Saturday, November 11, 2006

6 jalani ujian DNA -- Termasuk bapa mangsa bagi bantu siasatan kes bunuh Altantuya
Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR dan SOPI SAMAILE

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Sampel darah daripada enam orang diambil hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan kejam Altantuya @ Aminah Abdullah, 28, model Mongolia yang dipercayai mati ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor lebih dua minggu lalu.

Antara mereka yang menjalani ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA) itu ialah bapa mangsa, Shaariibuu Mash-Muj, 50-an, ibunya, Altantsetseg, 50-an, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, seorang anggota polis berpangkat cif inspektor, seorang lans koperal wanita dan seorang konstabel lelaki.

Sumber polis memberitahu Utusan Malaysia, sampel darah keluarga mangsa itu diambil untuk mengesahkan kesahihan identiti cebisan mayat yang dikutip oleh unit forensik di Empangan Tasik Subang beberapa hari lalu.

Polis mahu memastikan cebisan mayat itu benar-benar adalah Altantuya.

“Siasatan kes pada waktu ini menjurus kepada kehilangan Altantuya dan tertumpu kepada cebisan daging, rambut dan tulang-tulang yang dikutip di Empangan Tasik Subang.

“Pada peringkat ini, polis mahu memastikan sama ada cebisan daging, rambut dan tulang-tulang itu adalah milik Altantuya. Sebab itu polis minta bapa mangsa datang dari Mongolia,” kata sumber itu ketika dihubungi sini hari ini.

Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan melakukan ujian DNA untuk menentukan siapa bapa kepada anak mangsa.

“Unit forensik cuba memadankan sampel DNA untuk mengetahui identiti mangsa dan bukan menentukan siapa bapa kepada anak mangsa,” katanya sambil menambah bahawa anak mangsa, Altanshagai, yang berusia 16 bulan tidak dibawa ke negara ini.

Ditanya mengapa sampel darah orang selain keluarga mangsa turut diambil, sumber itu memberitahu, selain DNA mangsa, unit forensik turut menemui beberapa profil DNA berlainan di tempat kejadian.

“Ada kebarangkalian beberapa profil DNA yang ditemui di tempat kejadian itu sama dengan profil sampel darah mereka yang ditahan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, polis menemui mayat yang dipercayai seorang model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dalam keadaan berkecai di tepi Empangan Tasik Subang.

Cebisan tulang dan daging mangsa yang dipercayai dibunuh dua minggu lalu dikatakan berselerak di tepi empangan itu akibat diletupkan dengan bahan peledak.

Mangsa yang tiba di negara ini pada 8 Oktober lalu dilaporkan hilang oleh rakan karibnya, Namiraa Gerelmaa, 22, di Balai Polis Jalan Travers pada 20 Oktober lalu.

Bapa Altantuya, Shaariibuu MashMuj, tiba di ibu negara bersama bapa saudara mangsa malam tadi. Pada pukul 8 pagi ini mereka dibawa menjalani ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur.

Bapa mangsa turut membawa sampel darah ibu mangsa, Altantsetseg yang diambil oleh pihak berkuasa kesihatan Mongolia.

Perkara itu disahkan oleh Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi kepada Utusan Malaysia.

Selepas beberapa jam menjalani ujian DNA di HKL, Shaariibuu yang ditemani Syed Abdul Rahman berhasrat untuk melihat cebisan mayat anaknya yang berada di bilik mayat HKL.

Dia yang menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran satu digit dilihat berada di tempat duduk belakang kereta itu bersama Syed Abdul Rahman.

Mereka tiba di hadapan bilik mayat hospital berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari.

Bagaimanapun, hasrat Shaariibuu untuk melihat sendiri cebisan rambut, daging dan tulang anaknya tidak kesampaian apabila beliau menukar fikiran selepas melihat terlalu ramai wartawan dan jurugambar berkerumun di depan bilik mayat HKL.

Kereta itu diserbu oleh jurugambar yang ingin merakamkan gambar ayah Altantuya, tetapi pemandunya berpatah balik lalu keluar dari pekarangan bilik mayat.

Sementara itu, Abdul Razak tiba di wad kecemasan HKL pada pukul 11.55 pagi ini bersama tiga tahanan reman lain menggunakan dua buah kenderaan yang diiringi sebuah kereta peronda.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) itu memakai kemeja lengan panjang warna merah jambu dan berseluar hitam sama seperti yang dipakainya semalam.

Beliau yang bergari kelihatan tidak terurus, tidak bermaya dan dikawal rapi oleh beberapa anggota polis yang bersenjata.

Selepas dua jam menjalani ujian DNA, kesemua mereka dibawa keluar oleh polis melalui pintu belakang unit trauma hospital itu pada pukul 1.45 petang bagi mengelak dikesan wartawan dan jurugambar yang menunggu sejak awal pagi.

Huh, masa cinta engkaulah bulan engkaulah bintang. Masa tak nak, main letup-letup macam anak ayam. Yang herannya ramai pulak yang sanggup nak tolong..ni mesti kes jarang tengok CSI. Ada satu prinsip mengatakan 'sesuatu yang berlaku pasti akan meninggalkan kesan'

No comments: