SPM 2006..
Keputusan SPM telah diuar-uarkan semalam. Saban tahun kita akan membaca satu galeri kegigihan, semangat, daya juang, juga mungkin satu kegilaan para pelajar untuk memburu kejayaan. Kita patut berasa bangga akan naluri luar biasa pelajar ini mengambil berlebihan subjek kemudian berusaha supaya setiap subjek yang diambil cemerlang. Seterusnya apabila diwawancara di kaca televisyen, mereka boleh menjawab dengan petah rahsia kejayaan mereka. Syabas anak-anak Malaysia atas wawasan kamu, rasa lega sedikit kami orang dewasa dan yakin sedikit meninggalkan bumi Malaysia ini suatu hari nanti.
(Berita kecemerlangan mereka boleh diikuti di Utusan online, Berita Online dsb ya, saya tak sempat memuatkannya dalam entri ini)
Prestasi SPM 2006 SMKA Pedas atau sekolah lama saya juga mengalami peningkatan. Secara detail saya belum mendapatnya sebab saya ke sekolah baru semalam. Pelajar terbaik mendapat 12A (Syazwan dan Aisyah), 11A Hizbul, Syahirah, Hazim. Ezkandar yang terkenal dengan bahas ala parlimen mendapat 10A (dia kelas sastera ikhtisas/ kelas saya). Bagi subjek saya, ekonomi asas juga telah mengalami peningkatan. Setakat itulah yang saya boleh paparkan kerana saya tidak mendapat keputusan rasminya lagi.
Pencapaian SPM sekolah baru saya merosot. Pun begitu, saya bersyukur kerana bidang saya iaitu Bidang Teknik dan Vokasional telah meningkat. Tahniah diucapkan kepada Ketua Bidang tahun lepas, guru-guru teknik dan vokasional, serta pihak pentadbir yang memberi kerjasama yang erat kepada bidang ini.
Mari kita lihat analisis sedikit tentang subjek saya (sekolah baru saya). Gred puratanya meningkat dari 8.64 kepada 8.41. Peratus lulus 38.6 meningkat dari 27.3. Memang lebih ramai yang gagal daripada yang lulus, tetapi di sini kita ucapkan syabas kerana ada peningkatan. Pelajar terbaik ekonomi asas ialah 5C, lebih baik dari tahun sebelumnya iaitu 7D. Jadi kalian boleh membayangkan subjek saya di sini.
Saya menganggap kesemua ini sebagai cabaran hebat kepada saya kerana semua pelajar di sekolah lama saya lulus dan ramai yang mendapat A. Saya juga ingin menjadikan ini semua sebagai cabaran yang menyeronokkan.
Ok, mari kita bercerita sedikit. Saya gemar menonton movie di astro. Salah satunya ialah tayangan berjudul "The Triumph". Kisahnya tentang seorang guru muda, lelaki berkulit putih yang berhijrah ke Harlem, New York. Kawasan ini kebanyakan didiami oleh kaum berkulit hitam dan berwarna. Kebetulan seorang guru baru meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan perangai pelajar di sini dan peluang itu diambil oleh Mr. Clark untuk menjadi guru di sini.
Suasana di dalam kelas? Hiruk pikuk. Tidak menghormati guru, suka bergaduh. Untuk pengetahuan kelas ini untuk pelajar 12 tahun, kelas tercorot dan bermasalah disiplin dan pelajaran. Contoh kebiadaban pelajar ialah mereka selamba sahaja memanggil cikgu "bod*h". Mereka bertaruh berapa lama cikgu Clark dapat bertahan di sini.
Perkara pertama dibuat oleh cikgu ini ialah berkunjung ke setiap rumah murid-muridnya. Mungkin berbeza dengan sistem di Malaysia iaitu seorang guru mengajar semua subjek di dalam sebuah kelas, jadi Clark hanya mengawal dan mengajar sebuah kelas. Clark berkenalan dengan pelajar dan keluarga pelajarnya.
Apa yang menarik lagi ialah Clark telah memperkenalkan beberapa peraturan seperti "we are family" (dia lukis pokok dan namakan pelajar sekelas di pokok itu). Peraturan lain ialah, panggil cikgu jika dijawab "Yes sir atau No sir", bukan panggil cikgu "man" atau "bod*h" dsb. Banyak lagi peraturan dibuat. Pelajar kena beratur untuk ke kantin, tidak boleh memotong barisan. Jika pelajar berbohong, semua pelajar akan dilibatkan, tidak boleh ke kantin (sehingga kawan-kawan memujuk si pembohong tadi supaya bercakap benar). Pintu kelas dikunci untuk mengelakkan pelajar keluar begitu sahaja. Peraturan-peraturan yang dibuat (55 Essentials) akhirnya dibukukan dan diedarkan ke 25 buah negara.
Banyak perkara menarik dibuat oleh guru ini seperti pernah dia mengajarkan subjek sejarah, dia mengarahkan pelajar menghafal nama-nama presiden US. Pelajar bersungut, tapi dia telah melagukan nama-nama tersebut dalam rentak rap, kemudian semua pelajar ke depan dan menyanyikan lagu tersebut diikuti muzik. Selepas itu pelajar semakin respek dengan Clark. Dia tidak pernah menghamun pelajar atau memukul pelajar. Apa yang ditunjuk ialah kerja keras, kesungguhan, ambil berat, kreativiti, peraturan yang jelas (ditampal warna-warni di dinding kelas). Banyaklah perkara inovatif, kreatif yang dibuatnya sehinggalah pada akhir tahun pelajar kelas tercorot itu cemerlang bahkan berjaya mengatasi pelajar-pelajar sekolah lain di daerah tersebut. Untuk mengikuti cerita tersebut lebih detail, nanti tengok ya "The Triumph", kalian tentu akan tersentuh melihat kegigihan cikgu muda ini mempertahankan anak-anak didiknya walaupun mereka ini pada awalnya ialah kelas corot (tak digemari), juga tak dihirau keluarga. Mereka sendiri tidak menghiraukan cikgu mereka tapi cikgu yang mempedulikan mereka dan inginkan mereka berjaya dalam pelajaran dan dalam kehidupan mereka.
Hehe tapi janganlah kalian kata saya ni bercakap pandai pula. Saya cuma menulis apa yang ada pada cerita tadi saja dan saya cuba menjadikannya sebagai sumber inspirasi saya. Saya perlukan banyak motivasi dalam perjalanan hidup saya yang sangat mencabar...tapi saya cuba jadikan dugaan satu keseronokan (macam filem Julia Robert "I love trouble").
No comments:
Post a Comment