Wednesday, March 11, 2009

Suntikan tambahan RM60 bilion

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan suntikan tambahan RM60 bilion menerusi satu lagi pakej untuk merangsang sektor penting dalam ekonomi negara bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Peruntukan itu dijangka dapat membantu negara menghadapi kesuraman ekonomi ekoran kegawatan global.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu di Dewan Rakyat semalam, iaitu yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej untuk tempoh dua tahun itu mengandungi empat teras.

Pertama, mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; kedua, meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas; ketiga, membantu sektor swasta menghadapi krisis; dan keempat, membina keupayaan masa depan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan terutama kepada mereka yang mudah terjejas.

"Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, maka pakej rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur,'' katanya.




Najib mengumumkan pakej itu, yang dianggap sebagai bajet mini, semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Pada 4 November lalu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion, yang menurut Najib, sejumlah RM6.5 bilion daripadanya telah diagihkan untuk pelaksanaan projek-projek.

Najib seterusnya mengakui Malaysia berhadapan dengan situasi ekonomi yang amat mencabar dalam senario ekonomi global yang begitu meruncing hingga mengakibatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berada dalam lingkungan negatif satu peratus hingga positif satu peratus bagi 2009.

Bagi menangani pengangguran, peruntukan pakej itu akan disalurkan ke arah menyediakan 163,000 peluang latihan dan pekerjaan, membiayai kos pengajian bagi program peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah serta memberi insentif potongan cukai kepada majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan.

Menurut Najib, kerajaan akan mengambil 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan, termasuk 13,000 jawatan pegawai kontrak.

Peluang pekerjaan lain ialah 4,000 tenaga kerja untuk skim perkhidmatan singkat, 1,000 siswazah sebagai guru kontrak, 800 pekerja kontrak bagi Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 1,000 pembantu kesihatan kontrak, 4,500 pegawai banci kontrak, serta 1,700 jururawat dan kakitangan sokongan hospital.

Tenaga kerja skim perkhidmatan singkat dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima gaji RM1,200 sebulan manakala guru kontrak siswazah dibayar gaji RM2,000 sebulan. - Bernama


Suntikan diberi memang bagus...Harap suntikan tak menitis kat mana-mana yang tak sepatutnyalah...yer...janganlah ada kes golongan daif yang bergelap rumah, yang tak ada benda nak di makan dibiarkan, budak-budak sekolah tercicir...

2 comments:

aNIe said...

Ntahlah...sekarang apa saja yang dibuat yang melibatkan wang kita mula terfikirkan sesuatu yang tak telus....kerana terlalu banyak perkara yang tak betul berlaku sekarang...

wan salmah said...

Mmglah kak.

kalu tengok kat sekolah pun dah nampak. lantai berlubang-lubang, mutu yang sangat rendah, tapi bila tang letak harga amboi..banyak bendalah yang boleh dipertikai.. silap mata di sana sini..