Thursday, April 17, 2008

500 tahun tidak reput

Bagaimanakah penduduk bumi dapat menghentikan penggunaan beg plastik secara konsensus?


SECARA purata, seorang individu menggunakan lapan helai beg plastik seminggu.


MENURUT perangkaan, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta dua tahun lalu. Selain kertas yang mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau RM205 juta, sumber buangan kedua terbesar ialah plastik iaitu 9 peratus atau RM163 juta.

Keadaan yang sama disaksikan di Britain tahun demi tahun apabila berbilion helai plastik dibuang sewenang-wenangnya walaupun baru sekali digunakan. Ingat, untuk setiap lima minit sehelai beg plastik dipakai tetapi mengambil masa 500 tahun untuk mereput!

Dalam satu kajian, dirumuskan 36 peratus daripada mereka yang ditemu ramah mengakui membuang beg plastik selepas digunakan sekali.

Secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu. Bagaimana pula dengan anda?

Beg plastik yang terbuang biasanya meninggalkan pemandangan kurang enak di atas pokok, jalan raya, taman-taman, tasik, sungai dan tempat awam lain.

Di samping mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, ia memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan lain termasuklah haiwan dan tumbuhan.


BEG plastik yang hanyut ke laut membunuh penyu dan haiwan marin.


Beg plastik yang hanyut ke laut pula turut membunuh kelompok penyu dan haiwan marin kerana menyangkakan ia adalah obor-obor.

Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Ia secara langsung menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang memberi kesan kepada pemanasan global.

Di kebanyakan negara termasuklah Ireland, sehelai beg plastik biasa memaparkan cukai kerajaan yang bernilai 15 sen Euro atau 47 sen.

Perkara yang sama dapat dilihat di negara bukan ahli Kesatuan Eropah seperti di Crotia dalam usaha untuk mengawal jumlah penggunaan beg tersebut.

Pasar raya di Perancis mempraktikkan peraturan yang lebih drastik apabila tidak menggunakan beg plastik langsung.

Ia hanya menjual beg kitar semula yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadi insentif untuk memaksa individu menggunakan beg kitar semula bahkan membantu menyelamatkan bumi.


IMPLIKASI limpahan plastik menghodohkan pemandangan sekeliling.


Benarkah pengurangan beg plastik dapat membawa perubahan? Pada 30 April 2007, sejarah pemuliharaan alam merekodkan pencapaian yang amat bermakna kepada manusia sejagat.

Modbury di Devon, England menjadi bandar pertama di dunia bebas daripada beg plastik di Eropah.

Matlamat ini direalisasi berikutan pendedahan Rebecca Hoskins, seorang jurugambar haiwan liar yang menceritakan semula kesan pencemaran alam ke atas haiwan. Semua peniaga secara bersepakat untuk bertukar kepada kertas kanji jagung, kapas dan kain.

Selepas enam bulan, lebih daripada sedozen bandar dan perkampungan lain mengikut amalan yang sama.

Jadi, mulakan sekarang dengan memeriksa sama ada beg plastik yang anda pegang mempunyai label pensijilan ISO 14001 untuk bahan kitar semula.


KEMPEN tidak menggunakan beg plastik adalah salah satu cara menyelamatkan bumi.

No comments: