Malaysia perlukan FTA – Najib
Daripada ROSNI HASSAN
OSAKA 8 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengakui perlunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) dijalinkan dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi pada masa yang sama mahu perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian itu diterima oleh kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai rundingan dengan AS berhubung FTA sebelum akhir bulan ini.
“Kita akan cuba untuk memperhalusi perbezaan pendapat dengan AS. Ya, kita memang memerlukan FTA, tetapi ia mestilah diterima oleh kedua-dua pihak dan tidak memberi sebarang kesan negatif. (rujuk Utusan online 9/3/2007)
Kerajaan bijak tidak terburu-buru tandatangani FTA
KUALA LUMPUR 8 Mac – Tun Musa Hitam lega kerana kerajaan Malaysia mengambil pendirian tidak terburu-buru untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS).
Sambil menyifatkan keputusan Kabinet semalam untuk menangguhkan keputusan menandatangani FTA itu sebagai langkah bijak, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan tarikh tamat perkhidmatan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush sebagai sebab untuk menyegerakan perjanjian tersebut.
Menurutnya, keputusan kerajaan itu dilihat sangat penting serta membuktikan kerajaan sangat serius dan bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat tidak terjejas.
Katanya, dalam setiap perundingan perdagangan adalah sesuatu yang biasa bagi setiap pihak yang terlibat dalam perundingan mahu menjaga kepentingan masing-masing.
‘‘Amerika Syarikat tahu apa kehendak-kehendaknya dalam rundingan ini yang mungkin tidak dipersetujui oleh Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Malaysia juga sedar apa kehendak-kehendaknya yang mungkin tidak diterima oleh negara berkenaan.
‘‘Oleh kerana masalah dan perbezaan pandangan itulah, maka perlu diadakan rundingan,’’ katanya.
Jaminan
Musa menyatakan demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan tidak akan menggadai kedaulatan negara dalam menandatangani FTA dengan AS.
Katanya, setiap perundingan perdagangan harus dilakukan dalam konteks ‘menang-menang’.
Musa turut kagum dengan tindakan Kabinet membincangkan isu FTA itu secara mendalam dan membuat keputusan untuk menyambung perbincangan mengenai perkara itu pada mesyuarat Kabinet akan datang.
‘‘Sangat jarang berlaku dalam sejarah pentadbiran negara Kabinet mengambil masa begitu panjang membahaskan sesuatu isu dan membuat keputusan untuk menyambung perbincangan mengenainya pada mesyuarat Kabinet akan datang.
‘‘ Ini menunjukkan kerajaan memang serius mahu menjaga kepentingan rakyat dan bertanggungjawab melindungi kedaulatan negara,’’ tambah beliau.
Musa berkata, tindakan itu dibuat semata-mata untuk memastikan jika kerajaan bersetuju menandatangani FTA, ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Menurutnya, FTA dengan AS bukan sekadar melibatkan soal perdagangan tetapi juga meliputi semua peringkat masyarakat daripada golongan perniagaan sehingga kepada rakyat jelata.
‘‘Kita membuat keputusan yang tepat tidak terburu-buru dan tidak mengejar tarikh akhir yang ditetapkan oleh AS untuk menandatangani FTA itu,’’ katanya.
(juga Utusan online 9/3)
CAP: Hentikan rundingan jika pendirian kita tidak dihormati
KUALA LUMPUR 8 Mac – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menegaskan bahawa adalah lebih baik Malaysia tidak meneruskan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) jika pendirian negara ini tidak diterima oleh kuasa besar itu.
Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kepentingan negara sama sekali tidak jelas di bawah FTA sementara kos yang terpaksa ditanggung kerana pelaksanaan FTA pula adalah sangat tinggi.
Selain itu, katanya, pelaksanaan FTA juga akan menyebabkan kerajaan hilang keupayaan untuk mengekalkan dasar-dasar penting sedia ada dan menghadapi kesukaran untuk membuat dasar-dasar baru.
‘‘Kedudukan sosial negara akan terjejas kerana FTA mungkin menyebabkan tekanan kepada masyarakat Malaysia,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
S. M. Mohamed berkata, dalam hal ini CAP mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai jaminan kerajaan melindungi kepentingan negara dalam rundingan tersebut dan keprihatinan kerajaan terhadap kebimbangan rakyat berkaitan perkara itu.
Katanya, CAP berharap kerajaan dapat membuat keputusan terbaik dan mengambil kira pandangan rakyat yang tidak boleh menerima segala tuntutan AS.
Beliau mendakwa, FTA akan turut menjejaskan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
‘‘Syarikat-syarikat Malaysia tidak akan mampu bersaing dengan firma-firma dan bank-bank gergasi AS,’’ katanya.
Selain itu, jelas beliau, disebabkan FTA mendesak Malaysia membuka pelaburannya, maka kerajaan juga tidak akan berupaya untuk meneruskan sokongan ke atas firma-firma dan produk-produk tempatan.
Lebih buruk lagi, kata S. M. Mohamed, para pengguna di negara ini akan menderita akibat kenaikan harga ubat-ubatan dan terpaksa membayar harga tinggi untuk informasi dan produk digital disebabkan pelaksanaan undang-undang Harta Intelek.
‘‘Dari segi perdagangan, Malaysia akan tersingkir apabila kita membuka pasaran. Ini akan menjejaskan petani, penanam tembakau, penternak dan industri kereta nasional,’’ katanya.
Presiden CAP itu turut menarik perhatian bagaimana Singapura mengalami defisit dagangan yang semakin meningkat sejak FTA dengan AS dikuatkuasakan pada Januari 2004.
Beliau berkata, defisit dagangan republik itu pada tahun 2003 ialah sekitar AS$1.4 bilion (RM4.9 bilion) tetapi meningkat kepada AS$6.9 bilion (RM24.15 bilion) pada tahun 2006.
‘‘Berdasarkan perkembangan di Singapura itu, tiada alasan untuk Malaysia menandatangan FTA dengan AS atau meneruskan rundingan itu kerana ia membabitkan kos yang tinggi.
‘‘Malaysia boleh terus mengekalkan hubungan dagangan yang positif dengan AS tanpa FTA,’’ katanya.
Kita pun dah lama memandang ke timur. Timur lebih memahami timur dan kita sepatutnya bergabung menjadi sebuah rantau Asia yang kuat, tidak perlu bergantung kepada kuasa ekonomi barat yang nyata membuat dasar ekonomi dan politik yang "menang-kalah"
Kepada penggubal dasar ekonomi ke, politik ke, buatlah keputusan demi kepentingan rakyat kesemua, bukan untuk kepentingan golongan tertentu sahaja.
Akhir-akhir ini terasa benar bahang inflasinya. Harga makanan dan kesemua keperluan naik harganya, sampai terasa ingin membawa bekal saja setiap hari ke sekolah. Sesekali terlintas juga rasa kesihan kepada pengusaha kantin kerana perniagaannya kurang baik (dah letak harga tinggi sangat). Nak kata siapa berhak siapa tidak berhak sukar di sini kerana masing-masing ada kepentingan. Harga minyak kereta pula masya Allah! Terasa nar bahangnya setelah saya berpindah ke sekolah baru yang mengambil jarak 35 km. Kalau saya penjawat awam berpendapatan tetap inipun mengeluh, apa hal lah pula kepada pekerja tidak tetap, bekerja sendiri, yang mempunyai tanggungan yang ramai dsb?
No comments:
Post a Comment