Ini bukan berita tentang pendidikan bertaraf dunia, cuma kisah yang berlaku sehari-harian di sekolah biasa.
Akhir-akhir ini kita sebagai pendidik diorientasikan dengan istilah "Pelan Induk Pembangunan Pendidikan", iaitu satu rancangan pendidikan jangka panjang. Kita juga telah diuar-uarkan dengan isu sekolah "kluster". Dalam bulan ini juga kementerian menjangkakan akan menyusun sekolah mengikut "ranking"supaya ibu bapa dapat memilih sekolah terbaik untuk anak-anak mereka. Sebelum itu kita juga telah dibiasakan dengan sekolah "bestari". Malah terbaru, kita rakyat Malaysia rasa amat bangga kerana di negara kita sekolah-sekolahnya telah diperkenalkan dengan IT kerana sesetengah sekolah di A. Syarikat pun belum memiliki kemudahan tersebut (petikan berita TV3 2 malam lepas).
Sebagai guru, saya menyokong segala usaha kerajaan. Memang sebagai ibu bapa, kita inginkan sekolah terbaik, yang menyediakan segala kemudahan untuk anak-anak kita. Ini juga amat memudahkan kerja-kerja guru kerana guru sekarang pun sudah terdedah dengan bahan-bahan moden dan canggih.
Ha..berbalik pada ayat pertama dalam entri ini, saya hanya ingin menyentuh tentang pendidikan di sekolah saya, yang bertaraf kampung. Bukan hendak sentuh tentang bengkel komputer, cuma nak sentuh tentang pelajar-pelajarnya yang menjadi sampel penting dalam arus pendidikan.
Jadual sekolah saya masih berubah-ubah, biasalah tu, kalau ada pertukaran guru dsb. Isu kali ini ialah saya kena mengajar Bahasa Melayu. Bukan saya tidak pernah mengajar Bahasa Melayu, tapi, inilah pertama kali saya ditugaskan di kelas peralihan. Pelajar terdiri daripada kaum Cina dan India. Ada yang masih tidak boleh membaca BM. Bercakap sesama mereka dalam bahasa ibunda mereka, walaupun saya sudah menegur supaya menggunakan BM. Kalau setakat tidak boleh membaca boleh tahan lagi, tapi, nakalnya, masya Allah.
Mari saya ceritakan satu kes yang menimpa diri saya. Kali pertama saya masuk, mereka masih boleh menerima saya. Kawan-kawan berpesan, pelajar peralihan kena bagi kerja bertulis banyak-banyak, baru duduk diam. Jadi saya sediakan lepas satu, satu kerja bertulis, termasuk melukis (pewarna tak bawa pula, hentam je la). Ada baki masa 20 minit pun saya buat "ejaan". Kali kedua saya masuk saya perasan pelajar dah mula berubah mood, sebab saya suruh menyalin dari buku satu petikan. Ada seorang pelajar yang suka melukis hendak melukis gambar tokoh tersebut, saya benarkan, lepas tu lukis menara kembar dll. Akhirnya dia hanya melukis dan hanya sempat menulis 2 baris ayat sahaja.
Kali ketiga saya masuk, saya bagi kerja lagi, kena menulis lagi.
"Cikgu, saya mahu lukis gambar" (kata budak yang suka melukis)
"Tak boleh, sudahkan kerja dulu baru boleh lukis" (Ini kerana dia tidak siapkan tugasan yang diberi)
Pelajar tadi mula memberontak. Apabila saya mendekati dia, dia kata tangannya sakit, tak boleh menulis. Saya tahu dia tidak bercakap benar. Saya mula naik berang, suruh dia menulis juga, tapi dia masih kata sakit tangan. Saya mula geram.
Saya pergi ke tempat pelajar lain, dia tidak menulis pun. Kemudaian saya tahu dia tidak tahu menulis. Jadi saya mengambil buku kawannya dan menyuruhnya menyalin sahaja.
"Saya malaslah"
saya mencubitnya.
"Saya malaslah"
saya terus mencubitnya.
Sampai ke akhirnya dia tidak membuat kerja.
Pelajar yang kata sakit tangan tu masam mencuka dan melawan pula cakap saya.
Saya tidak dapat menahan rasa sabar saya. Tambahan pula saya datang ke sekolah dengan sedikit masalah sendiri. Saya sudah tidak boleh mengawal perasaan saya, dan bimbang ini akan menjadikan kondisi saya bertambah buruk. Saya menghempap buku rekod mengajar yang tebal itu ke atas meja, memarahi pelajar, mengambil nama-nama pelajar yang nakal tadi dan keluar kelas.
Saya tak gembira kerana saya rasa saya kalah. Saya mengkoreksi diri. Macam-macam perasaan timbul termasuk ingin bertukar sekolah, sudahlah sekolah ini jauh dari rumah (34km). Untuk melegakan perasaan saya berbual-bual dengan kawan setugas. Kata mereka, mereka sudah mangli dengan keadaan tersebut kerana sebelum ke sekolah ini pun mereka sudah posting di sekolah yang lebih kurang sama "dahsyatnya" dengan sekolah ini.
Hari ini, Ahad. Saya bergegas ke sekolah lama saya kerana saya ada memberi tuisyen Ekonomi Asas SPM. Rupa-rupanya pelajar SPM menhadiri bengkel BM di Bilik Media. Saya terserempak dengan Cikgu Rosiah. Dia menjemput saya join saya bengkel tersebut. Memang bagus tapi saya kesuntukan masa, ada sesuatu yang saya nak buat nanti. Lagi pula kata saya, bengkel tersebut rasa-rasanya kurang sesuai dengan diri saya buat masa ini, kerana saya tidak boleh aplikasi di sekolah saya nanti. Saya memberitahu Cikgu Rosiah saya kena mengajar di kelas peralihan. Dia sempat memberi tips kepada saya bagaimana mendidik pelajar peralhiran kerana dia ada pengalaman, kena banyak "aktiviti main-main", aktiviti bahasa. Jangan masuk kelas guna buku teks dan buku latihan. Buat banyak-banyak persediaan seperti kad imbasan, muzik, dll. Saya pun belilah majalah Dewan Pelajar seperti yang disyorkan..Insya Allah, saya akan cuba buat setakat saya mampu..
Hrm..macam-macam ya hidup ni. Saya ada membelek-belek majalah dan terjumpa beberapa kawan sesekolah yang sudah menjadi "doktor", prof. madya atau memegang jawatan penting. Saya jugaklah yang jadi cekgu mengajar bebudak ni. Sesekali rasa ketinggalan daripada mereka dan jauhnya pencapaian saya daripada mereka. Tapi sesekali saya fikir, biarlah mereka mendidik siswa-siswi, tinggallah saya mendidik anak-anak bangsa yang masih ketinggalan ini. Mereka mendidik anak bangsa menerajui dunia, saya mendidik anak bangsa mengenal a, b, c..menganal konsep-konsep asas dalam kehidupan...
Walaupun di mana sahaja kita berada, walau apa sahaja diri kita, buatlah yang terbaik...
2 comments:
Assalamulaikom,,,bila saya bca entry cikgu kali ini..air mata jatuh sendiri...ntahla cikgu,mungkin perasaan hormat yang begitu tinggi terhadap guru terutama cikgu wan membuatkan saya terfikir betapa besar nye jasa seorang guru 'cabuk' yang diungkapkan itu...perasaan ni mcam meronta2 dek kerana sayang nya kepada guru,.. gelaran guru memang tidak sama dengan gelaran prof,memang maklum tahu bahawa prof itu hebat,tapi bagi merka2 yang sedar dan tahu erti sebenar pengorbanan seorang pendidik maka PASTI GURU CABUK YANG MEREKA AKAN SANJUNGI...rindu pada semua cikgu2 pedas....tanpa anda semua yussamir tidak akan menjadi yussamir seperti sekarang....moga kami menjadi saksi terhadap jasa cikgu dihadapan Allah kelak...(aory la cikgu,teremosi...saya sedih bile perkataan cikgu cabuk itu diungkapkan..kerana istilah itu LANGSUNG TIDAK SESUAI pada guru2 seperti cikgu)..moga sentiasa mendoakan anak didikmu ini...sekian..mlm nnt saya akan bertolak ke perak utk bagi motivasi kat skolah ahmad bustamam...terima kasih cikgu...
terima kasih yus atas sanjungan kpd kami warga pendidik. melihat anak2 didik berjaya dlm pelajaran dan hidup itu merupakan hadiah terbesar dan menjadikan kami semakin gigih utk terus berusaha.
insya Allah kami tidak berputus asa mendidik 'anak2 nakal' kerana setiap kali memandang muka mereka saya terbayangkan merekalahlah yg bakal menjadi bapa, ibu, pemimpin apabila kami sudah tidak berdaya nanti.
Post a Comment