Tuesday, August 08, 2006

Resah 2

Bukan setakat bulan-bulan terakhir ini bahkan sudah memakan dekad-dekad ini, masalah gejala sosial dalam kalangan Melayu-Islam, khususnya remaja menjadi-jadi. Belek sahaja surat khabar, majalah, media elektronik, kejadian maksiat, jenayah di mana-mana - bunuh - rogol - dadah.. rasa-rasa ingin sahaja saya menyedut kembali anak-anak saya ke dalam perut agar tidak dilahirkan, berada di dalam perut saya sahaja atau berada di alam lain yang selamat...

Hati terguris melihat gadis muda dianiaya sebegitu rupa. Jangan selidik apa salah mereka atau keluarga mereka, kita manusia bukan itu layanannya. Jika dihukum bunuhpun penjenayah tersebut, saya yakin, ibu bapa mangsa masih tidak dapat memaafkan kesalahan mereka.

Itu kes yang malang tidak berbau, lebih dahsyat lagi kes malang yang dicari. Sedihnya mereka tidak mengatakannya malang tapi,lebih kepada desakan hidup. Maksiat dibuat tanpa mengira status. Bertaubatlah jika sudah terbuat, jangan diulangi lagi. Kepada anak-anak gadis, hindarkan diri kamu daripada kemaksiatan. Carilah bantuan, mesti ada yang sudi menolong. Jangan biarkan diri dibelenggu sengsara, dunia mahupun akhirat. Jagalah maruah diri. Rasulullah saw berpesan yang bermaksud, jika kamu tidak malu, buatlah apa sahaja. Kalau baginda tidak mengaku kita umat baginda, ke mana lagi kita hendak mengadu?

Kepada para pemuda, jangan kata kamu boleh terlepas atas apa-apa yang telah kamu lakukan, kerana sukar untuk mengemukakan bukti dan hujah. Jangan kamu berasa bebas melakukan apa sahaja. Setiap apa yang berlaku pasti meninggalkan bekas. Kamu selamat sekejap daripada manusia. tapi, adakah hati kamu akan berasa aman? Dan , di akhirat nanti, dosa yang diselindung selama ini akan terbongkar..alangkah ngerinya...


Ingatlah anak-anak bangsaku, jika tidak merasa takut pada azab Allah nanti, ambillah sepuntung kayu, nyalakan api, cucuklah ke badan, bertahanlah 2, 3, minit. Kalau sanggup, buatlah apa yang kamu suka. Siksa dunia tersangat kecil dibandingkan siksaan di akhirat, yang berterusan dan tidak terhingga. Kita tidak dapat berpatah balik untuk bertaubat. Jadi, ayuh, marilah kita muhasabah diri. Jangan risau, Allah akan menerima taubat yang ikhlas. Allah sangat menyayangi hamba-hamba-Nya yang patuh akan perintah-Nya. Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang akan memberi kebahagiaan dan kesenangan hidup, di dunia mahupun di akhirat kepada umat-Nya yang taat dan patuh.

Marilah kita berusaha menjadi insan yang diredhai Allah. Susah di dunia hanya sementara, kebahagiaan abadi di akhirat itulah matlamat. Wallu A'lam

No comments: