS$6.9 bilion (RM24.15 bilion) pada tahun 2006.
‘‘Berdasarkan perkembangan di Singapura itu, tiada alasan untuk Malaysia menandatangan FTA dengan AS atau meneruskan rundingan itu kerana ia membabitkan kos yang tinggi.
‘‘Malaysia boleh terus mengekalkan hubungan dagangan yang positif dengan AS tanpa FTA,’’ katanya.

Kita pun dah lama memandang ke timur. Timur lebih memahami timur dan kita sepatutnya bergabung menjadi sebuah rantau Asia yang kuat, tidak perlu bergantung kepada kuasa ekonomi barat yang nyata membuat dasar ekonomi dan politik yang "menang-kalah"
Kepada penggubal dasar ekonomi ke, politik ke, buatlah keputusan demi kepentingan rakyat kesemua, bukan untuk kepentingan golongan tertentu sahaja.

Akhir-akhir ini terasa benar bahang inflasinya. Harga makanan dan kesemua keperluan naik harganya, sampai terasa ingin membawa bekal saja setiap hari ke sekolah. Sesekali terlintas juga rasa kesihan kepada pengusaha kantin kerana perniagaannya kurang baik (dah letak harga tinggi sangat). Nak kata siapa berhak siapa tidak berhak sukar di sini kerana masing-masing ada kepentingan. Harga minyak kereta pula masya Allah! Terasa nar bahangnya setelah saya berpindah ke sekolah baru yang mengambil jarak 35 km. Kalau saya penjawat awam berpendapatan tetap inipun mengeluh, apa hal lah pula kepada pekerja tidak tetap, bekerja sendiri, yang mempunyai tanggungan yang ramai dsb?
Dan aku semakin kuat?

Hehe, saja nak naikkan semangat.

Hari itu saya masuk bengkel. Mereka lagi, dengan masalah itu itu juga. Kali ini saya tidak dapat menahan amarah saya kerana cabaran mereka semakin hebat. Nak bagi bahan-bahan kerja reka bentuk pun boleh buat onar. Saya yang memegang kayu (kecil) mula naik tangan, pukul kuat nanti tinggalkan kesan, tak pasal-pasal jadi isu, pukul 'sederhana kuat' boleh kot. Huh, masih dengan begitu begitu juga. Mahu diapa-apakan kamu ni ya? Separuh masa untuk mengawal disiplin, belajar kurang lancar malah geram bertambah-tambah. Kamu merenggut masa belajar pelajar yang ingin belajar. Muka dah merona merah yang amat.

Saya mengambil satu masa (period) untuk menyejukkan balik kondisi badan saya. Gelagat tadi menjadikan guru merasakan pelajar sedemikian lebih baik tidak hadir kerana adanya mereka di sini bukan untuk menambah ilmu bahkan mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Catat markah demerit, akhir nanti mereka akan digantung sekolah. Walaupun zalim tapi kadang-kadang terpaksa...

Itu tingkatan 1. Sekarang tingkatan 4.
Beberapa pelajar kelihatan santai sebab sebelum ini saya 'melayan' mereka. Ada yang berani tidur.
"Kamu tidur dalam kelas kamu ingat kamu ini siapa, siapa cikgu siapa pelajar, kamu ingat kamu hebat sangat?"
"Saya sudah menyemak keputusan SPM sekolah kamu sebelum sebelum ini, lebih banyak calon yang gagal daripada calon yang lulus. Saya guru ekonomi asas kamu, saya tidak akan benarkan kamu berbuat sedemikian pada subjek saya. Bla bla.
Saya teruskan mengajar. Jika ada bahagian yang kelakar saya ketawa spontan (mereka juga), tapi jika mereka buat perangai, saya akan berleter spontan.
"Saya akan marah kamu bersungguh-sungguh jika kamu buat salah. Saya tak suka berleter tapi kamu yang meminta saya berbuat demikian, tetapi saya akan mengajar kamu bersungguh-sungguh juga untuk subjek ini". Volume? Setinggi mungkin. Suara yang dikurnia Tuhan nampaknya digunakan sepenuhnya di sini.

Seorang pelajar lelaki keluar masuk kelas beberapa kali. Dia ada masalah dengan saya, saya memang tak sengaja, silap komunikasi. Saya bersedia minta maaf daripada dia jika saya bersalah, tetapi dia nampak berkeras dengan saya. Melawan dengan kekerasan juga? Saya tahu saya tidak akan menang jika menggunakan kekerasan kerana dia kelihatan dalam keadaan 'tidak stabil emosi'. (Kemudian saya mendapat tahu dia telah melanggar disiplin justeru dirinya macam cacing kepanasan,). Saya bercakap dalam suara yang keras "Saya telah mengambil keputusan bahawa dia tidak mendatangkan apa-apa kepada saya, saya tidak sakit hati, saya tidak geram, dia tidak penting kepada saya" Saya percaya dalam sesetengah kes, mengharapkan mekanisme 'tangan tidak nampak' itu lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah daripada menggunakan kekerasan. Masa akan selesaikan kes ini, memandangkan sikapnya sedemikian. Rasulullah saw sendiri pun tidak dapat berbuat apa-apa jika seseorang tidak mahu mengikuti baginda walaupun orang itu amat disayanginya. Saya berasa lega selepas saya bercakap sedemikian.

Beberapa pelajar menyalami saya. Selepas keluar dari kelas mereka, saya berasa puas. Biarpun nampak kecil, tapi itu sangat mengembirakan saya. Saya dapat meluahkan rasa ketidakpuasan hati saya dengan lantang, tapi dalam beberapa saat kemudian saya boleh meneruskan pelajaran dengan biasa dan bersemangat. Pelajar pun nampak respons, juga mengerti...

Pelajar tingkatan 5 pun nampak macam ada kesedaran hendak belajar. Saya menjelaskan kepentingan SPM kepada pelajar dan memberitahu yang saya ini kamu ini nampak saja tidak garang, tetapi saya bercita-cita tinggi. Saya/kita akan berusaha meningkatkan kualiti SPM Ekonomi Asas nanti. Pendekatan marah-marah saya kurangkan tetapi banyakkan motivasi. Pelajar ponteng membimbangkan saya tetapi saya cuma boleh mengawal pelajar yang hadir. Kalau semua yang hadir ini lulus pun sudah merupakan kejayaan yang sangat besar kepada saya/kami.

Setelah bermuhasabah, saya membuat kesimpulan, saya akan memandang masalah ini sebagai melihat sekeping duit syiling, kecil dan fokus. Ketepikan pelajar bermasalah, layan setakat termampu dan pahatkan kepada diri "kamu semua tidak berhak membuat saya sedih, marah (dan sakit)!" Tumpukan perhatian kepada pelajar yang ingin belajar.

CUTI!

Eheh cuti pula saya highlightkan, nak buat macam mana, inilah satu-satunya keistimewaan yang ada pada guru dan tiada pada kerjaya lain. Janganlah cemburu pula, sebab nama saja cuti, kerja sudah bersusun. Antara kerjaya, keluarga dan tugasan peribadi...
Kepada calon-calon SPM 2006, semoga kamu beroleh kejayaan cemerlang ya, nanti call atau sms saya. Teringin hendak bersama-sama kalian pada hari tersebut meraikan kejayaan, namun, saya tidak dapat ke SMKA Pedas kerana saya terpaksa ke sekolah baru saya.

Selamat bercuti semua. Kepada calon-calon SPM 2007 (dan lain2 calon peperiksaan awam), gunakan kesempatan cuti ini sebaik-baiknya. Masa ibarat pedang... (ambil dari blog yus)

Tuesday, March 06, 2007

Engkau sentiasa di sisi, cuma aku yang jahil...

Dalam saya asyik berfikir (bercampur sedih, keliru), saya dan dua guru baru sekolah kami diarahkan untuk ke majlis "Program Orientasi Guru-guru Baru Daerah Port Dickson". Guru-guru yang hadir lebih kurang 50 orang. Terdapat beberapa slot untuk memberi panduan kepada guru-guru baru di sini, bertukar-tukar pandangan, perbincangan masalah dan yang paling menarik adalah panduan bagaimana menjadi guru cemerlang. Slot ceramah yang disampaikan oleh ahli jemaah nazir iaitu Tn Haji Abd. Rashid itu banyak membakar semangat kami untuk terus menabur bakti. Mari kita berkongsi bersama dan saling mengingati.

Panduan menjadi guru cemerlang:
1. Pengurusan masa, masuk kelas pada waktunya
2. Tanda buku (biar ikhlas dan dapat memberi motivasi)
3. Hasilkan pelbagai inovasi, spt dalam pengurusan kelas, dalam P & P dll
4. Mempunyai hubungan yang baik dengan pentadbir
5. Mengajar di dalam kelas yang berpusatkan murid, guru hanya fasilitator
6. Mesti dokumentasikan semua kerja yang kita telah buat supaya ada hitam putih(SKT),
buku rekod mengajar mesti kemas dan detail. Jika ada kelas
ganti, highlightkan. Rekodkan peta minda, folio, buku skrap yang dibuat
dengan pelajar
7. Buat perubahan, cari kelainan yang positif
8. Mempunyai hubungan baik dengan komuniti setempat - ibu bapa, pelajar-pelajar
lain, PIBG, link sekolah seperti bapa angkat sekolah dsb.
9. Tahu tentang bidang tugas dan dapat menjelaskan dengan baik apabila ditanya atau
diminta buat, buat dengan baik dan sempurna.

Itulah antara tips untuk menjadikan kita guru cemerlang (pakar). Ada orang boleh berubah dalam tempoh yang singkat dan sebaliknya ada yang memerlukan masa yang lama untuk berubah, yang penting kita ingin dan cuba berubah. Kedudukan ilmu sangat tinggi dan mulia di mata semua terutama Allah, dan penyampai ilmu tentulah lebih-lebih dikasihi-Nya. Marilah kita membuat anjakan paradigma (masih guna istilah lama, apa istilah semasa ya) selaras dengan perkembangan yang sangat pesat di luar sana.

Syukur kepada-Mu Tuhan kerana sentiasa bersamaku pada detik-detik resahku.

Monday, March 05, 2007

Tabahkah hati ini?

Hari ini masuk hari ke-3 ujian (terakhir), saya kena kelas ganti lagi untuk tingkatan 4. Masya Allah, rasa serba salah betul saya dibuatnya. Jika mulut ini tidak sabar, sudah tentu meluncur kata-kata yang sungguh tidak sopan didengar. Cikgu-cikgu di sini sudah mangli dan terpaksa menggunakan laras kata-kata yang sesuai dengan kelakuan pelajar. Kata-kata manis bagai tidak laku di sini. Saya beristighfar berkali-kali takut terlepas cakap yang buruk-buruk.
"Dulu saya simpan dalam hati, tidak marah-marah mereka, tapi hati saya geram dan sakit" kata seorang cikgu.
"Pernah kata 'bodoh' dekat diorang?"
"Terpaksa, semua perkataan keluar, cakap lembut tak faham"

Memang, cara saya mengajar di Pedas tidak boleh digunakan di sini. Di Pedas, bukan nak riak, saya enjoy di sana, dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Pelajar di sana boleh buat geng, dan saya tidak membezakan mereka jika pun mereka bersalah dari segi undang-undang. (minta maaf ya cikgu disiplin) Di dalam kelas saya hanya guru. Secara perlahan saya boleh nasihatkan mereka. Tetapi di sini...

Hrm nampaknya saya masih terkenang-kenang perkara yang telah lepas. Itulah masalahnya saya. Tapi... saya rindu dengan semua kenangan itu...huhu.. Dengan pengalaman mengajar yang agak banyak, saya sungguh seronok dengan kerjaya saya, tidak merasa tertekan walaupun kerja banyak. Adus, bagaimana saya bisa lupakan kesemuanya dan menerima seadanya apa yang ada di sini jika keadaan antaranya bagai langit dengan bumi?

Memang sebelum ini saya membulatkan hati untuk menerima perubahan ini, tapi, adakah saya perlu sesuaikan diri saya dengan pelajar di sini, terpaksa menggunakan kata-kata keras bagai cikgu-cikgu lain? Ada guru yang ke kelas membawa rotan, dah terpaksa kerana budaya lepak berleluasa. Fly tu budaya lumrah. Saya tidak bermaksud menceritakan yang tidak baik, tetapi, itulah gambaran remaja Malaysia di sekolah biasa. Ada cikgu yang baru bertukar dari sekolah berasrama menangis apabila ditugaskan ke sini.

"Keturunan akak tiada yang darah tinggi, tapi akak telah menghidapnya" terang seorang cikgu.
"Di sini cikgu-cikgu muda pun dah kena penyakit"

Oh cabaran! Keturunan saya pun tiada yang berdarah tinggi, lemah jantung dsb. Mana lebih penting, bersikap sopan tapi pelajar naik tocang demi menjaga kesihatan atau mulut dan tangan sentiasa "berapi" untuk mengawal keadaan yang begitu menduga.

Sehari dua ini saya ingin mencari pendekatan yang sesuai dengan saya. Tadi pengetua mencadangkan agar kelas kerohanian yang dibuat setiap pagi Jumaat dipertingkat. Dekati pelajar bermasalah, kenali hati budi mereka. Cuma bagilah yang hero-hero tu kepada cikgu-cikgu yang 'banyak ilmu'. Saya belajar pelan-pelan...

Sebelum ke Tanah Suci, saya berdoa agar Allah menganugerahkan ilmu kepada saya. Memang sepanjang saya di sana saya berjumpa/ alami pelbagai perkara yang menjadi buah pemikiran. Sekembalinya saya ke sini, saya ditukarkan ke sekolah baru. Kawan-kawan guru memberi semangat dengan mengatakan, mungkin ini semua ada hikmahnya. Belajar perkara baru dalam kerjaya. Betul, saya tidak nafikan cuma perubahan ini agak drastik kepada saya. Mungkin ujian kepada saya yang dari kecil belajar dari sekolah Melayu hingga tingkatan 6, sekolah agama pula, kurang pergaulan dengan masyarakat luar. Di UM pula, saya tidak bebas bergaul, hanya setakat rakan sekuliah dan sekolej, itu pun saya ni berat mulut. Ha kan, Allah nak memberi saya ilmu baru, bagaimana hendak mengawal anak bangsa pelbagai bangsa, pelbagai latar masyarakat dan masalah yang selama ini hanya saya baca melalui majalah atau buku.

Ya Tuhan, jadikan lah aku tabah dalam menjalani semua cabaran ini. Aku hanya ingin menjadi manusia yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dalam kehidupanku ini. Rusa mati meninggalkan tanduk, bagi guru, hanya ilmulah yang boleh dicurahkan demi kelangsungan anak bangsa tercinta...(Doakan daku dalam doa kalian..)

Saturday, March 03, 2007

Pejam celik pejam celik..

Pejam celik pejam celik dah 3 minggu saya di sekolah baru. Rasanya saya dah banyak belajar tentang sekolah ini tapi rupa-rupanya masih banyak yang saya belum tahu tentang sekolah ini. Nampaknya setakat ini saya kena berubah hampir 300 darjah berbanding dengan sekolah lama. Hehe, apa yang berubah tu..

Sekarang ialah musim ujian (Ujian Selaras 1). Iee saya ni kena jadi s/u pep dalaman pula, benda yang tak pernah saya buat (dan nak buat, tu la nak jadi cekgu cabuk sangat). Tapi syukur sebab su pep lama banyak tolong. Eh promo pulak, orang dah lama jadi su pep pun tak bising. Sebenarnya yang saya nak cerita di sini ialah tentang pelajar-pelajar saya ni. Perkara ini mungkin aneh dan baru bagi saya tapi saya rasa fenomena ini berlaku di kebanyakan sekolah lain, mungkin boleh jadi buah pemikiran kepada ibu bapa atau masyarakat pembaca sekalian, gambaran anak-anak, adik-adik kalian di sekolah biasa.

Sebelum ini jika saya masuk kelas untuk P&P biasa, pelajar tidak ramai, tapi tiba-tiba saya nampak pelajar yang tak pernah saya nampak sebelum ini. Hehe, ada juga yang datang sekolah semasa hari ujian saja. (Huh, masa exam betul pun ada yang tak datang). Untuk pelajar tingkatan 5, saya sudah beritahu awal-awal ada dua bahagian, soalan objektif dan soalan esei. Apabila saya meninjau-ninjau, ada pelajar yang langsung tidak jawab kertas esei, lelap-lelap lagi. Saya tegur, "tak bawak kertas cikgu" "pinjam kawan sebelah, besok ganti balik". Ingat dah setel, rupa-rupanya ada lagi pelajar lain yang hantar kertas ojektif sahaja... Dah minda saya giat berfikir, macam mana saya nak handle masalah ini, sebab saya biasa lihat pelajar sekolah lama saya berpeluh-peluh setiap kali menjawab soalan esei (tak sempat pandang kiri kanan), ai, pelajar sini berpeluh-peluh tidak jawab soalan esei...masya Allah... seperti biasa saya pun sms mentor saya, katanya "jika kita berjaya di sini, bermakna kita hebat dalam P&P kita" erm betul. Mengajar, mendidik orang yang nak belajar jauh lebih mudah daripada mengajar/ mendidik orang yang tidak mahu belajar.

Sebelum ini, saya ada masuk tingkatan 1, subjek KH. Saya suruh keluarkan buku. "Buku tak ada cikgu", "buku nota?" , "pun tak ada" Saya suruh duduk diam-diam tapi nama nak diam jangan harap, berjalan situ sini lagi. Kalau kita ada gangguan suara seperti sakit tekak atau batuk, hah masalah besarlah tu. Budak-budak perempuan pula nampak tekun menyalin nota. 'Bila saya hampir, rupa-rupanya menyalin nota subjek lain daripada buku kawan. Hrm, serta merta darah menyirap, nyaris-nyaris nak bertukar menjadi Hulk..! Selepas mereka keluar, saya ke bengkel KH sebelah, konon nak mengadu pada Kak As. "Akak pada awal dulu buat garang, tapi sekejap aja mereka takut.." Semasa kami bersembang tu dua tiga pelajar sempat ambil kikir main-main pedang lagi..

Sambung cerita musim ujian. Masa itu saya kena kelas ganti tingkatan 5 lanskap dan seni reka tanda. Mereka sambil jawab ujian sambil bersembang. Saya duduk di bangku paling belakang dan memerhati mereka. Pelajar tingkatan 5 masih boleh duduk diam sebab rasa segan jika diperhati, tapi, pelajar tingkatan 4 dll..hehe (sambil perhati sambil termenung, berfikir masa depan mereka). "Cikgu, ada seorang budak nak jadi anak angkat cikgu, tu dia" "Kesihan dia cikgu, dia tak ada mak" huh macam-macam la budak ni "bak durian sebijik" jawab cikgu (yang mata duitan hehe saja nak sakat budak tu).

Itulah gambaran awal tentang pelajar saya, walaupun itu hanya sebahagian kecil. "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Semoga Allah sentiasa memberi panduan dan tunjuk ajar kepada saya. Walaupun saya berbadan kecil, bersuara'lemak merdu', saya pasti ada jalan untuk menjadikan subjek saya diambil berat oleh pelajar saya. "Do the best and Allah will do the rest!"
Saya akan menjadikan cabaran di sini sebagai suatu tugasan yang menyeronokkan,Insya Allah.

(menjadi guru merupakan karier yang best, mencabar minda, dapat berkongsi/menyampai ilmu dan maklumat, cuma tidak sesuai untuk sesiapa yang berdarah tinggi atau lemah jantung..)

"Rabbi zidni ilman, warzuqni fahman"