Saturday, March 10, 2007

Bank Negara tawar dua skim biasiswa
Oleh Syuhada Choo Abdullah

Lulusan cemerlang ikuti 11 bidang pengajian diutamakanBANK Negara Malaysia (BNM) memberi keutamaan kepada 11 bidang pengajian khusus untuk ditawarkan biasiswa pendidikan kepada lulusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006, yang akan diumum Isnin ini.

_Menurut kenyataan akhbar Seksyen Biasiswa, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia BNM kepada Berita Harian, semalam, bidang pengajian terbabit ialah Ekonomi, Kejuruteraan Kewangan, Perakaunan dan Sains Aktuari.Selain itu, Kewangan dan Perbankan, Kewangan Korporat, Perbankan dan Ekonomi Islam, Undang-undang, Undang-undang Syariah, Teknologi Maklumat, serta Matematik.

“Bank menawarkan biasiswa kepada lulusan cemerlang SPM 2006 bagi melanjutkan pengajian prauniversiti di bawah dua skim, iaitu Skim Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negara dan Skim Prauniversiti.“Bagi Skim Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negara, beberapa pelajar terbaik SPM 2006 yang dicalonkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan dinilai BNM untuk penganugerahan istimewa ini.“Penerima anugerah ini dibenarkan memilih bidang pengajian diminati tanpa ikatan kontrak berkhidmat dengan pihak BNM.

“Mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka bagi mengikuti bidang yang dipilih dan dikehendaki berkhidmat untuk negara apabila tamat pengajian kelak.“Skim Prauniversiti pula dikhaskan untuk calon lulus cemerlang peperiksaan SPM 2006 dengan mendapat sekurang-kurang 8 1A,” menurut kenyataan itu.Lulusan cemerlang peperiksaan SPM 2004 yang memegang rekod 17 1A setakat ini, Nur Amalina Che Bakri, ialah antara pelajar mendapat tajaan BNM dan kini mengikuti pengajian A-Level di Cheltenham Ladies' College, United Kingdom.Bagi keputusan peperiksaan SPM 2006 pula, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon, Rengit, Batu Pahat, Johor, Nadiah Amirah Jamil, dikatakan bakal memecah rekod pencapaian itu dengan mencatat 19 1A.

Bagaimanapun untuk kedua-dua skim biasiswa BNM berkenaan, menurut kenyataan itu lagi, calon perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dari segi penulisan dan lisan.Di samping juga perlu memiliki sifat kepemimpinan yang tinggi dan kematangan intelek, calon akan dinilai dari segi pembabitan dalam aktiviti kokurikulum serta sukan.“Tawaran biasiswa akan dilanjutkan ke peringkat ijazah pertama (kepujian) di universiti tempatan atau luar negara (United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia) yang diiktiraf mengikut kriteria penilaian ditetapkan BNM.“Bagi sesi akademik 2007/2008, BNM akan mengiklankan Anugerah Biasiswa Bank, esok (hari ini).

Pelajar boleh memohon dengan melayari laman web BNM di alamat www.bnm.gov.my mulai tarikh sama,” menurut kenyataan itu.BNM menawarkan biasiswa sejak 22 tahun lalu.

No comments: