Gamitan Tanah Suci..
Hati saya bukan setakat digamit-gamit untuk mengunjungi Baitul Atiq, bahkan bagai dicuit-cuit untuk ke sana. Dan sejak awal tahun lagi ketika saya ke Tabung Haji cawangan Rembau, saya merayu pegawai bertugas, 'naikkan' nama saya bagi musim haji tahun ini. "Saya hendak ke sana tahun ini walau apa carapun..."tegas saya.
Suatu hari (kira-kira bulan 3), saya terbaca satu kisah tentang catatan seorang jemaah haji Malaysia yang telah ke sana. Jemaah lelaki tadi berumur awal 50an, pergi bersendirian tanpa ditemani anak isteri atau saudara mara yang lain. Dijadikan cerita, si fulan telah diserang demam yang agak teruk dan merasa agak kepayahan untuk beberapa ketika. Masa itulah beliau begitu berharap agar keluarganya ada bersama-samanya. Sambil menangis beliau berpesan, kalau ke Mekah, pergilah bersama-sama keluarga, sementelah kita berada jauh dari tanah air. Beliau masih bernasib baik kerana dalam kumpulannya ada sebuah keluarga yang mengambil berat tentang kesihatannya.
Saya tidak dapat menahan rasa sebak hingga berjujuhan titis-titis jernih daripada tubir mata..kerana, saya akan bersendirian ke sana nanti..kalau dia lelakipun boleh kepayahan, dan menangis begitu, mengapa tidak saya. Apa kuatnya saya..
"Ya Allah. Terimalah aku sebagai tamu-Mu musim ini walau apapun terjadi..." itulah secebis doa saya ke hadrat Illahi penuh luhur. Ada banyak kisah yang akan saya kongsikan dengan-Nya nanti di sana..(walaupun Dia sentiasa mengetahui).
Alhamdulillah petugas Tabung Haji agak sporting. Katanya, nanti semasa berkursus, saya carilah seseorang yang boleh dijadikan muhrim atau teman. Dan, semasa berkursus, saya berjumpa 2 rakan yang masih solo. Syukur. Kami telah berpakat beberapa perkara semasa di sana nanti. Sahabat saya itu siap membuat grup dan memasukkan nama saya ke dalam grupnya.
Hendak dijadikan cerita lagi, nama saya terpilih untuk ke Tanah Suci manakala nama kedua-dua sahabat saya masih dalam senarai menunggu. Ya Tuhan, saya tidak berputus asa. Saya hendak juga menjejakkan kaki saya ke sana tahun ini...
Cuti sekolah akhir tahun. Rabu. Kami sekeluarga kecuali anak pertama dan kedua (sedang exam semester dan SPM ) pulang ke Kota Bharu. Saya ingin mendapatkan restu daripada bonda saya. Kakak sulung saya bertanya, bila tarikh saya berlepas. Saya beritahu 14 Disember. Katanya emak saudara saya pun akan ke sana pada tarikh yang sama. Saya pun menelefon emak saudara saya, subhanallah, kami ditempatkan di KT yang sama - KT 64! Emak saudara saya juga bersendirian dan anak perempuannya akan menjadi pengiring (ustazah). Tambah memudahkan urusan, Maksu Jah telah mengambil perkhidmatan seorang jurupandu. Beliau akan membawa kami ke tempat-tempat yang perlu kami pergi, termasuklah program ziarah dan membayarkan dam untuk kami (saya minta dimasukkan nama saya juga). Maha Suci Allah, betapa murahnya Rahmat-Mu ka atas hamba-Mu yang banyak berdosa ini..
Semasa di sekolah, saya ada meminta pelajar sekolah kami membuat sedikit tahlil mendoakan keselamatan saya pergi dan balik, dapat menunaikan ibadah haji sesempurna mungkin. Terima kasih kepada Amirul Aiman dan semua yang telah berdoa untuk saya, jazakumullu khairan kathira!
Semasa kami pulang ke kampung pun abang ipar ada meminta jemaah masjid Pasir Pekan membuat tahlil untuk saya. Sebenarnya tahlil tahlil ni sudah lama tidak diadakan di masjid tersebut. Cuma, setelah tampuk imam bertukar ganti barulah tahlil dll acara keagamaan berjalan semula. Bidaah kata diorang. Memanglah Rasulullah tidak buat pada zamannya. Tetapi tidak bolehkah kita umat Islam berdoa untuk kesejahteraan sesama umat Islam? Buat beramai-ramai dalam suasana yang aman (kami tidak menjerit-jeritpun dalam tahlil kami).
Nampaknya isu 'Wahabi vs Sunni' masih belum selesai di kampung saya. Pada hari raya keempat dahulu, keluarga kami ada membuat kenduri aqiqah dan tumbang seekor lembu (saiz XXL). Jemaah 'Wahabi' pun kami undang sama. Sampai hati mereka tidak datang ke majlis kami kerana kata mereka kami mengamalkan bidaah. Masya Allah. Nak berkelahipun tak baik tolak rezeki. Kami teringatkan pelajar pondok itu yang datang dari jauh, nak belajar. Apa salahnya kami menjamu mereka. Dahulu pun, semasa kakak saya naik rumah baru, kakak saya menjemput semua pelajar pondok, namun, mereka tidak datang..jenuhlah tuan rumah membungkus lauk pauk untuk dibahagi-bahagikan kerana banyak tidak habis.
Nampaknya mereka begitu marah kepada keluarga kami, sehingga ada yang berkata (sungguh ke bergurau ke), "darah abang ipar saya tu halal kerana membawa bidaah!" Astaghfirullah.. Tidak takutkah bencana yang terjadi di Selatan Thailand dan Iraq akan datang ke negara kita sama? Di sana puak Islam telah berpecah-pecah seperti di kampung sayalah (walaupun dalam degree yang berbeza).
Kekalutan itu telah membawa saya ke kedai buku dan berusaha mencari uraian kepada kekusutan ini. Saya telah membeli beberapa buah buku, salah satunya ialah Hadis 40 menjelang akhir zaman dan sebuah lagi "Fiqh Ikhtilaf- perbezaan pendapat Gerakan Islam Yang dibenarkan dan dilarang" oleh Dr. Yusuf Qardhawi.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Al Hakim;
"Orang-orang Yahudi berpecah belah menjadi 71 atau 72 golongan, orang-orang Nasrani berpecah belah menjadi 71 atau 72 golongan, sedangkan orang Islam berpecah belah menjadi 73 golongan" bahkan ada perawi yang menyambung hadis di atas (dalam buku 40 hadis akhir zaman) hanya satu saja yang masuk syurga iaitu ahli sunnah wal jamaah, lain-lain masuk ke neraka.
Saya ringkaskan berdasarkan buku Fiqh Ikhtilaf tadi, pendapat Al-Allamah Ibn Wazir menganggap hadis ini lemah, boleh membawa pertelingkahan dan saling menkafirkan antara umat Islam. Hadis ini juga membawa banyak kemusykilan, iaitu orang Islam lebih banyak berpecah berbanding orang Yahudi dan Nasrani. Ibn Wazir berkata dari Ibn Hazm: "Ini adalah hadis palsu"
Hadis di atas tidak terdapat dalam kitab As-Sahihain, sedangkan masalahnya sangat penting, jadi hadis tersebut tidak termasuk hadis sahih (Bukhari dan Muslim)
Kenyataan di atas hanya ringkasan. Untuk menulisnya di sini terlalu banyak, rujuk buku tersebut hal. 41.
Bukankah umat Islam semua bersaudara. Mana boleh kita merasakan diri kita lebih mulia berbanding orang lain, apa tah lagi merasakan kita saja yang betul dan layak masuk syurga dan orang lain salah dan masuk neraka (astaghfirullah), dan orang lain pun akan berkata begitu kepada kita pula. (Last2 semua kapir la; nauzubillah). Kalau kita sayang sesama umat Islam sepatutnya kita saling menasihati dan merendah hati.
Sedangkan Rasulullah saw menghormati orang Yahudi yang buta, yang tua, yang sentiasa mencaci baginda. Kita ini hanya kerana perkara furu' pun sudah berkelahi dan berpecah belah. Berkelahi sesama Islam, musuh Islam ketawa terbahak-bahak melihat kebodohan kita..
Saya sangat mengharap agar pemergian saya ke Tanah Suci dapat mendapat hidayah Allah, ditunjukkan jalan yang benar dan lurus. Ditambah ilmu akhirat dan ilmu dunia.
Saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan pemergian saya. Juga doakan saya sihat kerana saya tidak mengambil dua suntikan tambahan kerana tidak mahu mengambil risiko alahan vaksin (atas nasihat doktor juga). Jadi saya dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan daripada diserang selsema yang teruk. Memang agak sukar kerana suasana di sana berdebu, malam yang sejuk melampau dll yang pada normalnya 'tidak sesuai dengan saya'. Dengan pertolongan Allah saya harap saya dapat menjalankah segala tuntutan dengan sempurna. Doakan
saya dapat serahkan jiwa dan raga saya sepenuhnya kepada Sang Pencipta dan bertawakkal sepenuhnya kepada-Nya.
Juga terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi panduan, nasihat yang sangat berguna kepada saya. Semasa saya pulang ke kampung dua hari lepas, banyak jugalah saudara mara yang datang menziarah.
Hingga ketemu lagi, alhamdulillah.
pertelingkahan antara umat Islam
"Ya Tuhan, jika apa yang kami lakukan ini tidak benar di sisi-Mu, maka tunjukkanlah kami jalan yang benar. Tidak ada jalan yang benar lurus kecuali jalan yang Engkau tunjuki. Tunjukkanlah Kami jalan yang benar, sebagaimana jalan yang Engkau unjurkan kepada Rasul-rasul-Mu, Anbiya, syuhada'. Amin.."
(Ya Allah, lebih baik aku menjadi sehelai rumput yang hina dipijak-pijak daripada menjadi manusia yang mengikut jalan yang salah..)
No comments:
Post a Comment