Saturday, April 12, 2008

Pemilik trak serah diri

Pemandu yang diburu dipercayai masih bersembunyi di Phuket

SUKSAMRAN, Thailand: Mahkamah Thailand mengeluarkan waran tangkap ke atas pemandu trak berikutan kematian 54 pendatang Myanmar akibat sesak nafas ketika diseludup ke negara itu.

Kira-kira 50 mangsa yang terselamat pula didenda sebanyak 2,000 baht (RM198) seorang kerana masuk secara haram ke Thailand. Bagaimanapun disebabkan ramai tidak mampu membayarnya, sebuah mahkamah Thailand memerintahkan mereka dipenjarakan sebelum dihantar pulang ke Myanmar.


Seramai 14 remaja pula diarah ke pusat tahanan Imigresen sebelum dihantar pulang. Kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan ke atas mereka terbabit.

Trak sepanjang enam meter itu disumbatkan 120 pendatang dalam kontena berkunci dan mereka pengsan apabila pendingin hawa gagal berfungsi.

Pemilik trak itu, Dumrong Pusadee, 45, ditangkap selepas menyerah diri untuk siasatan kelmarin.

Bagaimanapun, pemandu berkenaan yang dikenal pasti polis sebagai Suchon Boonplong, dipercayai bersembunyi di Phuket selepas meninggalkan traknya lewat kelmarin.

"Polis dari pelbagai unit mencari Suchon dan beberapa orang lain yang terbabit dalam rangkaian penyeludupan," kata Mejar Jeneral Polis, Apirak Hongthong kepada wartawan.

Kedua-dua mereka yang terbabit akan didakwa bersubahat untuk menyembunyikan, membantu atau menyeludup pendatang tanpa izin ke Thailand dan kerana kecuaian yang menyebabkan kematian. Jika disabitkan, mereka menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun, kata polis.

Mangsa terselamat berkata mereka mengetuk dinding trak itu dan cuba menghubungi pemandu melalui telefon bimbitnya selepas sistem pendingin hawa gagal berfungsi.

"Kami menghubungi pemandu menggunakan telefon bimbit tetapi dia memberitahu kami dalam bahasa Burma supaya diam dan jangan membuat masalah. Dia mematikan telefon dan terus memandu," kata Tida Toy, 21, kepada akhbar Bangkok Post.

Kematian ngeri itu menimbulkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan mengulangi desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap rangkaian penyeludupan manusia di rantau itu.

Kira-kira dua juta pendatang dari seluruh rantau bekerja di Thailand, kebanyakan mereka berasal dari Myanmar.

Cuma 500,000 pendatang di negara itu masuk secara sah, kata pegawai Kementerian Buruh kepada televisyen Channel 9.

Menurut undang-undang Thailand, pendatang berdaftar mempunyai hak sama seperti rakyat Thailand tetapi ia tidak diamalkan. Pendatang selalu dinafikan peluang mendapatkan hak asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebebasan bergerak.

Bagaimanapun, majoriti pendatang tidak berdaftar dan bekerja secara haram di kilang, restoran, stesen minyak dan pembantu rumah. � Reuters

1 comment:

zz said...

salam..buka minda juara