Saya tetap Islam: Azhar Mansor
KUALA LUMPUR: Pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor (gambar), semalam melenyapkan spekulasi kononnya beliau murtad, apabila menegaskan dirinya masih seorang Melayu yang beragama Islam.
Azhar, 48, yang berjaya mengelilingi dunia secara solo pada 1999, mengisytiharkan demikian pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat di mana Perhimpunan Agung Umno berlangsung.
Sehubungan itu, beliau yang dikaitkan dengan dakwaan upacara pembaptisan orang Islam di sebuah gereja di Perak baru-baru ini, berharap penjelasan itu menamatkan pelbagai desas-desus yang mempertikaikan akidahnya.
“Tanggungjawab saya, pegangan saya dan akidah saya adalah kepada Allah SWT dan jangan lagi dipersoal,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Penasihat Hal Ehwal Islam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman; Penasihat Agama Perlis, Datuk Mohd Jahya Hussin; dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Husainay Hashim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan agung Umno semalam turut mengumumkan kehadiran Azhar ke majlis itu.
“Azhar Mansor datang ke perhimpunan ini untuk menyatakan bahawa dia masih seorang yang beragama Islam,” katanya.
Abdullah berkata, Azhar masih menganut Islam dan bukan bertukar kepada Kristian seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.
“Kalau sebelum ini dia senyap saja, dia ambil masa ini, di tempat Umno bersidang di mana ahli media berkumpul untuk membuat kenyataan yang sah, yang betul dan muktamad bahawa beliau adalah seorang Islam.
“Saya harap tiada lagi isu ditimbulkan mengenai perkara ini. Kasihanlah dia. Membuat tuduhan yang bukan-bukan sebenarnya tidak baik. Kalau orang menuduh seseorang itu kafir sedangkan orang itu Islam, maka dosanya mungkin bala akan menimpa orang yang membuat tuduhan,” katanya.
Dalam sidang medianya, Azhar menjelaskan beliau anak Melayu yang dilahirkan sebagai seorang Islam dan keluarganya adalah Islam.
Azhar berkata, isu sama ada beliau Islam atau sebaliknya, tidak harus ditimbulkan kerana beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk keluar Islam, sama ada di dalam atau di luar negara.
Beliau berkata, dakwaan kononnya beliau keluar Islam bermula pada 1999 selepas menamatkan pelayaran solonya, yang disebarkan melalui Internet oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketika itu, katanya, beliau tidak menyangkal dakwaan itu sehingga namanya dikaitkan semula dalam isu murtad menerusi SMS, baru-baru ini.
“Saya cuma mahu menjalani hidup saya di Malaysia mengikut panduan hukum Syarak dan perundangan negara saya.
“Saya tak pernah buat salah, kalau nak tanya orang Islam ke tak Islam, tanya pada perogol tu lagi bagus. Saya buat kerja saya saja, tidak ganggu orang pun,” katanya.
Syukur Alhamdulillah, baru lega rasanya. Saya pun rasa bersalah dan berdosa kerana ada menyebarkan khabar angin ini. Itulah, lain kali kalau perkara yang melibatkan keimanan ni, baik isytihar cepat-cepat supaya tidak banyak fitnah akan dibuat. Kisah ini menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak terus menerima khabar angin yang diterima.
Tentang Datuk Azhar yang memakai seluar pendek, memakai rantai dll, itu antara dia dengan Tuhan. Kita, sebagai hamba-Nya juga, mana boleh nak hakimkan dia. Kita tahukah kita ini lebih baik daripada dia? Kita buat kerja dan kita rasakan kerja kita tu baik, adakah kita benar-benar ikhlas dan kerja kita itu diterima? Wallahu a'lam. Bukan dia seorang kan yang berpakaian begitu, banyak orang di sekeliling kita pun begitu..Adillah sikit..
Syukur sekali lagi ikon pujaan ramai ini masih terpelihara dan utuh akidahnya (walaupun sedih banyak anak muda kita yang telah murtad hanya kerana ingin hidup senang, dan tidak tahan dugaan..)
No comments:
Post a Comment