Tuesday, April 29, 2008

Planet: Charles, Camilla retak

KETIKA pasangan diraja Britain itu menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan mereka, kakitangan istana memandang dengan tanda tanya.

Mereka tahu apa yang orang lain kurang tahu — Putera Charles dan Camilla Parker Bowles kini lebih banyak bertekak berbanding berkasih sayang.


Malah, sumber dalaman berkata, kakitangan di istana itu semakin bosan dengan kerenah mereka.

“Hubungan Charles dan Camilla semakin tegang sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Dalam banyak keadaan, kakitangan istana tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melihat Charles dan Camilla menjerit di antara satu sama lain.

“Anda boleh bayangkan bagaimana ia memalukan mereka apabila ia terjadi,” katanya.

Sesetengah media memang dapat menghidu masalah melanda rumah tangga pasangan itu akhir-akhir ini.

Selepas menjalin hubungan selama tiga dekad, Charles dan Camilla mengetepikan semua bantahan dan pandangan orang lain untuk menjadi suami isteri. Kini, kata sumber, masing-masing lebih banyak menghabiskan masa bersendirian berbanding bersama-sama.

Ketika Charles menemankan anaknya, Putera William dan kekasihnya, Kate Middleton bermain ski di Alps akhir Mac lalu, Camilla tidak kelihatan.

Semakin tegang hubungan mereka, Camilla memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di rumah lama keluarganya di Ray Mill, 165 kilometer dari Clarence House yang didiami bersama Charles.

Menurut majalah Globe, kemungkinan berlaku perceraian antara Charles dan Camilla adalah besar. Tuntutan yang boleh dikemukakan terhadap bakal raja Britain juga besar. Mungkin yang tertinggi dalam sejarah perceraian di Britain iaitu RM775 juta.

Rakan Camilla mengakui, dia lebih gembira di Ray Mill walaupun Charles tidak pernah ke sana untuk bersama-samanya.

Menurut sumber, kedinginan hubungan Charles — Camilla bermula pada Ogos tahun lalu.

Katanya, Camilla berang apabila dipaksa menghadiri majlis memperingati Puteri Diana di Guards Chapel.

Bercerita kepada rakannya mengenai majlis itu, Camilla berkata, dia terasa tidak diendahkan Charles, selain pandangan serong orang ramai terhadapnya.

“Sejak itu Camilla mengakui, kemesraan dinikmatinya bersama Charles mula menjadi sejarah,” katanya.

Pada rakannya, Camilla juga mengakui pelayaran selama lapan hari di sekitar Caribbean bersama Charles adalah ‘mimpi ngeri’ yang terpaksa dilaluinya.

“Semuanya kerana sikap baran Charles,” katanya.

Kata rakan Camilla, sedangkan di rumah yang luas itu pasangan terbabit sukar hidup aman, inikan pula dalam ruang sempit di dalam kapal layar.

Seorang pembantu Charles pula berkata, perubahan sikap pewaris takhta Britain itu dapat difahami kerana ia berlaku seiring dengan peningkatan usia.

“Memang keadaannya semakin teruk,” katanya.

Menurut pembantu itu, Charles suka merungut mengenai apa saja dan hampir mustahil untuk dipenuhi.

“Dulu Camilla boleh menyabarkannya, tetapi kini tidak lagi,” katanya.

Pemerhati berkata, ketika pasangan itu berkahwin pada 2005, Charles kelihatan lebih tenang dan disenangi pembantunya.

Bersama Camilla, katanya, Charles menjadi lebih mesra dan tidak terlalu tegas.

Bagaimanapun, tiga tahun kemudian sikap Charles kembali seperti asal.

“Nampaknya Camilla kecewa kerana gagal mengubah suaminya menjadi lebih tenang dan sabar,” katanya.

Sebagai contoh, kata sumber istana, Charles asyik bergayut di telefon untuk mengarahkan pembantunya melakukan itu ini.

“Pagi, tengah hari, petang dan malam dia terus-terusan memberi arahan. Malah, pada Hari Krismas pun tiada yang betul pada pandangannya,” katanya.

Seorang pembantu lain bercerita, ketika pasangan itu menghadiri majlis di Windsor Castle, Charles asyik memegang gelasnya walaupun kosong, sehinggalah pelayan mengambilnya.

“Sebelum ini Camilla sama sekali tidak membiarkan itu berlaku.

“Dia memastikan Charles tidak memegang gelas terlalu lama dan menyerahkannya kepada pelayan,” katanya.

Masalahnya, kata pembantu itu, personaliti berbeza di antara Charles dan Camilla menjadi punca keretakan hubungan mereka.

“Camilla kurang mengendahkan hirarki atau status, tetapi Charles terlalu mementingkannya.

“Bagi Camilla, hidup sebagai isteri putera raja sangat mengelirukan dan mengongkong.

“Charles mahu Camilla menjadi keluarga raja, tetapi dia lebih suka menjadi wanita biasa,” katanya.


B**g*ng...

No comments: