Monday, August 21, 2006

IPD perlu ketatkan risiko pelaburan

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mencadangkan supaya institusi pengurusan dana (IPD) memperkenalkan produk yang sesuai dengan matlamat simpanan hari tua pencarum.

Pengerusi Lembaga KWSP, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, produk diperkenalkan itu juga mestilah tidak terdedah kepada risiko yang terlalu tinggi.

‘‘IPD perlu memperketatkan proses, prosedur dan pengurusan risiko pelaburan.

‘‘Ejen IPD pula perlu mempromosikan produk sesuai dengan profil risiko ahli dan menerangkan dengan jelas risiko ditanggung ahli serta mengurangkan kos pengurusan pelaburan dalam IPD,’’ katanya.

Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Persekutuan Pengurus-Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) dalam satu mesyuarat hari ini.

‘‘KWSP juga telah memanggil kesemua 42 institusi IPD terlibat untuk menekankan perlunya institusi itu mengambil berat tentang pelaburan ahli dalam unit amanah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berhubung laporan Mingguan Malaysia bahawa kira-kira RM600 juta wang milik pencarum KWSP yang dilaburkan ke dalam unit amanah mengalami kerugian.

Menurut laporan itu yang memetik sumber kesatuan sekerja, kerugian tersebut membabitkan kira-kira 80 peratus pencarum yang membuat pelaburan.

Menurut Abdul Halim, mesyuarat membabitkan FMUTM itu bertujuan memantau prestasi IPD dan menyarankan penambahbaikan dalam pengurusan pelaburan ahli.

‘‘KWSP ingin menjelaskan bahawa ia memandang serius tentang isu kerugian ditanggung oleh ahli yang melabur dalam saham amanah,’’ katanya.

“Sehubungan itu, KWSP sedang mengkaji prestasi pelaburan ahli dalam IPD secara menyeluruh,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengeluaran caruman untuk melabur dalam unit amanah diperkenalkan pada tahun 1996 atas desakan segolongan ahli berikutan keadaan pasaran saham memberansangkan pada ketika itu.

Bagaimanapun kata beliau, memandangkan pelaburan itu mempunyai risiko lebih tinggi daripada pelaburan KWSP, ahli hanya layak mengeluarkan 20 peratus simpanan yang melebihi RM50,000 dalam akaun satu (1).

‘‘Sungguhpun ahli yang layak diberi pilihan mengeluarkan sebahagian simpanan mereka untuk dilaburkan dalam unit amanah, ahli-ahli juga dinasihatkan bahawa simpanan di KWSP dijamin kerajaan dengan dividen 2.5 peratus setahun berbanding simpanan di unit amanah yang tidak dijamin kerajaan,’’ kata beliau.

Apalah hendak jadi ni? Pencarum KWSP sudahlah kesukaran mendapatkan wang mereka (hanya untuk tujuan-tujuan tertentu), mengharapkan wang tersebutlah digunakan apabila tua nanti. Ingat sikit ke wang KWSP yang dicarum/labur setiap bulan. Kalau RM50 saja, kali dengan 12, kali dengan 10 tahun bekerja, berapa jumlah encik, cuba hitung. Itu kalau seorang, baru RM50, kalau RM100, RM200 dan seterusnya... Kesihan betul melihat nasib mereka, melabur pun rugi pula, ingat sedikit ke RM600 juta tu. Mana bijak pandai kita. Hairan bagaimana boleh biarkan perkara ini berlaku. Letih betul mendengar bab-bab ni, skandal itu skandal ini. Apabila dah meletup kes ini, eh kaya pula rakyat Malaysia (merujuk skandal BMF dll). Harap kes KWSP ini tidak berkait dengan apa-apa skandal (jadi, apa?)

Saya ni mengajarkan subjek Ekonomi untuk SPM di sekolah. Saya jelaskan kepada pelajar saya, saham amanah ialah saham yang paling selamat, dan diuruskan oleh para profesional. Hah, sekarang apa yang selamat, apa yang profesional?

IPD pun kenalah bertanggungjawab, bukan setakat mengaut komisen sahaja. Anda bukan tiada pengalaman dalam pelaburan yang menguntungkan, atau faham iklim ekonomi Malaysia/dunia?

Zaman orang dok mengeluh harga barang-barang naik, belanja hidup makin mahal, duit yang dilabur rugi pula? Saya setakat ni selamatlah sebab saya sudah masuk skim pencen, melabur di tempat lain pun tidak banyak. Simpan di tempat "selamat" (moga selamatlah). Hidup saya ni pun nak belajar qanaahlah,ada, makan, tidak ada, dok diam-diam kat rumah. Tetapi suami saya termasuklah dalam geng yang melabur tu. Hai anak berderet, semua sedang belajar...Ya Tuhan, lindungilah kami daripada musibah dan tambahlah rezeki kami)

No comments: