Keputusan SPM ibarat ‘padang belum rata’
LUMUT: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mendapati rata-rata pencapaian sekolah di bandar lebih baik daripada kawasan luar bandar.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia secara tidak langsung menunjukkan isyarat jelas kepada kementerian itu bagi meningkatkan lagi prestasi dan kemudahan di sekolah luar bandar selaras dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).“Keputusan SPM diumumkan Isnin ini jelas menunjukkan ‘keadaan padang yang masih belum rata’.“Itu antara sebab Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini, mengumumkan tambahan peruntukan RM2.6 bilion untuk memastikan sekolah luar bandar mendapat peluang pendidikan sama rata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perancangan Strategik Kementerian Pelajaran 2007 di Damai Laut dekat sini, semalam.Persidangan lima hari berakhir semalam itu bertemakan ‘Merintis Pembaharuan – Satu Misi Nasional’ antara lain bertujuan membincangkan secara terperinci pelan tindakan PIPP bagi tempoh 2006-2010.
Hishammuddin berkata, pencapaian pelajar cemerlang dalam SPM tahun lalu juga didapati meningkat dan tiada yang membimbangkan pihaknya mengenai prestasi keseluruhan peperiksaan itu.
Sekolah-sekolah luar bandar juga perlu diberi penekanan sebagaimana yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah bandar. Sekolah luar bandar juga ketinggalan dari segi prasarana, juga informasi. Ibu bapa yang mempunyai kesedaran akademik sanggup menghantar anak-anak mereka ke sekolah bandar dan memilih asrama. Justeru, tinggallah sekolah luar bandar dengan serba kekurangan dan ketinggalan. Jika di dalam satu bilik darjah mereka berada dalam kalangan mereka yang tidak ada kesedaran menuntut ilmu, manakan ada semangat berlumba-lumba? Guru-guru pun berada dalam zon selesa bahkan bosan (dan kecewa) dengan gelagat mereka.
Motivasi amat diperlukan oleh para guru dan pelajar demi mengubah mereka dan sama-sama menuju ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang maju, cemerlang dan bersahsiah tinggi.
(Jenguk-jenguklah selalu ke sekolah luar bandar, generasi ini jugalah yang akan menjadi insan dewasa yang akan menggantikan tempat kita apabila kita sudah tidak berdaya lagi. Kita yang dewasa sekarang perlulah renung-renungkan dan ambillah tindakan segera..)
No comments:
Post a Comment