Monday, June 08, 2009

Keajaiban solar dan kincir angin

Pulau Perhentian di kalangan pelancong terkenal dengan keindahan dasar lautnya. Namun, di kalangan jurutera sistem janakuasa hibrid, di situlah letaknya stesen janakuasa hibrid pertama di Asia yang memastikan pulau itu beroperasi dengan sumber semula jadi.




JIKA sebelum ini keunikan kincir angin hanya dapat dilihat di Belanda atau negara Eropah, tetapi kini kita sudah boleh berbangga kerana sumber tenaga semula jadi tersebut sudah boleh dinikmati di salah sebuah pulau tercantik di Malaysia.

Lebih menarik tenaga itu turut disatukan dengan tenaga solar bagi menjana bekalan elektrik bagi kegunaan penduduk di Pulau Perhentian, Terengganu.

Tinggi setiap unit kincir angin tersebut yang terletak di Pulau Perhentian Kecil itu mencecah 30 meter. Stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada awalnya menggunakan penjana kuasa diesel beroperasi sejak tahun 2003.

Bagaimanapun bagi mengurangkan penggunaan tenaga daripada diesel, stesen sistem janakuasa hibrid dibina pada tahun 2007. Menariknya ia merupakan yang pertama seumpamanya di Asia.


DUA buah kincir angin menjana sehingga 200 kW tenaga manakala 100 kW lagi daripada 480 panel solar.


Menambah keunikannya, stesen hibrid itu dijana oleh tenaga semula jadi menerusi kincir angin dan solar.

Menurut Pengurus TNB Energy Services Sdn. Bhd., Mohd. Azhar Abdul Rahman, sistem janakuasa hibrid itu sebenarnya menggabungkan empat jenis tenaga iaitu solar, angin, diesel dan bateri.

Ia dibina menggunakan perbelanjaan hampir RM12.6 juta dengan pemilihan pulau itu dibuat atas beberapa faktor iaitu menerima jumlah tiupan angin yang kuat dan permintaan Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.

"Pembinaan stesen tenaga itu melalui dua fasa iaitu fasa pertama menyiapkan projek sistem solar dan diesel. Sebanyak 480 panel solar dibina untuk menyerap dan menjana kuasa ke stesen hibrid.

"Kemudian fasa kedua melibatkan pemasangan dua buah kincir angin berkuasa 100 kilowatt (kW) dan sistem bateri berpusat," katanya yang turut mengikuti lawatan media ke Pulau Perhentian baru-baru ini.

Apa yang pasti projek khas TNB itu membolehkan Pulau Perhentian beroperasi dengan tenaga semula jadi. Sistem penjanaan elektrik tersebut membolehkan secara keseluruhannya (bagi tiga sumber utama iaitu solar, angin dan diesel) stesen itu menjana sehingga 650 kW tenaga.

Menurut Jurutera TNB Energy Services Sdn. Bhd., Mohd Tamrin Tajudin, jika dalam keadaan baik tenaga solar boleh menjana sehingga 100 kW tenaga manakala dua kincir angin setiap satu mampu menjana kuasa 100 kW.


PENDUDUK Pulau Perhentian mendapat bekalan elektrik melalui tenaga angin, solar dan diesel.


Selain itu, dua buah generator diesel di stesen itu pula menghasilkan 200 kW dan 150 kW tenaga.

Dengan penggunaan tenaga penduduk Pulau Perhentian di antara 200 hingga 250 kW sehari, stesen janakuasa dengan sumber semula jadi itu sekali gus memberikan penjimatan diesel sehingga 40 peratus.

Menariknya, stesen janakuasa hibrid itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api yang semakin mahal, malah yang lebih penting mengurangkan pencemaran serta pemanasan global yang menjadi isu sejagat hari ini.

Lebih unik satu sistem pengstoran bateri yang turut menjadi salah satu jenis tenaga di stesen janakuasa hibrid itu boleh menyimpan tenaga sehingga 480 kWj.

Bateri berpusat boleh menampung bekalan elektrik sehingga empat hari jika ketiga-tiga sumber tenaga itu tiada.

Azhar menjelaskan bahawa sistem bateri berpusat yang dikawal oleh komputer boleh menyimpan tenaga yang dihasilkan oleh panel solar dan kincir angin.


SUMBER tenaga daripada kincir angin masih baru di negara ini walaupun telah lama digunakan di Barat.


Tujuannya adalah untuk digunakan pada waktu malam, ketika kekurangan cahaya matahari dan tiupan angin.

Melalui penggunaan tenaga matahari dan angin, penggunaan diesel yang sebelum ini digunakan untuk menggerakkan generator di Pulau Perhentian dapat dijimatkan.

Beliau menambah, projek tersebut sangat mesra alam kerana bekalan kuasa elektrik selama 24 jam menggunakan bahan api yang minimum dan mengurangkan masalah pencemaran pantai akibat tumpahan minyak.

Katanya, pembinaan sistem hibrid solar dan kincir angin untuk kegunaan domestik mampu memberi manfaat kepada lebih 1,600 penduduk kampung di Pulau Perhentian Kecil dan Besar.


KLINIK DESA ini beroperasi tanpa gangguan keputusan bekalan elektrik walaupun Pulau Perhentian menggunakan sumber tenaga semula jadi.


"Penggunaan tenaga hijau mengurangkan pencemaran alam dan ini secara tidak langsung dapat mengekalkan keindahan Pulau Perhentian agar terus terpelihara," katanya.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Mohd. Riduan Jamil memberitahu walaupun TNB menukar sistem bekalan tenaga kepada tenaga solar dan turbin angin, namun penduduk pulau itu tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah terputus bekalan elektrik.

"Kami berbangga kerana TNB memilih pulau ini dan setiap hari kami menjalani hidup seperti biasa tanpa sebarang masalah," katanya.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan selain Pulau Perhentian sistem hibrid juga sesuai dilaksanakan di Pulau Layang-Layang, Sabah kerana kawasan itu mempunyai tiupan angin mencukupi hampir sepanjang tahun.

"Untuk menggerakkan kincir angin, kelajuan angin minimum yang diperlukan adalah empat meter per saat dan maksimum pula 13 meter per saat.

"Jika angin terlalu kuat, kincir angin tidak dapat berfungsi," jelasnya lagi.

Solar di lima pulau

Setakat ini sistem solar yang bergantung kepada cahaya matahari turut digunakan di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Besar di Mersing, Johor.


KINCIR angin yang menjadi tarikan baru di Pulau Perhentian.


Di Kedah pula TNB memperkenalkan sumber tenaga semula jadi itu di Pulau Langkawi untuk untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan stesen di atas Gunung Machincang.

Lebih menggembirakan, keberkesanan dan kejayaan sistem yang dilaksanakan itu telah membuka ruang baru kepada TNB untuk memperluaskan penjanaan kuasa elektrik menerusi pembinaan dua lagi empangan hidro di Terengganu dan Pahang.

Dataran pantai yang luas di negara kita perlu dimanfaatkan sebagai lokasi penjanaan tenaga elektrik daripada sumber semula jadi angin.

Sumber tenaga angin digunakan bagi menggerakkan turbin yang disambung dengan generator sehingga boleh menghasilkan tenaga elektrik.

Cadangan pembinaan seterusnya termasuklah di kawasan Hulu Terengganu dan Ulu Jelai.




Pelaksanaan dua projek hidro baru itu dijangka disiapkan menjelang tahun 2015. Ia mampu menyediakan kapasiti gabungan tambahan 622 megawatt tenaga iaitu 372 megawatt dari Ulu Jelai, manakala 250 megawatt dari Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, Pengurus TNB Energy Services Sdn. Bhd., Mohd. Azhar Abdul Rahman berkata, bekalan tenaga dari solar dan kincir angin tidak dilakukan di kawasan bandar kerana sudah mempunyai sumber kuasa daripada talian grid TNB.

2 comments:

Ummuafiq Hashim said...

teringin nak pergi pulau perhentian.suami kata cantik.. tapi takut naik bot!

wan salmah said...

pergilah, memang cantik, kakwan dah pergi dulu masa sekolah lagi tp masih ingat, rumah di atas air, ikan2, batu karang.
nak pergi lagi insya Allah. naik bot mula2 je takut, lepas tu ok la