am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Sekumpulan doktor pakar forensik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) terkejut apabila bedah siasat ke atas mayat seorang lelaki warga asing mendapati dia bukan mati mengejut, sebaliknya disebabkan ‘keracunan’ dadah.
Ini berikutan penemuan sejumlah kantung plastik kecil mengandungi hampir satu kilogram serbuk dadah dalam perut lelaki berusia 44 tahun itu.
Penemuan itu sekali gus dipercayai menjadi punca kematiannya selepas satu daripada kantung dadah yang cuba disembunyikan lelaki terbabit untuk penyeludupan, pecah dalam perutnya.
Sumber polis berkata, pakar forensik HKL menemui serbuk dadah dibungkus dalam kantung itu ketika bedah siasat ke atas mayat lelaki warga Pakistan terbabit, semalam.
|
“Pada awalnya, mangsa disyaki mati mengejut akibat sakit sebelum mayatnya dihantar ke Bilik Mayat HKL selepas polis menerima panggilan daripada pihak pengurusan hotel.
“Namun, selepas bedah siasat dilakukan, polis menemui beberapa bungkusan dadah dipercayai seberat hampir satu kilogram dalam perutnya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurutnya, satu daripada bungkusan dadah itu mungkin pecah dalam perut lelaki itu menyebabkan dia mati akibat keracunan bahan terlarang terbabit.
Bagaimanapun setakat ini, polis belum dapat memastikan sama ada dia menelan bungkusan dadah itu ketika menyeludupnya ke negara ini atau cuba membawa dadah berkenaan yang diperoleh di sini untuk diseludup keluar.
“Polis juga masih menyiasat jenis dadah itu sama ada heroin atau jenis lain,” katanya.
Difahamkan, kaedah menelan dadah dalam bungkusan plastik kecil antara taktik popular di kalangan pengedar dadah antarabangsa berikutan ia sukar dikesan selain memudahkan mereka membolosi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
“Sebaik dadah itu dikenal pasti, polis mungkin dapat mengenal pasti punca dari mana bahan terlarang itu diambil atau cuba dibawa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, yang dihubungi mengesahkan penemuan dadah terbabit, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan berhubung kes terbabit selesai.
Kes menelan dadah oleh pengedar dianggap jenayah serius berikutan polis Bukit Aman sebelum ini pernah mengesan sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan golongan remaja, terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ‘kambing hitam’ untuk menyeludup dadah.
Difahamkan setiap pembawa mampu menelan sehingga satu kilogram heroin mampat yang siap dibungkus.
Jika berjaya menyeludup dadah berkenaan, pembawa terbabit dijanjikan ganjaran lumayan antara AS$5,000 (RM15,500) hingga AS$15,000 (RM46,500).
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman menahan beberapa individu di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana di sini, awal Mac lalu.
Dalam serbuan di sekitar ibu kota, polis memberkas seorang suri rumah berusia 45 tahun dan empat penuntut kolej swasta warga Afrika berusia 30-an ketika asyik memproses heroin tulen dipercayai untuk diseludup ke luar negara.
Polis turut merampas heroin seberat 3.11 kilogram termasuk 126 bungkusan kecil yang dibalut dengan plastik getah dianggarkan bernilai RM1.7 juta.
Alahai, sebelum mematikatakkan orang , matikatakkan diri sendiri...
No comments:
Post a Comment