Tabahkah hati ini?
Hari ini masuk hari ke-3 ujian (terakhir), saya kena kelas ganti lagi untuk tingkatan 4. Masya Allah, rasa serba salah betul saya dibuatnya. Jika mulut ini tidak sabar, sudah tentu meluncur kata-kata yang sungguh tidak sopan didengar. Cikgu-cikgu di sini sudah mangli dan terpaksa menggunakan laras kata-kata yang sesuai dengan kelakuan pelajar. Kata-kata manis bagai tidak laku di sini. Saya beristighfar berkali-kali takut terlepas cakap yang buruk-buruk.
"Dulu saya simpan dalam hati, tidak marah-marah mereka, tapi hati saya geram dan sakit" kata seorang cikgu.
"Pernah kata 'bodoh' dekat diorang?"
"Terpaksa, semua perkataan keluar, cakap lembut tak faham"
Memang, cara saya mengajar di Pedas tidak boleh digunakan di sini. Di Pedas, bukan nak riak, saya enjoy di sana, dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Pelajar di sana boleh buat geng, dan saya tidak membezakan mereka jika pun mereka bersalah dari segi undang-undang. (minta maaf ya cikgu disiplin) Di dalam kelas saya hanya guru. Secara perlahan saya boleh nasihatkan mereka. Tetapi di sini...
Hrm nampaknya saya masih terkenang-kenang perkara yang telah lepas. Itulah masalahnya saya. Tapi... saya rindu dengan semua kenangan itu...huhu.. Dengan pengalaman mengajar yang agak banyak, saya sungguh seronok dengan kerjaya saya, tidak merasa tertekan walaupun kerja banyak. Adus, bagaimana saya bisa lupakan kesemuanya dan menerima seadanya apa yang ada di sini jika keadaan antaranya bagai langit dengan bumi?
Memang sebelum ini saya membulatkan hati untuk menerima perubahan ini, tapi, adakah saya perlu sesuaikan diri saya dengan pelajar di sini, terpaksa menggunakan kata-kata keras bagai cikgu-cikgu lain? Ada guru yang ke kelas membawa rotan, dah terpaksa kerana budaya lepak berleluasa. Fly tu budaya lumrah. Saya tidak bermaksud menceritakan yang tidak baik, tetapi, itulah gambaran remaja Malaysia di sekolah biasa. Ada cikgu yang baru bertukar dari sekolah berasrama menangis apabila ditugaskan ke sini.
"Keturunan akak tiada yang darah tinggi, tapi akak telah menghidapnya" terang seorang cikgu.
"Di sini cikgu-cikgu muda pun dah kena penyakit"
Oh cabaran! Keturunan saya pun tiada yang berdarah tinggi, lemah jantung dsb. Mana lebih penting, bersikap sopan tapi pelajar naik tocang demi menjaga kesihatan atau mulut dan tangan sentiasa "berapi" untuk mengawal keadaan yang begitu menduga.
Sehari dua ini saya ingin mencari pendekatan yang sesuai dengan saya. Tadi pengetua mencadangkan agar kelas kerohanian yang dibuat setiap pagi Jumaat dipertingkat. Dekati pelajar bermasalah, kenali hati budi mereka. Cuma bagilah yang hero-hero tu kepada cikgu-cikgu yang 'banyak ilmu'. Saya belajar pelan-pelan...
Sebelum ke Tanah Suci, saya berdoa agar Allah menganugerahkan ilmu kepada saya. Memang sepanjang saya di sana saya berjumpa/ alami pelbagai perkara yang menjadi buah pemikiran. Sekembalinya saya ke sini, saya ditukarkan ke sekolah baru. Kawan-kawan guru memberi semangat dengan mengatakan, mungkin ini semua ada hikmahnya. Belajar perkara baru dalam kerjaya. Betul, saya tidak nafikan cuma perubahan ini agak drastik kepada saya. Mungkin ujian kepada saya yang dari kecil belajar dari sekolah Melayu hingga tingkatan 6, sekolah agama pula, kurang pergaulan dengan masyarakat luar. Di UM pula, saya tidak bebas bergaul, hanya setakat rakan sekuliah dan sekolej, itu pun saya ni berat mulut. Ha kan, Allah nak memberi saya ilmu baru, bagaimana hendak mengawal anak bangsa pelbagai bangsa, pelbagai latar masyarakat dan masalah yang selama ini hanya saya baca melalui majalah atau buku.
Ya Tuhan, jadikan lah aku tabah dalam menjalani semua cabaran ini. Aku hanya ingin menjadi manusia yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dalam kehidupanku ini. Rusa mati meninggalkan tanduk, bagi guru, hanya ilmulah yang boleh dicurahkan demi kelangsungan anak bangsa tercinta...(Doakan daku dalam doa kalian..)
1 comment:
testing je
Post a Comment