Sunday, November 19, 2006

Dasar Rumsfeld ibarat ‘senjata makan tuan’


Oleh Nurul Adlina Kamaludin


Bekas Setiausaha Pertahanan AS hadapi dakwaan jenayah perang

DIA memiliki deretan pingat dan penghargaan yang hebat – daripada anugerah sebagai rakyat awam terbaik atau ‘Presidential Medal of Freedom’ serta mencatat sejarah memegang jawatan penting kerajaan sebanyak dua kali dalam pentadbiran berbeza.

Catatan profilnya juga cemerlang – jutawan, bekas juruterbang tentera laut, peninju universiti dan tentera, ahli politik, pemimpin kerajaan, duta serta pencapaian membanggakan dalam sektor swasta.

Namun, siapa sangka, sehebat mana pun latar belakangnya, dia akhirnya tersungkur kerana tumbukan lawan bukan dalam negara, tetapi nun di Iraq dan Afghanistan.

Inilah nasib bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Donald Rumsfeld, 74, yang meletakkan jawatan minggu lalu selepas berkhidmat dengan pentadbiran Presiden George W Bush pada 2001. Berita pengundurannya disambut banyak senyuman daripada tangisan, diumumkan Bush, serentak dengan kekalahan Parti Republikan pimpinan Bush dalam pilihan raya Kongres.

Pilihan raya yang tidak hanya memilih barisan Senator dan anggota Dewan Perwakilan, tetapi menjadi kata putus rakyat Amerika terhadap dasar Rumah Putih, termasuk kempen ketenteraannya di luar negara yang lebih banyak gagal daripada berjaya.

Dasar yang akhirnya menjerut leher Rumsfeld yang tidak hanya menjadi pemimpin Jabatan Pertahanan atau Pentagon, tetapi arkitek kempen tentera di Iraq dan Afghanistan. Hakikatnya, Rumsfeld yang menjadi Setiausaha Pertahanan paling muda pada usia 43 tahun dan tertua dalam sejarah Amerika, pertamanya ketika era pentadbiran Presiden Gerald Ford antara 1975 sehingga 1977 dan kemudian Bush, sudah dua kali menyuarakan hasrat mahu berundur.

Ia selepas pentadbiran Bush dipalit skandal memalukan membabitkan kes penderaan tahanan di penjara Abu Ghraib, Iraq pada 2004. Namun, ketika itu, hasrat Rumsfeld ditolak Bush yang masih yakin dan percaya dengan kebolehan orang kanannya itu.

Namun, Bush yang kecewa dengan keputusan pemilihan Dewan Perwakilan terpaksa akur yang Rumsfeld perlu dilepaskan kerana menjadi antara punca kekalahan mengaibkan itu. Malah, jika dibiarkan, Rumsfeld hanya menjadi bebanan yang mengundang kecaman terhadap pentadbiran Bush yang sudah pun goyah.

Rumsfeld ibarat cermin kegagalan Bush dan itu saja cara memastikannya lenyap daripada pandangan.

Tetapi, silaplah jika ada pihak yang cuba mengaitkan Rumsfeld sebagai ‘kambing hitam’ atau mangsa yang dipertanggungjawabkan dalam krisis kepemimpinan Bush. Rumsfeld, seperti laporan media Amerika, bukanlah jenis itu kerana sikapnya sendiri yang lebih suka memanipulasi daripada diperalatkan.

Ditambah pula dengan identiti dirinya sebagai bermulut celupar, kasar, pemimpin yang keanak-anakan apabila mengajuk soalan wartawan pada sidang media, enggan beralah, keras kepala serta angkuh.

Tidak hairanlah pelbagai jolokan nama diberikan kepadanya termasuk ‘Rummy’ selain jenaka sinis mengenai petikan yang pernah dibuat Rumsfeld.

James Mann, wartawan veteran Amerika dan penulis kanan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Amerika dalam bukunya Rise of The Vulcans mengenai tujuh anggota Kabinet ‘Perang’ Bush menyifatkan stail pentadbiran Rumsfeld jenis ‘kawalan jauh’ yang memerlukan terlalu ramai pembantu berbanding pemimpin lain. Jeneral tentera yang sepatutnya menjadi penasihat, tidak ubah seperti hambanya. Bekas Setiausaha Negara, Henry Kissinger juga pernah menggelar Rumsfeld ‘lelaki paling kejam’ pernah dikenalinya.

April lalu, dalam kejadian yang jarang berlaku, sekumpulan jeneral bersara tentera membuat kecaman terbuka terhadap Rumsfeld kerana dasar pertahanannya yang keras termasuk tidak mempedulikan nasihat pegawai tentera selain mentadbir Pentagon secara kuku besi.

Tarikh keramat 8 November lalu, segala kecaman jeneral itu dan doa mangsa di Iraq khususnya, terlaksana apabila berita pengunduran Rumsfeld diumumkan menyusuli pengunduran bekas anggota Kabinet Perang Bush, Colin Powell.

Namun, bukan kerana mulutnya yang celupar atau pendirian kerasnya yang menjadikan Rumsfeld sejarah. Tetapi ‘dosa’ atau kegagalan yang menjadikannya Setiausaha Pertahanan Amerika yang paling kontroversi dan dibenci. Dia dibenci kerana dasar kejamnya di Afghanistan dan Iraq – dua negara menjadi sasaran kempen anti pengganas Amerika selepas kejadian 11 September, 2001 yang penuh teka-teki hingga kini.

Dosa pertamanya di Afghanistan apabila mengetuai tentera pakatan menceroboh bumi Afghanistan bagi menyingkirkan kerajaan Islam Taliban dan memburu Osama Laden. Dasarnya berjaya apabila Taliban digulingkan, tetapi ia terbukti bukan jaminan bumi Afghanistan dapat dijinakkan. Kehadiran tentera asing itu terbukti hanya mengkucar kacirkan keadaan sehingga kini biarpun kerajaan baru boneka Washington sudah pun berkuasa.

Disebabkan terlalu yakin dengan kejayaan menggulingkan Taliban di Afghanistan, mendorong Rumsfeld melakukan dosa atau kesilapan terbesarnya di Iraq, menerusi pencerobohan tentera Amerika pada Mac 2003. Alasannya menggulingkan kerajaan bekas Presiden Saddam Hussein yang memiliki senjata pemusnah. Malangnya, sehingga kini senjata dimaksudkannya tidak ditemui. Rumsfeld dalam jawapan pada sidang media dengan selambanya berkata: “Kami tahu senjata itu berada di kawasan sekitar Tikrit dan Baghdad, di timur, barat, selatan, utara dan mana-mana pun.” Bukan setakat senjata pemusnah tidak ditemui, sebaliknya dasar Amerika di Iraq yang benar-benar didapati gagal. Realitinya hampir 3,000 askar Amerika dan lebih 150,000 orang awam Iraq mati, manakala beribu-ribu lain cedera. Kos kempen ketenteraan itu mencecah berbilion-bilion dolar hanya menyusutkan lagi kekayaan Amerika.

Kegagalan lain Rumsfeld di Iraq didedahkan wartawan veteran Amerika, Seymour Hersh, mengenai skandal penderaan melampau tentera Amerika ke atas tahanan penjara Abu Ghraib. Taktik soal siasat kejam seperti tahanan disuruh melakukan piramid manusia secara berbogel, menggunakan anjing bagi mengugut tahanan beragama Islam, dikurung dalam bilik gelap selama 30 hari dan soal siasat sehingga 20 jam adalah antara teknik diluluskan Rumsfeld bukan saja di Abu Ghraib, tetapi di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba.

Taktik kejam mencabuli Konvensyen Geneva itu disambut kecaman dunia dan kini menjadi antara alasan sekumpulan peguam antarabangsa, termasuk dari Amerika, memfailkan dakwaan jenayah perang ke atas Rumsfeld di Jerman pada 14 November lalu.

Kes ini sudah pasti diikuti rapat masyarakat dunia, termasuk kalangan Eropah yang turut membenci Rumsfeld kerana pernah menggelar Perancis dan Jerman sebagai ‘Eropah Lama’ kerana mengecam tindakan Amerika di Iraq.

Kegagalan lain adalah hasrat Rumsfeld yang mahu merubah Pentagon dan menjadikan tentera Amerika sebagai pasukan disegani tanpa meneliti apakah masalah sebenar menyelubungi pasukan itu. Cita-citanya mahu mewujudkan pasukan tentera hebat dengan kelengkapan canggih, masih belum nampak hasilnya. Apa yang ketara, aspek moral menjadi asas pasukan tentera lebih-lebih lagi ketika berperang di medan tempur, tidak dipedulikan Rumsfeld. Akibatnya, wujudlah askar rapuh bermoral rendah dengan kebanyakannya anggota simpanan, kurang pengalaman dihantar berkhidmat di Iraq.

Kini, Rumsfeld tinggal sejarah. Pengundurannya bukan secara terhormat, tetapi mangsa ‘senjata makan tuan’ atau jerat yang ditebarkan sendiri menerusi dasarnya.

Lebih mengaibkan, biar sehebat mana pun profil dirinya, Rumsfeld akan dikenang sebagai Setiausaha Pertahanan Amerika yang gagal dan dalang kempen serangan di Iraq, Afghanistan serta memerangi keganasan di seluruh dunia.

Pengundurannya tidak mungkin dapat menghilangkan lumuran darah pada tangannya. Darah anak kecil, wanita, warga tua serta kalangan askar Amerika sendiri yang maut akibat dasarnya yang kejam. Biarpun kelibatnya hilang, tetapi mata dunia pasti terus mengekori Rumsfeld bagi melihat apakah kesudahan nasibnya, dasarnya serta masa depan dua rakan baiknya, Bush serta Naib Presiden Dick Cheney, selepas ini.

Padan muka! Seluruh umat Islam mengutuk kekejaman yang kamu lakukan! Sekarang, siapa yang paling berkuasa?

No comments: