Friday, March 09, 2007

Dan aku semakin kuat?

Hehe, saja nak naikkan semangat.

Hari itu saya masuk bengkel. Mereka lagi, dengan masalah itu itu juga. Kali ini saya tidak dapat menahan amarah saya kerana cabaran mereka semakin hebat. Nak bagi bahan-bahan kerja reka bentuk pun boleh buat onar. Saya yang memegang kayu (kecil) mula naik tangan, pukul kuat nanti tinggalkan kesan, tak pasal-pasal jadi isu, pukul 'sederhana kuat' boleh kot. Huh, masih dengan begitu begitu juga. Mahu diapa-apakan kamu ni ya? Separuh masa untuk mengawal disiplin, belajar kurang lancar malah geram bertambah-tambah. Kamu merenggut masa belajar pelajar yang ingin belajar. Muka dah merona merah yang amat.

Saya mengambil satu masa (period) untuk menyejukkan balik kondisi badan saya. Gelagat tadi menjadikan guru merasakan pelajar sedemikian lebih baik tidak hadir kerana adanya mereka di sini bukan untuk menambah ilmu bahkan mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Catat markah demerit, akhir nanti mereka akan digantung sekolah. Walaupun zalim tapi kadang-kadang terpaksa...

Itu tingkatan 1. Sekarang tingkatan 4.
Beberapa pelajar kelihatan santai sebab sebelum ini saya 'melayan' mereka. Ada yang berani tidur.
"Kamu tidur dalam kelas kamu ingat kamu ini siapa, siapa cikgu siapa pelajar, kamu ingat kamu hebat sangat?"
"Saya sudah menyemak keputusan SPM sekolah kamu sebelum sebelum ini, lebih banyak calon yang gagal daripada calon yang lulus. Saya guru ekonomi asas kamu, saya tidak akan benarkan kamu berbuat sedemikian pada subjek saya. Bla bla.
Saya teruskan mengajar. Jika ada bahagian yang kelakar saya ketawa spontan (mereka juga), tapi jika mereka buat perangai, saya akan berleter spontan.
"Saya akan marah kamu bersungguh-sungguh jika kamu buat salah. Saya tak suka berleter tapi kamu yang meminta saya berbuat demikian, tetapi saya akan mengajar kamu bersungguh-sungguh juga untuk subjek ini". Volume? Setinggi mungkin. Suara yang dikurnia Tuhan nampaknya digunakan sepenuhnya di sini.

Seorang pelajar lelaki keluar masuk kelas beberapa kali. Dia ada masalah dengan saya, saya memang tak sengaja, silap komunikasi. Saya bersedia minta maaf daripada dia jika saya bersalah, tetapi dia nampak berkeras dengan saya. Melawan dengan kekerasan juga? Saya tahu saya tidak akan menang jika menggunakan kekerasan kerana dia kelihatan dalam keadaan 'tidak stabil emosi'. (Kemudian saya mendapat tahu dia telah melanggar disiplin justeru dirinya macam cacing kepanasan,). Saya bercakap dalam suara yang keras "Saya telah mengambil keputusan bahawa dia tidak mendatangkan apa-apa kepada saya, saya tidak sakit hati, saya tidak geram, dia tidak penting kepada saya" Saya percaya dalam sesetengah kes, mengharapkan mekanisme 'tangan tidak nampak' itu lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah daripada menggunakan kekerasan. Masa akan selesaikan kes ini, memandangkan sikapnya sedemikian. Rasulullah saw sendiri pun tidak dapat berbuat apa-apa jika seseorang tidak mahu mengikuti baginda walaupun orang itu amat disayanginya. Saya berasa lega selepas saya bercakap sedemikian.

Beberapa pelajar menyalami saya. Selepas keluar dari kelas mereka, saya berasa puas. Biarpun nampak kecil, tapi itu sangat mengembirakan saya. Saya dapat meluahkan rasa ketidakpuasan hati saya dengan lantang, tapi dalam beberapa saat kemudian saya boleh meneruskan pelajaran dengan biasa dan bersemangat. Pelajar pun nampak respons, juga mengerti...

Pelajar tingkatan 5 pun nampak macam ada kesedaran hendak belajar. Saya menjelaskan kepentingan SPM kepada pelajar dan memberitahu yang saya ini kamu ini nampak saja tidak garang, tetapi saya bercita-cita tinggi. Saya/kita akan berusaha meningkatkan kualiti SPM Ekonomi Asas nanti. Pendekatan marah-marah saya kurangkan tetapi banyakkan motivasi. Pelajar ponteng membimbangkan saya tetapi saya cuma boleh mengawal pelajar yang hadir. Kalau semua yang hadir ini lulus pun sudah merupakan kejayaan yang sangat besar kepada saya/kami.

Setelah bermuhasabah, saya membuat kesimpulan, saya akan memandang masalah ini sebagai melihat sekeping duit syiling, kecil dan fokus. Ketepikan pelajar bermasalah, layan setakat termampu dan pahatkan kepada diri "kamu semua tidak berhak membuat saya sedih, marah (dan sakit)!" Tumpukan perhatian kepada pelajar yang ingin belajar.

CUTI!

Eheh cuti pula saya highlightkan, nak buat macam mana, inilah satu-satunya keistimewaan yang ada pada guru dan tiada pada kerjaya lain. Janganlah cemburu pula, sebab nama saja cuti, kerja sudah bersusun. Antara kerjaya, keluarga dan tugasan peribadi...
Kepada calon-calon SPM 2006, semoga kamu beroleh kejayaan cemerlang ya, nanti call atau sms saya. Teringin hendak bersama-sama kalian pada hari tersebut meraikan kejayaan, namun, saya tidak dapat ke SMKA Pedas kerana saya terpaksa ke sekolah baru saya.

Selamat bercuti semua. Kepada calon-calon SPM 2007 (dan lain2 calon peperiksaan awam), gunakan kesempatan cuti ini sebaik-baiknya. Masa ibarat pedang... (ambil dari blog yus)

No comments: