Mahkamah Tinggi: ‘Dia mati baru senang hidup aku’
Oleh Meor Riduwan Ahmad
SHAH ALAM: “Ketika tidur di lokap, arwah emak saya (Rohayu Wan Chik), datang dalam mimpi. Saya tidak ingat bila, tapi dalam masa dua tiga hari ditahan di lokap itu. Dalam mimpi, mak (suruh) cakap cerita perkara betul kalau sayangkan emak dengan abah. Selepas itu saya tersedar,” kata saksi pendakwaan keempat (SP4) yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
“Apabila tersedar saya menangis dan kemudian sambung tidur semula. Esok paginya, saya jumpa ASP (Asisten Superintendan) Omar Hasan dan ceritakan semua perkara sebenar (iaitu) adik Syakir dipukul dan ditendang emak (Salina) saya,” katanya.
Menurut SP4, Omar yang juga pegawai penyiasat kes itu terkejut dan berkata kes itu sudah berlaku lama, mengapa dia baru menceritakannya.
“Saya jawab saya takut kepada emak (Salina) saya. Selepas itu saya dimasukkan semula ke lokap sebelum dihantar ke Pusat Perkembangan Kemahiran, Serendah oleh ASP Omar, beberapa hari kemudian.
“Dia (Omar) cakap rumah saya sudah roboh dan tiada tempat duduk lain, sebab itu dia hantar saya ke pusat itu selama dua bulan. Di situ saya belajar kemahiran kimpalan,” kata SP4.
SP4 berkata, dia tidak dipengaruhi sesiapa untuk menceritakan kepada Omar perkara sebenar iaitu ibunya yang membunuh adik tirinya, Syakir dengan memukul dan menendang mangsa di perut.
Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap suri rumah, Salina Abdul Shukor, 27, yang juga ibu tirinya, yang didakwa membunuh anak kandungnya, Syakir Abd Aziz, 3, di rumah mereka di Kampung Pinggir, Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya, antara jam 5.30 petang 4 April 2004 hingga 5 petang 7 April 2004.
Salina diwakili peguam Hazlan Abd Hamid dan Iszam Kamal Ismail dalam perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim.
SALIM: Kamu kata nampak adik Syakir sedang nazak ketika masuk ke rumah pada 7 April 2004. Boleh jelaskan bagaimana keadaannya? Adik Syakir boleh berjalan?
SP4: Boleh jalan sikit-sikit tapi kakinya patah tiga atau empat kali. Sebelum 4 April 2004, dia boleh jalan seperti biasa. Kakinya patah kerana emak pukul. Saya tahu kerana emak pukul depan mata saya. Saya tahu kaki Syakir patah kerana bila berdiri dia ‘gantung’ sebelah kakinya dan bila saya pegang dia menangis.
Sementara itu, ketika disoal balas Hazlan, SP4 menafikan dia melarikan diri ke rumah abang angkatnya (Abang Talib) kerana marahkan ibu tirinya.
Sebaliknya, menurut saksi dia gembira apabila bapanya berkahwin dengan ibu tirinya itu, memandangkan ketika itu dia baru berusia 10 tahun.
Selain SP4, seorang pekerja restoran, Nor Afifah Bahran, 20, memberitahu mahkamah dia menemani rakannya, Nor Azliza Abu Hassan, 20, yang juga kakak angkat Syakir ke rumah mangsa pada hari kejadian kerana wanita itu mahu membawa adik angkatnya yang sakit ke klinik.
Bagaimanapun, katanya, ketika tiba di rumah mangsa, ibunya (tertuduh) yang dikenali sebagai ‘Ina’ menghalang mereka masuk ke rumah dan membawa mangsa ke klinik.
“Ketika itu Ina berdiri depan depan pintu rumah dan kedua-dua tangannya menghalang pintu. Azliza cakap pada Ina dia hendak bawa Syakir ke klinik. Kemudian Ina dengan kasar kata `biarlah dia (Syakir) mati, baru senang hidup aku’,” katanya yang turut memberitahu mahkamah dia dapat melihat Syakir yang memakai baju putih dan seluar merah terbaring dalam rumah ketika itu.
Selamat tinggal Syakir, tamatlah sudah penderitaanmu. Hidupmu di dunia yang fana ini hanya untuk menanggung derita. Tapi Allah Maha Pengasih. Semoga berbahagia di alam sana.
Kepada SP4 (abang Syakir), semoga kamu tabah menempuh kehidupan yang begitu mencabar. Membaca kisah kamu dan Syakir membuatkan saya begitu hiba. Semoga ada sesiapa yang dapat membantu kehidupan mereka sekeluarga, membantu SP4 hingga tamat belajar dan menjadi insan cemerlang. Kepada keluarga angkat yang telah membantu SP4 selama ini, hanya Allah jugalah dapat membalas budi baik kalian, begitu besarnya kebajikan yang telah kalian lakukan. Teruskan usaha membantu anak yatim ini.)
Sebaik-baiknya adik beradik mangsa (juga kes-kes yang seumpama ini) diberi sesi fisioterapi supaya mereka dapat melupakan trauma dalam hidup mereka. Melihat ibu memukul, menendang adik, atau diri sendiri kena pukul sampai patah-patah, itu sudah perkara luar biasa yang tidak sepatutnya dialami pada usia yang sebegitu muda.
Kepada ibu bapa, seteruk manapun kita bekerja mencari rezeki, anak adalah tanggungjawab utama kita. Cukupkan keperluan rumah tangga sebelum mendirikan masjid (sebaik2nya) supaya rumah tangga yang dibina aman damai, bahagia berkekalan, anak isteri tidak menjadi mangsa.
Juga kepada anak-anak gadis, beringatlah, perkahwinan adalah suatu perjudian, sama ada anda menang atau anda akan tewas tanpa anda duga. Jangan ingat perkahwinan itu pasti menyelesaikan segala masalah, bahkan mungkin memcatat satu bab duka yang baru pula...
ps; saya rasa si Salina ni kena meroyan, suami asyik tidak ada di rumah (cari rezeki), bela anak2 tiri, tidak ada pendapatan tetap, dan melahirkan anak kecil. Mana ada ibu yang sanggup berbuat kekasaran sebegitu sehingga menyebabkan kematian si kecil yang tidak tahu apa-apa itu.
No comments:
Post a Comment