Saturday, March 07, 2009

Seorang lelaki 'tertib' bernama Zubir Ali




SEWAKTU kecil, saya tidak pernah tahu apakah makna di sebalik perkataan 'kemanusiaan'. Ya, apalah maknanya kemanusiaan kepada seorang anak kecil. Dalam darjah tiga yang baru pandai mengeja dan menulis lewat zaman sekolah di sebuah perkampungan agak pedalaman, kemanusiaan bukanlah satu perkataan yang mampu difahami maksud dan firasatnya.

Bagaimanapun, saya mula belajar menggali dan mencari apa yang dinamakan kemanusiaan setelah diberitahu oleh seorang guru, lewat sebuah lagu.

Saya tidak tahu apa judulnya, tetapi yang saya tahu lagu itu bercerita tentang seorang kanak-kanak bernama Munir.

Munir kehilangan ayah bonda dan saudara ekoran perang dan keganasan. Bertahun dicengkam derita di khemah pelarian, Munir adalah mangsa peperangan yang berlaku di Shatila.

Di mana Shatila? Saya pun tidak tahu kerana ketika lagu itu tercipta dan menjadi popular, saya baru darjah tiga!

Tetapi populariti di sebalik suara syahdu dan lirik yang cukup menyentuh perasaan itu menjadikan saya menghafal lagu berkenaan dengan baik sekali apatah lagi ia sebuah lagu yang cukup popular pada tahun 1983.

Kemudian melalui lagu itulah saya belajar mencari makna 'kemanusiaan' yang lebih mendalam, seperti mana diberitahu oleh guru berkenaan.

Dan lelaki yang bertanggungjawab memperkenalkan erti kemanusiaan itu kepada saya ialah Zubir Ali bersama anggota kumpulan Harmoni, lewat lagu yang akhirnya saya tahu judulnya - Balada Seorang Gadis Kecil.

Bermula dari situ, saya menjadi antara jutaan peminat Zubir dan kemudian apabila usia semakin remaja, saya semakin 'jatuh cinta' dengan idealisme yang beliau curahkan dalam lagu-lagunya.


JENAZAH Zubir dibawa ke tanah perkuburan dengan iringan kesyahduan anak-anak dan isteri.



ALLAHYARHAM ZUBIR ALI


Bahawa lagu puisi yang menjadi tonggak perjuangan beliau untuk memaknakan rasa kemanusiaan dan kasih sayang, menjadikan Zubir satu dalam sejuta.

Sezaman dengan Kembara dan M. Nasir, Zubir Ali ialah pelopor lagu-lagu puisi yang cukup aktif. Toleransinya kepada dunia puisi sangat tinggi dan beliau merupakan antara pejuang terawal lagu puisi.

Malah lagu ciptaannya berjudul Penantian yang dicipta pada tahun 1980 dianggap sebagai lagu puisi pertama yang diluncurkan secara komersial di Malaysia.

Dilihat secara lapisan atas, Penantian seolah bercerita tentang alam percintaan antara dua jiwa, lelaki dan perempuan. Bagaimanapun, Penantian dalam lapisan makna penciptanya ialah sebuah lagu yang berkisah tentang ketuhanan, sementelah Zubir sendiri di kalangan rakan-rakan dikenali sebagai karyawan seni yang cukup warak dan alim orangnya.

Jika Indonesia berbangga dengan pejuang lagu puisi seperti Sam Bimbo, Iwan Fals, Ebiet G. Ade, Zubir menyahut cabaran industri seni tempatan dengan menjadikan puisi sebagai cabang perjuangan.

Meskipun tahu beliau tidak mungkin akan menjadi 'kaya-raya' dengan genre berkenaan, bermain dengan tema puisi sudah cukup menjadikan seorang Zubir sebagai jutawan seni.


ISTERI dan anak-anak reda dengan pemergian Zubir ke rahmatullah dan berharap agar Allahyarham bertemu damai di loh mahfuz.





Mindanya bercabang, kreativitinya bersilang dan hanya kepada dunia lagu-lagu puisi dia berdagang. Album pertama Harmoni terjual melebihi angka 50,000 unit dan ini diikuti dengan album kedua mereka.

Selain Penantian, Balada Gadis Kecil dan Doa, lagu-lagu lain yang pernah dirakamkan oleh Harmoni ialah Nyanyian Ombak, Harga Diri, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang dan Erti Pengorbanan.

Bagaimanapun sukses Harmoni dan lagu-lagu puisinya tidak panjang apabila ia berpisah pada tahun 1985. Dua anggotanya, Joei dan Ogy memilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Azie juga selesa bergerak sendirian, tinggal Zubir keseorangan meneruskan perjuangan. Harmoni tidak pernah berkubur dek kerana iktikad Zubir untuk mempertahankannya meskipun dia sendirian.

Kesuraman minat masyarakat terhadap lagu puisi bermula pertengahan tahun 1980-an ekoran populariti lagu-lagu rock dan balada juga tidak pernah menokhtahkan perjuangan Zubir. Lagu-lagu puisi kekal menjadi landasan perjuangannya sehingga ke hari ini.

Justeru apabila diberi tanggungjawab melaksanakan penganjuran Malam Puisi Utusan Demimu Palestin di Istana Budaya pada 23 Januari lalu, nama Zubir Ali adalah individu pertama yang muncul di benak fikir saya.

Secara tiba-tiba juga lagu Balada Seorang Gadis Kecil kembali menjengah ke minda dan saya kembali terkenang seorang Munir yang tidak berdosa yang pernah mewarnai zaman kecil bersama rakan-rakan lain.

Melaksanakan misi Kumpulan Utusan, Zubir bersama Trio Harmoni diberi penghormatan untuk tampil sebagai pembuka acara. Saya tahu, ketika itu kesihatan Zubir sudah terjejas dan dia tidak mampu lagi menyanyi sebaik ketika di zaman Penantian, 30 tahun lalu.

"Kalau suara saya tak macam dulu, jangan marah, saya cuba. Acara ini bukan soal agama dan bangsa semata-mata, kita kena sokong acara macam Utusan anjurkan ini," katanya kepada saya di lokasi acara.

Bagi Zubir, agama apapun, dalam dunia ini menentang keganasan sesama manusia dan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam.

"Dan saya sendiri memang sudah lama mengecam tindakan yang tiada perikemanusiaan ini dengan mencipta lagu yang berkaitan dengan rakyat Palestin," kata beliau lagi, cukup bersemangat memperkatakan tentang acara mulia itu.

Semangat juangnya yang kental membuatkan dia mampu menyampaikan dua lagu dengan cukup baik bersama Trio Harmoni yang baru dibentuk pada tahun 2007, Shafa' dan Joei.

Ini juga adalah antara persembahan besar Joei bersama Zubir setelah mereka kembali bergabung atas nama baru, Trio Harmoni.

Selain Balada Seorang Gadis Kecil, malam itu Zubir bersama Trio Harmoni menyampaikan lagu berjudul Tuan Presiden, sebuah lagu sindiran cukup 'pedas' terhadap presiden Amerika Syarikat yang seolah menjadikan isu perang dan keganasan sebagai satu perkara yang tidak perlu diberi perhatian.

Rupa-rupanya, Malam Puisi Demimu Palestin menjadi acara seni terakhir Zubir Ali. Kira-kira 43 hari selepas acara itu berlangsung, Zubir dipanggil pulang oleh penciptanya pada usia 59 tahun.

Lelaki sedikit gempal, berkaca mata dan bertahi lalat di pipi sebelah kiri itu meninggalkan alam pinjam-pinjaman ini sekitar pukul 10 pagi semalam.

Allahyarham meninggal dunia setelah genap seminggu menjalani pembedahan pintasan jantung buat kali kedua di Hospital Pakar Damansara.

Dua hari sebelum menjalani pembedahan, Allahyarham ada menghantar SMS kepada saya. "Salam, Along. Abang Zubir akan buat pembedahan jantung Jumaat ini. Doakan semuanya selamat."

SMS itu saya balas dengan ungkapan semangat: "Insya-Allah, semua kawan-kawan di Utusan mendoakan abang Zubir selamat dan akan kembali kuat."

Dua hari selepas pembedahan, saya cuba menghantar mesej untuk bertanyakan keadaan kesihatan beliau, bagaimanapun bukan Zubir yang membalasnya.

Kata-kata "Zubir Ali masih di ICU" ditaip oleh ahli keluarganya sebagai membalas mesej saya.

Ini menjadikan hasrat saya dan teman-teman untuk menziarah tidak kesampaian kerana beliau masih ditempatkan di unit rawatan kecemasan ketika itu.

Sehinggalah pagi semalam, saya mendapat SMS lagi dari alamat telefon genggam milik Zubir Ali. Sangka saya, Alhamdulillah, Zubir sudah sembuh dan sudah boleh menghantar SMS.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Rupa-rupanya mesej itu juga masih ditaip oleh orang lain yang menghantar khabar kepada saya "Encik Zubir Ali sudah meninggal."

Jenazah insan seni budiman yang kaya sopan santun, tertib dan agak pendiam ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Saya akui, saya bukan seorang sahabat yang terlalu rapat kerana kami hanya bersembang panjang dalam banyak majlis puisi yang sama, apabila diundang penganjur.

Tetapi jauh di sudut hati, saya merasakan kami adalah teman 'yang sangat rapat' walaupun hanya sesekali bersua. Tentunya perasaan yang sama dirasakan oleh sebahagian besar peminat beliau di luar sana yang sering larut dalam melodi Balada Gadis Kecil, Doa dan Penantian. Lagu-lagu berkenaan membuatkan kita berperasaan bahawa Zubir Ali sebagai 'milik' bersama.

Tuhan, berikanlah kesejahteraan kepada rohnya. Biarlah dia mencari damai yang paling abadi di sisi Tuhan Maha Esa. Al-Fatihah!

Marilah kita sedekahkan ayat-ayat suci untuk beliau, semasa hidup beliau telah mewarnai hidup kita dengan lagu-lagu puisi. Saya berada di sekolah menengah ketika itu dan remaja dengan lagu-lagu beliau...

3 comments:

Kakak said...

Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita pergi. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Anonymous said...

Salam kak,
lama tak menjengah laman ni. saya mula dengar harmoni masa awal 80an saya darjah satu.. dan seterusnya. Ya saya setuju dan suka cara Allahyarham maintain cara dia dalam menyampaikan lagu nya bersahaja.gaya dan penampilannya yg biasa..tak de la nak berambut panjang terkinja kinja konon naik sheikh nak sampaikan message pada pendengar.
80-90- dan sehingga ke akhir hayatnya.. dia tetap dia.... gracefully towards the end.
bila membaca blog yg beliau telah kembali kepadaNya, saya menyedekahkan Alfatihah. Sedih sayu rasanya. bila mendengar lagunya yg menginsafkan saya menitis airmata..dan sedekahkan fatihah..
TAKZIAH buat isteri dan anak anaknya..
Semoga rohnya tenang kembali kepadaNya.AlFatihah

akak apa kabar? sakit matanya dah hilang? saya harap semuanya kembali kepada keadaan yang baik dan sempurna..


wassalam

wan salmah said...

Kakak,
Semoga roh beliau dicucuri rahmat Illahi. Kita yang masih ada doa-doakan untuk yg pergi..

Anonymous,
memang sedih dengan pemergian beliau, baru sehari dua tu akak teringatkan beliau, rupa2 beliau dah nak pergi.
akak setuju dengan Anonymous (?) tentang gaya persembahan beliau.

tentang mata akak..hrmm, susah nak cakap. yang positif ialah rasa pening/stress kat mata makin ok. cuma silau masih tak hilang. sedang berubat, rasa macam semakin baik cuma nak baik terus tu tak tau bila dan bagaimana, masih berusaha.
terima kasih bertanya khabar. puan pula macamana, mak apa khabar?