BANGI - Berapa ramaikah di kalangan kita yang mengetahui bahawa dinosaur tidak mempunyai tulang patela (tempurung lutut)?
Perkara itu rupa-rupanya telah disedari oleh seorang kanak-kanak genius yang hanya mahu dikenali sebagai Brandy, 4, sejak dia berumur dua tahun lima bulan.
Menurut ibu Brandy, Dr. Minni Ang, dia terkejut apabila anak tunggalnya itu bertanya soalan kenapa dinasour tidak mempunyai tulang patela, ketika usianya begitu 'hijau'.
"Pada mulanya, saya fikir soalan itu tidak masuk akal dan hanya pertanyaan spontan, tetapi apabila saya menyelidik terbukti dinasour tidak mempunyai tulang patela,'' katanya menceritakan detik pertama dia sedar bahawa Brandy adalah seorang kanak-kanak yang genius.
Minni yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM) berkata demikian ketika ditemui semasa Bengkel Pembangunan Kanak-Kanak Bagi Kanak-Kanak Pintar di sini semalam.
Walaupun Brandy mula mampu membaca pada usia dua tahun, dia tidak menyifatkan ia sebagai tingkah laku genius kerana mereka sekeluarga memang memberi didikan literasi sejak awal lagi.
"Pada usia tiga tahun dia telah membaca novel Lord of The Ring dan mampu mengingati semua watak dalam novel tersebut dan sering bertanya kepada saya soalan-soalan yang kadangkala sukar untuk saya sendiri menemui jawapannya.
"Pada hal, novel tersebut sangat tebal dan hanya layak dibaca oleh orang yang jauh lebih dewasa daripada usianya,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment