JOHOR BAHARU 21 Nov. – Jualan motosikal merosot dengan mendadak di negeri ini dan ia memberi petunjuk mengenai ekonomi yang kian memburuk di seberang Tambak Johor.
Semua pihak mengetahui bahawa kebanyakan pekerja Malaysia yang tinggal di sini tetapi berulang-alik ke republik itu setiap hari berbuat demikian menggunakan motosikal.
Sehubungan itu, jualan motosikal baru di sini mencerminkan keadaan ekonomi di Singapura.
Kebelakangan ini, angka jualan tersebut telah merudum dari kemuncak jualan 8,821 buah motosikal pada Julai, semasa harga petrol dinaikkan, turun kepada 5,000 buah motosikal pada Oktober.
“Ini merupakan kejatuhan jualan hampir 44 peratus dan saya tidak melihat angka itu meningkat naik untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” kata seorang jurucakap Persatuan Pedagang Motor Johor Baharu.
Perangkaan menunjukkan jualan pada Ogos ialah 7,114 buah dan pada September angka itu merosot kepada 7,012.
“Dengan ketidaktentuan mengenai pekerjaan masing-masing, siapa hendak melabur membeli motosikal baru? Biasanya tempoh akhir tahun merupakan masa apabila para pekerja di Singapura membeli motosikal baru untuk menggantikan motosikal lama atau bertukar kepada motosikal yang lebih bertenaga.
“Perkara itu tidak berlaku sekarang ini. Sebabnya mudah sahaja. Pada masa ketidaktentuan ini, apabila semua pihak sedang bercakap mengenai langkah pemberhentian kerja telah menjadi satu kebiasaan, perkara terakhir yang mahu dipertimbangkan oleh para pekerja Malaysia di Singapura ialah untuk membeli motosikal baru.” kata jurucakap itu.
Singapura kini menghadapi masa hadapan ekonomi yang sukar berikutan krisis kewangan global sekarang ini dan para pekerja Malaysia di sana adalah antara mereka yang menerima kesannya, terutama sekali mereka yang bekerja dalam sektor pembinaan dan pengubahsuaian.
“Kebanyakan rakyat Malaysia itu yang berulang-alik setiap hari menggunakan motosikal. Tetapi, dengan jangkaan pekerjaan akan berkurangan, aliran trafik motosikal akan menerima kesan.
No comments:
Post a Comment